Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Monday, December 15, 2008

Siapa Abdullah Nasih Ulwan?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Ketika mula2 membaca bibliografi ini, hatiku sebak bercampur sadis. Aku cuba menahan dari mengalirkan air mata. Hatiku tertanya-tanya, adakah pengganti bagi Dr Abdullah Nasih Ulwan ini? Mampukah kita menandinginya atau lebih mudah lagi menyamai beliau?

Mengikut sejarah, namaku telah diberikan oleh ibuku. Beliaulah yang mencadangkan supaya diberikan namaku dengan Nasih Ulwan. Asalnya, ingin dibubuh nama Abdullah Nasih Ulwan, akan tetapi, katanya abang ketigaku telah dinamakan dengan Abdullah Haris. Jadi ditaruk nama Muhammad Nasih Ulwan. Terima kasih tak terhingga pada Mak, atas nama yang sangat indah itu.

Ketika aku mengikuti program yang berjalan pada minggu lepas, ketika itu aku telah ditugaskan oleh penghulu kem untuk menjadi pengerusi majlis atau lebih mudah MC untuk satu slot ceramah. Sebelum ceramah bermula, aku diminta untuk mengambil biodata penceramah, jadi beliau juga bertanya tentang namaku. Kataku, "Nasih Ulwan". Beliau agak terkejut disamping air wajahnya yang sedikit berubah. Lalu ditanya lagi, "apa buku Nasih Ulwan yang paling glemer?". "Tarbiyyatul Aulad", jawabku agak yakin.

Ketika ceramah beliau bermula, selepas saja berakhir mukaddimah, beliau cuba merungkai tentang namaku. Aku sedikit berbangga dan terharu. Huhu.. Namun, tuah badan siapa tahu.

Jadi, di sini aku sediakan bibliografi insan agung bernama Abdullah Nasih Ulwan. Seingat aku, hanya 2 buku beliau yang pernah aku baca, iaitu Tarbiyyatu Aulad dan Wahai Pemuda Islam. Rasanya posting kali ini agak panjang 'sedikit'. Namun, apa yang aku harapkan biarlah kalian membacanya dari hati. Sematkan mutiara yang terdapat di lubuk ini, moga hati kita hidup sehidup hati Abdullah Nasih Ulwan. Wallahu A'lam...

Nasih Ulwan...

Sesiapa yang meminati buku tarbiah dan perbincangan permasalahan moden sudah pasti baginya tidak asing dengan tokoh ini. Setiap tulisan yang dihasilkan oleh beliau bukanlah sekadar tulisan biasa, ianya adalah tulisan yang lahir dari hati yang ikhlas kepada Allah, tulisan yang mempunyai nilai tarbiah yang sangat tinggi. Mempunyai matlamat yang besar dalam bidang penulisan. Dr. Yusuf al Qaradhawi menyatakan bahawa Dr. Abdullah Nasih Ulwan adalah seorang ulama yang sangat dikagumi dari sudut perjuangan dan tulisannya, apa yang ditulis menggambarkan peribadinya yang sangat luhur dan murni.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan dilahirkan pada tahun 1928 Masihi di Daerah Qadhi Askar yang terletak di Bandar Halb, Syria. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama dan mementingkan akhlak Islam dalam pergaulan dan muamalat sesama manusia. Ayahnya, Syeikh Said Ulwan adalah seorang yang dikenali di kalangan masyarakat sebagai seorang ulama dan tabib yang disegani. Selain dari menyampaikan risalah Islam di seluruh pelusuk Madinah Halb, beliau juga menjadi tumpuan untuk mengubat pelbagai penyakit dengan ramuan akar kayu yang dibuat sendiri. Ketika merawat pesakit, lidahnya sentiasa membaca al Quran dan menyebut nama Allah. Syeikh Said Ulwan sentiasa mendoakan semoga anak-anaknya lahir sebagai seorang ulama ‘murabbi’ yang dapat memandu masyarakat. Allah memperkenankan doa beliau dengan lahirnya Dr. Abdullah Nasih Ulwan sebagai ulama (‘murabbi’) pendidik rohani dan jasmani yang disegani di abad ini.

Pendidikan.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan mendapat pendidikan peringkat rendah (ibtidaei) di Bandar Halib. Setelah berusia 15 tahun, Syeikh Said Ulwan menghantar beliau ke Madrasah Agama untuk mempelajari ilmu agama dengan cara yang lebih luas. Ketika itu, beliau sudah menghafal al Quran dan sudah mampu menguasai ilmu bahasa arab dengan baik. Semasa di madrasah, beliau menerima asuhan dari guru-guru yang mursyid. Beliau sangat mengkagumi Syeikh Raghib al Tabhakh, seorang ulama hadis di Bandar Halb. Beliau sangat cemerlang dalam pelajaran dan sentiasa menjadi tumpuan rujukan rakan-rakan di madrasah, beliau juga seorang yang aktif dalam persatuan dengan berkebolehan berpidato dan mengetuai skuad penerbitan yang bertanggungjawab menerbitkan sebaran ilmiah kepada masyarakat sekitar.

Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat berani pada kebenaran serta mempunyai kemahiran dalam pergaulan dan dakwah. Semasa usia remaja beliau sudah terkesan dengan bacaan tulisan ulama-ulama sanjungan di waktu itu seperti Dr. Syeikh Mustafa al Sibaei.

Pada tahun 1949 beliau memperolehi sijil menengah agama yang melayakkan beliau melanjutkan pelajaran di salah sebuah pusat pengajian di Mesir dalam bidang Syariah Islamiah.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan memasuki Universiti al Azhar pada tahun berikutnya dan memperolehi ijazah pertama dalam Fakulti Usuluddin pada tahun 1952, seterusnya beliau memperolehi takhassus pendidikan dan tarbiah pada tahun 1954. Semasa berada di Mesir beliau banyak menghadiri Majlis perbincangan ulama-ulama dan mendekati gerakan Islam.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan memperolehi Ijazah Kedortoran dari Universiti al Sand Pakistan pada
tahun 1982 dengan tesis yang bertajuk “feqh Dakwah wa al Daeiah”.

Perkhidmatan.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan memulakan khidmat sepenuh masa sebagai pendakwah setelah pulang dari al Azhar. Beliau telah dilantik sebagai guru sebuah Kolej di Bandar Halb. Beliaulah orang yang pertama memperkenalkan mata pelajaran Tarbiah Islamiah sebagai matapelajaran asas dalam sukatan pembelajaran di Kolej berkenaan. Seterusnya matapelajaran Tarbiah Islamiah ini menjadi matapelajaran teras yang wajib diambil oleh penuntut-penuntut menengah di seluruh Syria. Beliau telah meletakkan matlamat perguruan sebagai senjata tarbiah yang sangat berkesan dalam mendidik generasi negara akan datang. Prinsip yang digunapakai ialah guru sebagai ibubapa kepada pelajar, mendidik mereka seperti mendidik anak-anak sendiri.

Beliau telah meletakkan matlamat yang sangat tinggi dalam pendidikan, iaitu membawa dan membimbing pelajar ke arah mencintai Islam dan beramal dengannya serta sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangkan Islam.

Semasa menjadi guru di kolej berkenaan, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah menerima pelbagai jemputan menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat, di samping menjadi pensyarah jemputan di beberapa buah Universiti di Syria. Tidak pernah mengenal penat dan letih untuk menyebarkan risalah Allah. Sepenuh masanya diberikan untuk dakwah Islamiah. Masjid-masjid di Daerah Halb sentiasa melimpah dengan orang ramai yang datang untuk mendengar kuliahnya, di mana sahaja beliau pergi menyampaikan ceramah dan kuliah pasti dibanjiri ribuan manusia. Masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahun dan tarbiah Islamiah akan menjadikan beliau sebagai tempat rujukan.

Wajah Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Dr. Abdullah Nasih Ulwan turut berjuang menghapuskan fahaman jahiliyyah dalam pemikiran masyarakat dengan suluhan cahaya hidayah rabbani. Beliau telah menggunakan Masjid Umar bin Abd Aziz sebagai markaz tarbiah generasi pemuda di Syria. Kuliah yang disampaikan di masjid ini ialah Feqh, Tafsir dan Sirah. Di samping memberi kuliah pengajian, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah mendidik pemuda-pemuda dengan kemahiran pidato dan penulisan serta kemahiran uslub berdakwah.

Hasil daripada tarbiah ini, lahirlah ratusan generasi muda yang berakhlak mulia dan menjadi agen penggerak dakwah Islamiah di Syria.

Walaupun sibuk dengan tugas menyampaikan risalah Islam di merata tempat, Dr. Abdullah Nasih Ulwan juga sangat dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai seorang yang berbudi luhur. Menjalinkan hubungan baik sesama anggota masyarakat dan sentiasa menjalankan khidmat masyarakat apabila diperlukan. Beliau juga mempunyai hubungan yang sangat erat dengan ulama-ulama Syria serta menganggotai Majlis Ulama Syria. Beliau sangat dihormati di kalangan mereka.

Sesiapa sahaja yang menelusuri denai dakwah Islamiah pasti akan diuji oleh Allah, ujian untuk membuktikan kebenaran dakwah yang di bawa serta menambahkan keyakinan dan pergantungan yang utuh hanya kepada Allah. Allahlah yang berhak memberi nusrah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dr. Abdullah Nasih Ulwan juga menerima ujian ini, sehingga memaksa beliau meninggalkan Syria pada tahun 1979 menuju ke Jordan. Semasa di Jordan beliau terus menjalankan peranan sebagai daei. Menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat. Menerima undangan di masjid-masjid, perayaan hari kebesaran Islam dan ceramah umum.

Beliau meninggalkan Jordan pada tahun 1980 setelah mendapat tawaran sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malik Abd Aziz, Jeddah, Saudi. Beliau menjadi pensyarah di Universiti berkenaan sehinggalah beliau bertemu dengan Allah (wafat).

Akhlak dan Peribadi.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan disenangi oleh semua pihak kecuali mereka yang memusuhi Islam. Beliau menjalinkan hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja.

Beliau adalah seorang yang sangat berani menyatakan kebenaran, tidak takut atau gentar kepada sesiapa pun dalam menyatakan kebenaran sekalipun kepada pemerintah. Beliau telah meletakkan amanah dalam dakwah adalah amalan yang wajib kepada umat Islam. Semasa di Syria, beliau telah menegur beberapa sistem yang diamalkan oleh pemerintah di waktu itu dan sentiasa menyeru supaya kembali kepada sistem islam, kerana Islam adalah penyelamat. Keadilan Islam adalah rahmat kepada ummah.

Keluhuran pekerti kesan didikan Islam yang meresap dalam jiwa beliau telah meletakkan beliau sangat disanjungi oleh ulama dan masyarakat. Rumahnya sentiasa dikunjungi oleh orang ramai. Sahabat karib beliau, Dr. Muhammad Walid menyatakan, Dr. Abdullah Nasih Ulwan adalah seorang yang sangat peramah, murah untuk memberi senyuman kepada sesiapa sahaja, pertuturannya sangat mudah difahami, percakannya sentiasa disulami nasihat dan peringatan, beliau juga seorang yang tegas dengan prinsip asas Islam.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan juga seorang yang sangat benci kepada perpecahan dan munculnya berbilang-bilang jamaah dalam negara Islam. Menyeru kepada perpaduan dan kesatuan atas nama Islam untuk membina kekuatan umat Islam yang semakin pudar. Beliau berpendapat bahawa pepecahan umat Islam perlu dimuhasabah semula oleh setiap lapisan umat Islam. Apabila berbincang mengenai perpaduan dan kesatuan umat Islam, airmatanya pasti tumpah menandakan beliau adalah seorang yang sangat cintakan kesatuan umat Islam.

Dalam persahabatan, beliau menjalinkan hubungan dengan sesiapa sahaja serta sentiasa menziarahi teman-teman. Bertanyakan khabar serta mementingkan ikatan ukhuwwah Islamiah yang terjalin. Menghulurkan bantuan dan pertolongan sekalipun terpaksa bersusah payah untuknya.

Penulisan.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan sangat gemar kepada penulisan, kertas dan pena sentiasa bersama walau di mana beliau berada. Walaupun sibuk dengan kuliah, nadwah dan syarahan, beliau tetap memperuntukan masa untuk penulisan. Beliau telah menghasilkan hampir lima puluh buah kitab yang membincangkan pelbagai tajuk.

Di antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :
1. Pendidikan anak-anak di dalam Islam (2 jilid). 2. Hukum zakat menurut empat mazhab. 3. Madrasah Duat. 4. Takaful Ijtimaei dalam Islam. 5. Insurans Menurut pandangan Islam. 6. Pemuda Islam dalam menghadapi serangan musuh. 7. Menolak keraguan yang didatangkan musuh.

Beliau juga banyak menulis kitab mengenai tarbiah Islamiah, kitabnya yang berkaiatan dengan tarbiah Islamiah sangat menyentuh jiwa pembaca. Ini kerana tulisan yang terbit dari hati, insyaallah akan jatuh ke hati. Di antaranya ialah :
1. Kepada Pewaris anbiya. 2. Thaqafah Daeiah. 3. Ruhaniah Daeiah. 4. Kisah Hidayah (2 jilid) 5. Sifat Jiwa dan diri Daei.

Menerima rawatan.
Setelah pulang dari menghadiri Nadwah di Pakistan, beliau telah mengadu sakit di bahagian dada kepada salah seorang doktor perubatan di Universiti Malik Abdul Aziz. Doktor telah mengesahkan beliau mengalami penyakit di bahagian hati dan paru-paru. Beliau dimasukkan ke Hospital untuk mendapat rawatan pakar. Beliau mendapat rawatan dalam masa yang agak lama di hospital ini. Beliau meminta izin untuk keluar dari hospital bagi menunaikan temu janji yang terpaksa dibatalkan semasa berada di hospital. Walaupun dalam keadaan sakit, tugas menyampaikan risalah Islam tetap diteruskan dengan bertenaga. Kesakitan pada paru-paru dan hati tidak menghalang beliau dari terus aktif menyampaikan kuliah di Universiti dan majlis-majlis nadwah dan seminar. Melupai kesakitan yang dialami demi islam tercinta.

Beliau dimasukkan kali kedua ke hospital yang sama setelah kesakitan yang dialaminya semakin kronik. Semasa dirawat di hospital beliau banyak menulis bahan ilmiah sebagai ganti memberi kuliah di luar di samping minat membaca kitab-kitab tetap diteruskan.

Pakar-pakar perubatan dan sahabat handai menasihati beliau supaya berhenti membaca dan menulis kerana ianya akan menjejaskan rawatan dan menambahkan kesakitan yang dialami, tetapi Dr. Abdullah Nasih Ulwan hanya tersenyum dan berterima kasih atas keprihatinan mereka serta menyatakan, selagi tangan, mata dan nadinya masih berdenyut selagi itulah sumbangan kepada dakwah Islamiah wajib diteruskan. Selagi tangannya mampu memegang pena selagi itulah beliau akan terus menulis. Sehinggalah pada keadaan beliau tidak dapat bangun, beliau meletakkan bantal di atas perut untuk menulis dan membaca. Keadaan ini berterusan sehinggalah beliau bertemu Allah.

Wafat.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan meninggal dunia pada hari Sabtu jam 9.30 pagi 5hb Muharram 1408 Hijrah bersamaan 29hb Ogos 1987 Masihi di Hospital Universiti Malik Abdul Aziz Jeddah, Saudi dalam usia 59 tahun. Jenazahnya di bawa ke Masjidil Haram untuk disembahyang dan dikebumikan di Makkah. Solat jenazahnya dihadiri oleh ulama-ulama di seluruh pelusuk dunia.
Pemergiannya diiringi oleh umat Islam seluruh dunia. Dunia kehilangan ulama murabbi yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam. Beliau telah menyerahkan jiwa raga untuk Islam dengan pengorbanan dan jihad yang sangat besar.

Walaupun beliau sudah pergi menemui Allah tetapi dakwahnya tetap berterusan melalui buku dan kitab yang dihasilkan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan dan memberikan kekuatan kepada generasi yang memikul amanah dakwah Islamiah selepasnya. Amin.


RUJUKAN : “Muqaddimah Silsilah Madrasah Du’at (jilid 1).”

Saturday, December 6, 2008

Kufur Nikmatkah Kita?

Salam bicara...

Dalam posting ringkas kali ini (ke-2), ingin aku bicarakan tentang kufur nikmat. Apa yang ingin aku sampaikan melalui posting ini? Sama2lah kita nantikan.

Aku amat mudah tertarik kepada ucapan idolaku yang tidak asing lagi selain bapaku sendiri, iaitu Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Rasanya aku pernah terbaca kata2 aluannya dalam sebuah majalah sekolah, kalau tidak silap Maahad Darul Quran. Antara katanya (lebih kurang), "Penulisan adalah salah satu cabang dakwah dalam era masa kini. Adalah dikira sebagai kufur nikmat sekiranya kita tidak menggunakan teknologi yang ada untuk kebaikan Islam".

Aku mengira penulisan sebagai satu method atau uslub dakwah kerana mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Bukan hanya dakwah itu melalui ceramah, buku, drama dan sebagainya sahaja, malah blog juga merupakan momentum yang amat penting dalam berperanan sebagai jalan dakwah.

Ramai yang bertanya, mengapa kita perlu kepada dakwah, sedangkan diri sendiri pun tidak terdakwah. Maka jawapannya adalah Islam yang mewajibkan dakwah. Ramai yang suka menyebut tentang Khairu Ummah tetapi tidak faham akan hakikat dan kehendak sebenarnya. Bukankah selepas ayat itu disusuli pula Ta'muruna bil Makruf wa Tanhauna 'anil Munkar? Ramai yang terlepas pandang tentang perkara ini, apatah lagi yang sengaja tidak memandang. Dalam wawancara di RTM1 bersama bekas MB Terengganu, negeriku iaitu Dato' Seri Idris Jusoh, beliau menyatakan Khairu Ummah itu ialah ummat yang berjaya membina pembangunan yang hebat sambil memberi contoh pembangunan di negara barat. Bukankah ini suatu kebodohan yang terang lagi bersuluh? Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri pun mahu kerajaannya mengamalkan Amar Makruf Nahi Munkar.

Rasanya tadi aku telah menyebut bahawa posting aku kali ini hanyalah posting ringkas. Jadi eloklah aku berhenti di sini dahulu. Wassalam... jumpa lagi!

Wednesday, December 3, 2008

Sederap Langkah Bermula...

بسم الله الرحمان الرحيم
Kata saidina Uthman (R.A) : السلام قبل الكلام
ِِAssalamualaikum warahmatullohi wabarakatuh..

Hmm... terasa diri ini terlalu kerdil untuk memiliki sebuah blog. Namun apakan daya, tidak sampai hati melihat hatiku yang tidak jemu2 untuk meminta tuannya membuatkan blog tatapan anda ini. Siapalah aku untuk menolak bulat2 kehendak hati ini. Sekali-sekala terpaksalah aku mengalah dengan desakan hati. Maka dengan sebab itulah tercetus dan lahirnya blog yang tidak seberapa ini.

Benarlah kata Nabi "setiap perbuatan itu disertai dengan niat" (rasanya tidak perlu menulis hadisnya, semua sudah sedia maklum). Tidak terkecuali juga diri ini, walaupun aku tidak ingin menyatakan tujuannya harfin bi harfin, namun biarlah cukup sekadar memahamkan kalian. Langsung tidak menjadi hadaf umtuk bersaing dengan blogger lain, apatah lagi mencipta nama. Namun gerak hati menyatakan tidak perlu sekadar untuk menghabiskan masa dan kudrat, apatah lagi ingin menyatakan bahawa aku seorang penulis hebat dan petah berkata2.

Sejak mula berjinak2 membaca blog pada tahun ini (minat yang mendalam), bermula dengan blog abang keduaku (cucudagang.blogspot.com) yang bertitlekan catatan perjuangan, ditambah lagi dengan kehadiran blog abiey tercinta (ibnugharib.blogspot.com), perasaan (bukan perasan ye) untuk memiliki blog sendiri semakin membuak2.

So, terhasillah manifestasi yang diinginkan sekadar mengisi spasi2 yang ada. Apapun, aku menanti komentar2 pada mereka yang sudi. Agar aku tidak hanya syok sendiri. Anggaplah aku seorang budak kecil yang tinggal di jalanan, dikata pun tidak mengapa dan dikasihan serta diperhatikan pun tak mengapa. Perkongsian ini pasti menbuahkan item2 yang lebih segar dan masak ranum.

Akhirnya, salam ukhuwwah dan kasih sayang... Ukhuwwah ila Mardhotillah... Selamat mengorbankan diri.. Benar kata ulama' : لا جهاد بدون التضحية "Bukanlah jihad jika tanpa pengorbanan". Nasihatku : Jangan kamu korbankan Islam, tetapi berkorbanlah untuk Islam.."

Wallahu a'lam.. Allah lah yang lebih mengetahui akannya!

Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.