Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Wednesday, June 20, 2012

Mahasiswa: Peranan dalam Islam, Semasa dan Selepas Pengajian (Siri 2)

Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, Al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria


Sambungan Siri 1;

Keempat, berakhlak dengan akhlak Islamiah. Bercakap soal akhlak rasanya semua sudah jelas. Malah Nabi sendiri pun diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Seharusnya mereka yang ingin mengikut jalan perjuangan Nabi turut berakhlak dengan akhlak Nabi. Mana mungkin orang yang punya akhlak buruk boleh dijadikan qudwah dan ikutan. Ada yang bertanya apa beza akhlak dan moral? Rakan saya di UIA pernah kongsikan, moral ialah apa saja yang dilihat baik oleh semua manusia tidak kira agama tetapi tidak membaca Al-Quran. Ia tidak termasuk dalam moral. Sedang ketika Aisyah ditanya bagaimanakah akhlak Nabi?

"كان خلقه القرآن."
Jawab Saidatina, “Sesungguhnya akhlak Baginda ialah Al-Quran.”

Kita sepatutnya sedia maklum bahawa di dalam Al-Quran terkandung lebih banyak ayat berkaitan akhlak berbanding hukum-hakam. Di dalamnya diajar supaya sabar, redha, amanah, menepati janji, berbuat baik terhadap ibu bapa, syukur dan bermacam lagi sikap baik yang perlu ada di dalam diri sekalian muslim. Ini menunjukkan betapa indahnya Islam dan perilaku Nabi s.a.w. yang menterjemahkan Al-Quran melalui akhlaknya.

Kelima, turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama. Banyak kesamaran dan salah faham yang melanda ummah. Mereka masih lagi jahil soal ibadat harian termasuk solat, apatah lagi perkara serumit Hudud dan Qisos. Kewajipan dakwah semua sudah ma’ruf bukan?

"من قال لا إله إلا الله فهو الداع."
Sebagaimana kata Nabi s.a.w.: “Siapa yang mengucapkan ‘tiada Tuhan melainkan Allah’ (syahadah) maka dia adalah pendakwah.”

Keenam, tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama. Ini yang  terpenting sebetulnya. Entah, saya tidak pernah meletakkan peranan-peranan ini mengikut prioriti. Nombor hanyalah nombor dan tetap nombor. Tidak bermaksud yang pertama lebih afdhal dari yang keenam. Masing-masing punya keutamaan dan perlu diseiringkan dan berjalan serentak. Namun saya tidak menolak untuk mahasiswa memfokuskan kepada satu dua peranan saja dulu. Dakwah itukan bersifat tadarruj (beransur-ansur). Pilihlah yang mana ingin didahulukan, saya tidak pernah dan punya hak untuk menghalang. Cumanya janganlah pula dikesampingkan peranan lain.

"ما لا يدرك كله لا يترك جله."
Kaedah Islam mengajar: “Apa yang tidak mampu kita kuasai semuanya, jangan pula ditinggalkan kesemuanya.”

Apa yang ingin saya sampaikan dalam peranan keenam ialah sifat Islam itu syumul. Meliputi seluruh aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti makan minum hinggalah sebesar-besar perkara contohnya memerintah negara. Maka tidak dapat tidak mahasiswa wajib berilmu (punya pengetahuan mendalam), faqih (punya kefahaman yang betul) dan mengaplikasikan ilmu yang difahami tersebut dalam kehidupan. Menyeluruhnya Islam sehingga semua perkara ada Islam di dalamnya. Bermula politik, sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan sehinggalah hiburan dan sukan, malah semuanya. Apa yang tidak ada dalam Islam?


Namun ironinya, apa yang berlaku hari ini mahasiswa terlalu leka dan lesu. Sangat mengecewa dan menyedihkan. Leka dengan kenikmatan duniawi dan seisinya. Fenomena hedonisme juga melanda mahasiswa. Benar, musuh tidak pernah mengenal sesiapa. Malah ada yang leka dengan pelajaran sampai meninggalkan kewajipan terhadap ummah dan agama. Tidak pernah ambil tahu isu semasa, apa yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia lebih-lebih lagi. Perkara ini sudah saya jelaskan sebelum ini.­­

Mereka tenggelam dengan 5M. Teringat mau’izoh Ustaz Ridhuan, mantan YDP BKAN Pahang dalam Program Obor Mahasiswa Harapan (OASIS) PMRAM di Nuzul Isma’iliyah bulan lalu, “Mahasiswa baru mesti hindari 5M. Makan, minum, main Facebook, main PES dan movie.” Mahasiswa hari ini sering dimomokkan dengan hiburan, permainan dan gaya hidup melampau. Semuanya dihidang dan dijamu selera bagai bukan suatu kebobrokan dan tanpa rasa bersalah. Selalu juga kita mendengar istilah 3K yang popular di kalangan penuntut IPTA di Tanah Air. Kuliah, katil dan kafe. Mahasiswa sekarang biasanya hanya berlegar dan bermain di sekitar tiga perkara itu saja.

Mahasiswa cerdik sepatutnya punya idealisme sendiri. Idealisme itu pula mestilah dipandu wahyu dan sabda. Tapi tidaklah terlalu idealistik sampai meninggalkan realistik. Idea itu perlu dibumikan dan berpijak di dunia nyata. Lebih dukacita lagi ada mahasiswa yang bermaksiat. Meninggalkan Solat Fardhu hatta Solat Jumaat, berikhtilat siber tanpa batasan syariat, menonton video lucah dan menjalankan jenayah akademik berupa plagiarisme dalam peperiksaan mahupun assignment. Contoh yang saya tampilkan ini sama sekali tidak kena dengan sifat asli ‘tolibul ilmi’ yang harus bersih daripada noda yang sengaja diada-adakan lantas bakal menambahkan kuantiti titik-titik hitam di lubuk nubari.

"العلم نور. ونور الله لا يهدى للعاصي."
Bertepatan dengan suatu baris hikmah yang dituturkan ulama’: “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan menembusi hati orang yang bermaksiat.”

Lesu pula masalah yang agak teruk menimpa mahasiswa. Kita tidak mahu membiakkan mahasiswa yang lesu, lembik, kurang daya tahan dan ‘culas’. Mereka ibarat bangkai bernyawa yang menjadi liabiliti buat ummah. Jangan sampai ummah terkilan dengan sikap bodoh sombong kita. Buat program tak hadir (liat). Ke kelas pun malas. Apatah lagi mahu bermesyuarat dan berusrah, jauh sekali. Mereka sekadar tahu menyumbat perut dengan berbagai makanan dan minuman yang enak dan lazat, gemar mendengar lagu di bilik, menghadap laptop melayan Facebook, bermain game bola sepak PES 2012 dan menonton movie terbaru berjemaah. Lebih malang lagi hanya seronok menghayati nikmat tidur berbantalkan mimpi bidadari mungkin.

Ayuh mahasiswa, kita bangun dan bangkit! Saya juga mahasiswa seperti anda yang tidak terlepas daripada melakukan kesukaan dan kelalaian yang saya sebutkan sebentar tadi. Solusi kepada masalah ter’lagho’ dengan benda alah yang sedap itu adalah  tidak bersendirian. Antaranya melibatkan diri dengan aktiviti berpersatuan, duduk bersama orang ramai atau lebih baik lagi mendampingi ulama’ dan orang soleh. Bila bersendirian kita mudah melakukan ketidaktaatan kerana tidak ada lagi rasa malu jika perkara itu dilakukan di hadapan khalayak.

Cukuplah nukilan saya sekadarnya. Rasanya sudah agak panjang saya mencatat. Bukanlah untuk sahabat mahasiswa lain sangat, tetapi diri sendiri terutama. Sebenarnya sahabat saya, Abdul Hakim Othman yang kini mengaji di Jordan minta saya tuliskan artikel di bawah tajuk di atas. Sudah lama rasanya permintaan itu. Memakan tempoh berbulan juga. Adapun saya telah memulakannya sebelum Ramadan lepas di Pejabat BPPNT, tempat saya bekerja sementara waktu itu.

Sebetulnya baru sekarang saya mampu mencurah idea. Sebabnya saya sudah bergelar mahasiswa ‘semula’. Sudah mendapat jiwanya kembali. Makalah ini mungkin membantu beliau dan rakan-rakan mahasiswa. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Andai ada kekurangan, tapislah ia agar tetap menjadi suatu yang bermanfaat. Mohon maaf atas kekasaran kata dan keterlanjuran bahasa. Mahu saja naqalkan kata-kata Hakim, sang perintis artikel ini yang cukup ta’thir (mengesankan), “Seseorang itu akan diuji dengan ucapannya.” Allah, saya jadi begitu takut. Bimbang diuji nanti, sudahlah iman senipis kertas A4 70 gsm. Mujurlah Nabi pernah membicarakan;

"بلغوا عني ولو آية."
“Sampaikanlah daripadaku (ajaran) walaupun satu ayat.”

Rasanya sudah lebih daripada satu ayat, malah berayat-ayat. Akhirnya, pesan Syeikh Hasan Hudaibi, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, “Binalah Islam di dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di negaramu.” Nasihat saya pula, “Jangan tanya apa Islam boleh beri kepada kita. Tapi tanyalah apa kita boleh beri kepada Islam.” Kepada Allah jualah kita mohon kebaikan. Moga kita tergolong dalam mahasiswa agen perobah. Yakinlah, kita pasti mampu. Ummah sedang menunggu kita, teman!

Selesai: Jam 4.30 pagi (waktu Mesir), 1 Zulhijjah 1432 bersamaan 28 Oktober 2011 di Rumah 403, Asrama Penuntut Terengganu Mesir, Syeksen 10, Bandar Nasr, Kaherah, Bumi Kinanah.

Tuesday, June 5, 2012

Mahasiswa: Peranan dalam Islam, Semasa dan Selepas Pengajian (Siri 1)

Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria



Mahasiswa merupakan nadi masyarakat. Mereka dilihat sebagai pemimpin masa depan yang bakal menggantikan pemimpin yang ada pada hari ini. Merekalah yang diyakini akan membarisi tampuk pemerintahan negara. Kuasa mahasiswa sangat besar dalam masyarakat kerana mereka adalah golongan intelek dan terpelajar. Mereka punya pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat.

Mahasiswa punya peranannya yang tersendiri dan tidak boleh diremehkan apatah lagi dipandang enteng. Antaranya ialah peranannya terhadap akademik, masyarakat, negara dan agama. Peranan mereka terhadap akademik ialah dengan mereka belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat sijil Ijazah Sarjana Muda Kepujian sebagai contoh. Peranan terhadap masyarakat pula ialah dengan menjadi penghubung antara masyarakat dengan kerajaan. Selain itu, mereka perlu menyuarakan isi hati dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap dasar kerajaan. Dulu kita biasa mendengar ungkapan ‘jurubicara rakyat’ yang ditujukan khusus buat golongan mahasiswa.

Peranan terhadap negara pula ialah dengan mereka menjadi kilang melahirkan kepimpinan negara untuk masa akan datang dan mereka perlu bekerja dan berusaha untuk memaju dan membangunkan negara setelah tamat pengajian mengikut kesesuaian bidang pengajian masing-masing.

Peranan paling besar yang perlu dimainkan oleh mahasiswa ialah peranan mereka terhadap agama, yakni Islam. Antara peranan mereka ialah;
  1. Amanah dengan ilmu tanpa menyembunyikan kebenaran serta harus menyampai dan menyebarluaskan lagi ilmu.
  2. Berpegang teguh dengan akidah Islamiah.
  3. Melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam.
  4. Berakhlak dengan akhlak Islamiah.
  5. Turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama.
  6. Tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.
Kesemua peranan ini mestilah dimainkan dengan sebaik dan secantiknya. Mahasiswa tidak boleh sekadar menangguk di air keruh dan hanya batuk di tangga. Peranan mereka terhadap agama sangat besar maknanya. Apalah ertinya keilmuan dan keintelektuan yang dimiliki mahasiswa andai mereka hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Tidak mahu kisah dan cakna dengan masalah yang melanda ummah.

Sungguh, ummah sangat dahagakan pencerahan dan islah yang mesti dilaksanakan dengan jaya oleh mahasiswa. Siapakah lagi yang ummah mahu harapkan untuk menjaga dan memelihara agama yang suci ini melainkan mahasiswa? Lebih-lebih lagi mahasiswa Pengajian Islam yang mana kita ketahui mereka adalah bakal ulama’ pewaris kenabian. Di bahu mereka tergalas dan terpundak amanah yang berat demi melihat ummah bangun menjadi sebenar-sebenar khairu ummah.

Penegasan Nabi sudah cukup menggerunkan jiwa mahasiswa. Dengan jelas Baginda tidak mengiktiraf mereka sebagai muslim lagi. Mahukah kita tergolong dalam mereka yang tidak diiktiraf keIslamannya? Mohon jauh!

"من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم"
“Sesiapa yang tidak mengambil tahu akan perihal muslim lain maka dia bukan daripada kalangan mereka.”

Saya cuba jelaskan lagi satu persatu peranan-peranan yang saya sebutkan tadi. Agar kita lebih nampak bagaimana sesuatu peranan itu boleh dimainkan. Namun di sana banyak lagi peranan-peranan mahasiswa terhadap agama, akan tetapi tidaklah mahu saya senaraikan semuanya.


Pertama, amanah dengan ilmu tanpa menyembunyikan kebenaran serta harus menyampai dan menyebarluaskan lagi ilmu. Amanah dengan maksud tidak khianat. Ramai mana mahasiswa hari ini yang menjadi pengkhianat dan petualang agama? Sering kali kita mendengar ungkapan ‘musuh Allah berijazah Syariah’ bukan? Sesuatu kebenaran itu harus dizahirkan dan tidak boleh sama sekali disorok dan terperosok. Malah penyembunyian kebenaran dilarang keras dan jelas oleh Allah dalam Al-Quran.

وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Firman Allah taala yang maksudnya: “Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dan kebatilan serta menyembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahui.” (2:42)

Pengetahuan yang ada di dalam benak setiap mahasiswa memang tidak boleh disangkal lagi. Kemampuan mereka untuk membezakan yang mana benar dan yang mana salah adalah terlalu tinggi. Andai mereka masih memilih jalan selesa demi mendapat habuan dunia dan peluang kerja, maka mereka memilih untuk diam. Mudah amat untuk melihat ummah rosak. Cukup dengan hanya kita menutup mulut. Tidak perlu kepada teguran dan nasihat. Seperti seorang ayah dalam mendidik anak-anak. Anak-anak akan punah andai tiada kemarahan dan ketegasan daripada seorang bapa.

Namun, ada yang lebih dahsyat lagi menjadi penyebar ajaran sesat. Sekalipun tidak mahu bergiat dengan organisasi Islam, jangan pula menghancurkan Islam! Duduk diam-diam di rumah, minum susu sudahlah! Yang membisu itu satu hal, bercakap yang salah juga masalah.

Ingatlah amaran keras yang ditujukan Nabi khusus buat pemegang amanah ilmu Allah iaitu mahasiswa;

"الساكت عن الحق شيطان أخرس"
“Orang yang mendiamkan kebenaran adalah syaitan bisu.”

Kedua, berpegang teguh dengan akidah Islamiah. Mestilah seorang mahasiswa itu beriktikad dengan akidah yang jelas dan sahih. Soal ketauhidan adalah perkara pokok atau usul. Di mana tidak ada barang-kali muslim yang tidak tahu bahawa seawal-awal agama adalah mengenal Allah. Bagaimana seorang mahasiswa mahu mengenalkan masyarakat kepada Allah dan membawa mereka ke jalan-Nya sedang mereka sendiri tidak mengenali Sang Pencipta itu?

Ketiga, melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam. Kerja Islam ada tiga aspek penting; Amal Fardi, Amal Ijtimaie dan Amal Jamaie. Amal Fardi sebagai contoh solat sunat. Amal Ijtimaie seperti gotong-royong. Manakala Amal Jamaie skopnya luas. Apa saja yang dipersetujui melalui syura di dalam jemaah, maka dikira Amal Jamaie. Tidak semestinya ia dilakukan secara beramai-ramai. Andai hanya perlu wakilkan seorang dua untuk bertemu dengan sesuatu pihak, setelah dibincang dan diputuskan jemaah, itulah juga yang dinamakan Amal Jamaie.

Soal beriltizam dan bersama-sama jemaah memang tidak boleh disanggah sama sekali. Apa lagi alasan mahasiswa untuk tidak terlibat dengan jemaah Islam? Ingatlah pesanan Nabi kepada Huzaifah Al-Yaman ketika bersoaljawab dengannya. Akhir sekali Nabi menyebut;

"تلزم جماعة المسلمين وإمامهم."
“Hendaklah kalian bersama dengan jemaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Saranan Nabi sudah cukup jelas bukan? Akal saya tidak boleh menerima bagaimana orang yang faham agama boleh memilih untuk berjuang dengan sekular. Seolah berlaku percanggahan yang besar di situ. Belajar ilmu Allah, tapi boleh lawan Allah balik. Janganlah mereka bersikap selesa di dunia dan akhirnya celaka di akhirat. Amaran Nabi bahawa pengkhianat agama atau ulama’ su’ (jahat) akan menjadi kayu api – bahan bakar api neraka sudah cukup menyedarkan kita semua sepatutnya.

... Bersambung.

Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.