Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Thursday, January 16, 2014

2014: Setelah Dua Puluh Tiga Tahun

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan.

Pertamanya terima kasih di atas kesudian kalian untuk membaca catatan saya untuk kesekian kalinya. Entah, saya pun tidak tahu kenapa saya masih mahu menulis di blog yang rasanya sudah tidak ramai pembacanya hari ini. Mungkin kerana blog adalah budaya lama, hari ini orang ramai lebih memilih Facebook berbanding blog.

Saya memilih untuk berblog semula setelah sekian lama saya berkubang dan bercedung di medan Facebook (FB). Bukan kerana saya sudah berputus asa dengan FB, tetapi saya ada sebab tersendiri yang rasanya tak perlu semua orang tahu, cukuplah beberapa orang terdekat yang mengetahui hal sebenar.

Ini apa yang saya tulis di FB sebagai status terakhir saya di sana;

Budaya Facebook sebenarnya sudah membunuh ramai orang.

Termasuk membunuh tokoh-tokoh figura masyarakat.

Saya juga merupakan mangsa fenomena Fesbuking yang sudah semacam mengarut amat hari ini. Malah saya rasa seperti dibunuh-bunuh saja oleh dunia Fesbuk!

Facebook akan menterjemahkan sifat-sifat mazmumah dan penyakit hati yang dicela melalui status, komen, gambar dan sebagainya.

Facebook akan menjelas dan menjaharkan sifat nifaq yang bersarang di hati. Menampakkan sisi jahat manusia yang penuh dengan dendam, benci, amarah, tamak dan dengki.

Daripada sebuah pertelingkahan kecil merebak menjadi sebuah perang besar.

Isu asal hanya bersifat picisan, yang akhirnya berakhir dengan sebuah "tragedi" maki hamun yang tidak berkesudahan.

Itulah sebabnya saya seakan sudah serik berFacebook. Malah ayah juga meminta supaya saya meninggalkannya.

Oleh itu, selamat tinggal Fesbuk dan Mark Zuckerberg!

Nota hujung: Saya belum bercadang untuk menutup FB saya atas beberapa sebab yang tak perlu diberitahu. Selepas status ini dikirim, saya hanya akan bukak sekali-sekala je Fesbuk. Malas dah layan kerenah manusia yang bermacam ragam itu. 

Saya menulis dengan penuh  berat hati.

Saya seolah berada di persimpangan antara dua perkara yang selalu saya fikirkan. Satunya ialah soal dakwah saya di FB. Perlukah saya berputus asa? Keduanya pula soal "tragedi" yang saya alami sepanjang berFB.

Kalau saya boleh untuk tidak memilih, pastinya ia lebih meringankan buat saya. Tapi itu tidak berlaku. Saya perlu memilih salah satu.

Lalu saya memilih yang kedua. Saya tidak tahan dengan maki hamun yang dilemparkan buat saya, ayah saya atau sesiapa saja yang saya sayang.

Mereka hanya tahu melempar batu, lalu sembunyi tangan. Kalaulah saya bisa berbuat sesuatu selain daripada "bersara" daripada dunia FB, pasti saya akan lakukan.

Tapi saya tidak nampak dan tak jumpa tindakan alternatif itu. Yang ada hanyalah saya perlu "pencen" dan tidak perlu lagi berFB.

Itulah keputusan saya. Namun saya tidak tahu berapa lama saya boleh bertahan dengan pilihan kurang popular dan kekampungan itu.

Sebetulnya saya terkesan dengan apa yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam blog beliau, saifulislam.com.

Beliau menulis antaranya;

Resah melihat Facebook mengubah tabiat tokoh-tokoh yang bergiat menggunakannya hingga nama-nama besar pun jadi gedik, baran, merepek, merapu, juga ‘terpaksa’ membuat justifikasi demi justifikasi terhadap pelbagai perkara.

Jawab menjawab.

Balah berbalah.

Entah bagaimana hendak mengungkapkannya, tabiat aplikasi Facebook itu sendiri menyebabkan apabila alim berbahas dengan jahil, ia akan berakhir dengan binasanya si alim, dan semakin menebal kejahilan para juhala’.

Dalam konteks proses ilmu, mendidik dan mengajar atau berdakwah di Facebook adalah seperti memberi mi segera kepada orang yang lapar kebuluran. Mula-mula rasa berjasa. Lama kelamaan ia berubah menjadi pembunuhan.

Sumber: http://saifulislam.com/2014/01/azam-2014-menikmati-pilihan-pilihan-kekampungan/

Saya terpaksa membuat pilihan ini. Ditambah lagi dengan pesanan dan amanat terakhir ayah di KLIA sebelum saya terbang jauh ke Bumi Kinanah. Kata ayah, "Dak yoh (tak payah) main ar Facebook."

Pesanan ayah itulah yang membulatkan lagi tekad saya untuk berhenti terus daripada berFB.

Maafkan saya andai keputusan ini merencatkan usaha dakwah kita, sahabat.

Saya akan terus berdakwah sebagaimana prinsip yang saya pegang bertahun lamanya.

"Berjuang selagi diberi ruang, berusaha selagi diberi daya."

Saya seperti biasa. Saya masih ada di surau/masjid. Masih ada di blog, Twitter, Instagram dan sebagainya. Cuma di FB sahaja saya sudah tidak ada.

Sekarang umur saya sudah mencecah dua puluh tiga (23) tahun. Dua puluh tiga tahun (saya lahir 1 Januari 1991) yang saya lalui sangat memenatkan. Dua puluh tiga tahun yang berat bagi seorang insan lemah seperti saya.

Saya sedar yang saya tidak ada apa-apanya. Saya ini hanyalah budak hingusan yang tidak mengerti apa pun akan urusan dunia. Saya hanya menempel dalam banyak acara dan gelendangan di tengah keramaian.

Saya tidak pandai berlakon atau buat-buat pandai. Kerana saya memang seorang yang tidak pandai. Saya cuma tahu menulis dan membaca sedikit sebanyak.

Saya bukan intelektual atau ilmuwan agama. Saya hanya pelajar mubtadi' (peringkat permulaan) yang masih banyak perlu belajar dan mentelaah. Kerana masih banyak yang saya tidak tahu.

Semoga Allah menjadikan dua puluh tiga tahun ini, sebagai dua puluh tiga tahun yang bermanfaat. Dua puluh tiga tahun yang membawa rahmat dan berkat.

Semoga Allah bantu.

Muhammad Nasih Ulwan @ www.nasehulwan.com
Kota Kaherah

Sunday, October 7, 2012

Travelog Tarbawi: Memoir Anak Pejuang, Suatu Pengenalan

Assamualaikum para pembaca budiman sekalian.

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa esok adalah hari raya! haha. Ok. Aku serius.

Begini, insya-Allah kalau tidak ada aral melintang, aku bakal muncul dengan sebuah buku sendiri yang bertajuk Travelog Tarbawi: Memoir Anak Pejuang. Merupakan koleksi artikel yang diceduk daripada blog ini dan antalogi puisi yang diceduk daripada blog Pentas Tinta.

Lepas ini anda bolehlah dapatkannya di pasaran gelap. hehe. Aku nak ke Mesir dah ni. Bulan depan insya-Allah. Jadi sebelum aku ke sana, aku mahu berbakti untuk nusa bangsa, jadi aku menulis buku ini. Walaupun isinya kebanyakan diambil daripada blog ini, akan tetapi ada tujuh buah artikel yang baru. Enam daripadanya ditulis oleh aku dan satu lagi ditulis oleh kekanda kesayanganku, Abreh.

Jangan lupa dapatkan tau? haha.

Sekian, terima kasih. :D

Doakan kami berjaya menjadi anak pejuang yang soleh!

Wednesday, June 20, 2012

Mahasiswa: Peranan dalam Islam, Semasa dan Selepas Pengajian (Siri 2)

Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, Al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria


Sambungan Siri 1;

Keempat, berakhlak dengan akhlak Islamiah. Bercakap soal akhlak rasanya semua sudah jelas. Malah Nabi sendiri pun diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Seharusnya mereka yang ingin mengikut jalan perjuangan Nabi turut berakhlak dengan akhlak Nabi. Mana mungkin orang yang punya akhlak buruk boleh dijadikan qudwah dan ikutan. Ada yang bertanya apa beza akhlak dan moral? Rakan saya di UIA pernah kongsikan, moral ialah apa saja yang dilihat baik oleh semua manusia tidak kira agama tetapi tidak membaca Al-Quran. Ia tidak termasuk dalam moral. Sedang ketika Aisyah ditanya bagaimanakah akhlak Nabi?

"كان خلقه القرآن."
Jawab Saidatina, “Sesungguhnya akhlak Baginda ialah Al-Quran.”

Kita sepatutnya sedia maklum bahawa di dalam Al-Quran terkandung lebih banyak ayat berkaitan akhlak berbanding hukum-hakam. Di dalamnya diajar supaya sabar, redha, amanah, menepati janji, berbuat baik terhadap ibu bapa, syukur dan bermacam lagi sikap baik yang perlu ada di dalam diri sekalian muslim. Ini menunjukkan betapa indahnya Islam dan perilaku Nabi s.a.w. yang menterjemahkan Al-Quran melalui akhlaknya.

Kelima, turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama. Banyak kesamaran dan salah faham yang melanda ummah. Mereka masih lagi jahil soal ibadat harian termasuk solat, apatah lagi perkara serumit Hudud dan Qisos. Kewajipan dakwah semua sudah ma’ruf bukan?

"من قال لا إله إلا الله فهو الداع."
Sebagaimana kata Nabi s.a.w.: “Siapa yang mengucapkan ‘tiada Tuhan melainkan Allah’ (syahadah) maka dia adalah pendakwah.”

Keenam, tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama. Ini yang  terpenting sebetulnya. Entah, saya tidak pernah meletakkan peranan-peranan ini mengikut prioriti. Nombor hanyalah nombor dan tetap nombor. Tidak bermaksud yang pertama lebih afdhal dari yang keenam. Masing-masing punya keutamaan dan perlu diseiringkan dan berjalan serentak. Namun saya tidak menolak untuk mahasiswa memfokuskan kepada satu dua peranan saja dulu. Dakwah itukan bersifat tadarruj (beransur-ansur). Pilihlah yang mana ingin didahulukan, saya tidak pernah dan punya hak untuk menghalang. Cumanya janganlah pula dikesampingkan peranan lain.

"ما لا يدرك كله لا يترك جله."
Kaedah Islam mengajar: “Apa yang tidak mampu kita kuasai semuanya, jangan pula ditinggalkan kesemuanya.”

Apa yang ingin saya sampaikan dalam peranan keenam ialah sifat Islam itu syumul. Meliputi seluruh aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti makan minum hinggalah sebesar-besar perkara contohnya memerintah negara. Maka tidak dapat tidak mahasiswa wajib berilmu (punya pengetahuan mendalam), faqih (punya kefahaman yang betul) dan mengaplikasikan ilmu yang difahami tersebut dalam kehidupan. Menyeluruhnya Islam sehingga semua perkara ada Islam di dalamnya. Bermula politik, sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan sehinggalah hiburan dan sukan, malah semuanya. Apa yang tidak ada dalam Islam?


Namun ironinya, apa yang berlaku hari ini mahasiswa terlalu leka dan lesu. Sangat mengecewa dan menyedihkan. Leka dengan kenikmatan duniawi dan seisinya. Fenomena hedonisme juga melanda mahasiswa. Benar, musuh tidak pernah mengenal sesiapa. Malah ada yang leka dengan pelajaran sampai meninggalkan kewajipan terhadap ummah dan agama. Tidak pernah ambil tahu isu semasa, apa yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia lebih-lebih lagi. Perkara ini sudah saya jelaskan sebelum ini.­­

Mereka tenggelam dengan 5M. Teringat mau’izoh Ustaz Ridhuan, mantan YDP BKAN Pahang dalam Program Obor Mahasiswa Harapan (OASIS) PMRAM di Nuzul Isma’iliyah bulan lalu, “Mahasiswa baru mesti hindari 5M. Makan, minum, main Facebook, main PES dan movie.” Mahasiswa hari ini sering dimomokkan dengan hiburan, permainan dan gaya hidup melampau. Semuanya dihidang dan dijamu selera bagai bukan suatu kebobrokan dan tanpa rasa bersalah. Selalu juga kita mendengar istilah 3K yang popular di kalangan penuntut IPTA di Tanah Air. Kuliah, katil dan kafe. Mahasiswa sekarang biasanya hanya berlegar dan bermain di sekitar tiga perkara itu saja.

Mahasiswa cerdik sepatutnya punya idealisme sendiri. Idealisme itu pula mestilah dipandu wahyu dan sabda. Tapi tidaklah terlalu idealistik sampai meninggalkan realistik. Idea itu perlu dibumikan dan berpijak di dunia nyata. Lebih dukacita lagi ada mahasiswa yang bermaksiat. Meninggalkan Solat Fardhu hatta Solat Jumaat, berikhtilat siber tanpa batasan syariat, menonton video lucah dan menjalankan jenayah akademik berupa plagiarisme dalam peperiksaan mahupun assignment. Contoh yang saya tampilkan ini sama sekali tidak kena dengan sifat asli ‘tolibul ilmi’ yang harus bersih daripada noda yang sengaja diada-adakan lantas bakal menambahkan kuantiti titik-titik hitam di lubuk nubari.

"العلم نور. ونور الله لا يهدى للعاصي."
Bertepatan dengan suatu baris hikmah yang dituturkan ulama’: “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan menembusi hati orang yang bermaksiat.”

Lesu pula masalah yang agak teruk menimpa mahasiswa. Kita tidak mahu membiakkan mahasiswa yang lesu, lembik, kurang daya tahan dan ‘culas’. Mereka ibarat bangkai bernyawa yang menjadi liabiliti buat ummah. Jangan sampai ummah terkilan dengan sikap bodoh sombong kita. Buat program tak hadir (liat). Ke kelas pun malas. Apatah lagi mahu bermesyuarat dan berusrah, jauh sekali. Mereka sekadar tahu menyumbat perut dengan berbagai makanan dan minuman yang enak dan lazat, gemar mendengar lagu di bilik, menghadap laptop melayan Facebook, bermain game bola sepak PES 2012 dan menonton movie terbaru berjemaah. Lebih malang lagi hanya seronok menghayati nikmat tidur berbantalkan mimpi bidadari mungkin.

Ayuh mahasiswa, kita bangun dan bangkit! Saya juga mahasiswa seperti anda yang tidak terlepas daripada melakukan kesukaan dan kelalaian yang saya sebutkan sebentar tadi. Solusi kepada masalah ter’lagho’ dengan benda alah yang sedap itu adalah  tidak bersendirian. Antaranya melibatkan diri dengan aktiviti berpersatuan, duduk bersama orang ramai atau lebih baik lagi mendampingi ulama’ dan orang soleh. Bila bersendirian kita mudah melakukan ketidaktaatan kerana tidak ada lagi rasa malu jika perkara itu dilakukan di hadapan khalayak.

Cukuplah nukilan saya sekadarnya. Rasanya sudah agak panjang saya mencatat. Bukanlah untuk sahabat mahasiswa lain sangat, tetapi diri sendiri terutama. Sebenarnya sahabat saya, Abdul Hakim Othman yang kini mengaji di Jordan minta saya tuliskan artikel di bawah tajuk di atas. Sudah lama rasanya permintaan itu. Memakan tempoh berbulan juga. Adapun saya telah memulakannya sebelum Ramadan lepas di Pejabat BPPNT, tempat saya bekerja sementara waktu itu.

Sebetulnya baru sekarang saya mampu mencurah idea. Sebabnya saya sudah bergelar mahasiswa ‘semula’. Sudah mendapat jiwanya kembali. Makalah ini mungkin membantu beliau dan rakan-rakan mahasiswa. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Andai ada kekurangan, tapislah ia agar tetap menjadi suatu yang bermanfaat. Mohon maaf atas kekasaran kata dan keterlanjuran bahasa. Mahu saja naqalkan kata-kata Hakim, sang perintis artikel ini yang cukup ta’thir (mengesankan), “Seseorang itu akan diuji dengan ucapannya.” Allah, saya jadi begitu takut. Bimbang diuji nanti, sudahlah iman senipis kertas A4 70 gsm. Mujurlah Nabi pernah membicarakan;

"بلغوا عني ولو آية."
“Sampaikanlah daripadaku (ajaran) walaupun satu ayat.”

Rasanya sudah lebih daripada satu ayat, malah berayat-ayat. Akhirnya, pesan Syeikh Hasan Hudaibi, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, “Binalah Islam di dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di negaramu.” Nasihat saya pula, “Jangan tanya apa Islam boleh beri kepada kita. Tapi tanyalah apa kita boleh beri kepada Islam.” Kepada Allah jualah kita mohon kebaikan. Moga kita tergolong dalam mahasiswa agen perobah. Yakinlah, kita pasti mampu. Ummah sedang menunggu kita, teman!

Selesai: Jam 4.30 pagi (waktu Mesir), 1 Zulhijjah 1432 bersamaan 28 Oktober 2011 di Rumah 403, Asrama Penuntut Terengganu Mesir, Syeksen 10, Bandar Nasr, Kaherah, Bumi Kinanah.

Tuesday, June 5, 2012

Mahasiswa: Peranan dalam Islam, Semasa dan Selepas Pengajian (Siri 1)

Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria



Mahasiswa merupakan nadi masyarakat. Mereka dilihat sebagai pemimpin masa depan yang bakal menggantikan pemimpin yang ada pada hari ini. Merekalah yang diyakini akan membarisi tampuk pemerintahan negara. Kuasa mahasiswa sangat besar dalam masyarakat kerana mereka adalah golongan intelek dan terpelajar. Mereka punya pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat.

Mahasiswa punya peranannya yang tersendiri dan tidak boleh diremehkan apatah lagi dipandang enteng. Antaranya ialah peranannya terhadap akademik, masyarakat, negara dan agama. Peranan mereka terhadap akademik ialah dengan mereka belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat sijil Ijazah Sarjana Muda Kepujian sebagai contoh. Peranan terhadap masyarakat pula ialah dengan menjadi penghubung antara masyarakat dengan kerajaan. Selain itu, mereka perlu menyuarakan isi hati dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap dasar kerajaan. Dulu kita biasa mendengar ungkapan ‘jurubicara rakyat’ yang ditujukan khusus buat golongan mahasiswa.

Peranan terhadap negara pula ialah dengan mereka menjadi kilang melahirkan kepimpinan negara untuk masa akan datang dan mereka perlu bekerja dan berusaha untuk memaju dan membangunkan negara setelah tamat pengajian mengikut kesesuaian bidang pengajian masing-masing.

Peranan paling besar yang perlu dimainkan oleh mahasiswa ialah peranan mereka terhadap agama, yakni Islam. Antara peranan mereka ialah;
  1. Amanah dengan ilmu tanpa menyembunyikan kebenaran serta harus menyampai dan menyebarluaskan lagi ilmu.
  2. Berpegang teguh dengan akidah Islamiah.
  3. Melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam.
  4. Berakhlak dengan akhlak Islamiah.
  5. Turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama.
  6. Tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.
Kesemua peranan ini mestilah dimainkan dengan sebaik dan secantiknya. Mahasiswa tidak boleh sekadar menangguk di air keruh dan hanya batuk di tangga. Peranan mereka terhadap agama sangat besar maknanya. Apalah ertinya keilmuan dan keintelektuan yang dimiliki mahasiswa andai mereka hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Tidak mahu kisah dan cakna dengan masalah yang melanda ummah.

Sungguh, ummah sangat dahagakan pencerahan dan islah yang mesti dilaksanakan dengan jaya oleh mahasiswa. Siapakah lagi yang ummah mahu harapkan untuk menjaga dan memelihara agama yang suci ini melainkan mahasiswa? Lebih-lebih lagi mahasiswa Pengajian Islam yang mana kita ketahui mereka adalah bakal ulama’ pewaris kenabian. Di bahu mereka tergalas dan terpundak amanah yang berat demi melihat ummah bangun menjadi sebenar-sebenar khairu ummah.

Penegasan Nabi sudah cukup menggerunkan jiwa mahasiswa. Dengan jelas Baginda tidak mengiktiraf mereka sebagai muslim lagi. Mahukah kita tergolong dalam mereka yang tidak diiktiraf keIslamannya? Mohon jauh!

"من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم"
“Sesiapa yang tidak mengambil tahu akan perihal muslim lain maka dia bukan daripada kalangan mereka.”

Saya cuba jelaskan lagi satu persatu peranan-peranan yang saya sebutkan tadi. Agar kita lebih nampak bagaimana sesuatu peranan itu boleh dimainkan. Namun di sana banyak lagi peranan-peranan mahasiswa terhadap agama, akan tetapi tidaklah mahu saya senaraikan semuanya.


Pertama, amanah dengan ilmu tanpa menyembunyikan kebenaran serta harus menyampai dan menyebarluaskan lagi ilmu. Amanah dengan maksud tidak khianat. Ramai mana mahasiswa hari ini yang menjadi pengkhianat dan petualang agama? Sering kali kita mendengar ungkapan ‘musuh Allah berijazah Syariah’ bukan? Sesuatu kebenaran itu harus dizahirkan dan tidak boleh sama sekali disorok dan terperosok. Malah penyembunyian kebenaran dilarang keras dan jelas oleh Allah dalam Al-Quran.

وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Firman Allah taala yang maksudnya: “Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dan kebatilan serta menyembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahui.” (2:42)

Pengetahuan yang ada di dalam benak setiap mahasiswa memang tidak boleh disangkal lagi. Kemampuan mereka untuk membezakan yang mana benar dan yang mana salah adalah terlalu tinggi. Andai mereka masih memilih jalan selesa demi mendapat habuan dunia dan peluang kerja, maka mereka memilih untuk diam. Mudah amat untuk melihat ummah rosak. Cukup dengan hanya kita menutup mulut. Tidak perlu kepada teguran dan nasihat. Seperti seorang ayah dalam mendidik anak-anak. Anak-anak akan punah andai tiada kemarahan dan ketegasan daripada seorang bapa.

Namun, ada yang lebih dahsyat lagi menjadi penyebar ajaran sesat. Sekalipun tidak mahu bergiat dengan organisasi Islam, jangan pula menghancurkan Islam! Duduk diam-diam di rumah, minum susu sudahlah! Yang membisu itu satu hal, bercakap yang salah juga masalah.

Ingatlah amaran keras yang ditujukan Nabi khusus buat pemegang amanah ilmu Allah iaitu mahasiswa;

"الساكت عن الحق شيطان أخرس"
“Orang yang mendiamkan kebenaran adalah syaitan bisu.”

Kedua, berpegang teguh dengan akidah Islamiah. Mestilah seorang mahasiswa itu beriktikad dengan akidah yang jelas dan sahih. Soal ketauhidan adalah perkara pokok atau usul. Di mana tidak ada barang-kali muslim yang tidak tahu bahawa seawal-awal agama adalah mengenal Allah. Bagaimana seorang mahasiswa mahu mengenalkan masyarakat kepada Allah dan membawa mereka ke jalan-Nya sedang mereka sendiri tidak mengenali Sang Pencipta itu?

Ketiga, melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam. Kerja Islam ada tiga aspek penting; Amal Fardi, Amal Ijtimaie dan Amal Jamaie. Amal Fardi sebagai contoh solat sunat. Amal Ijtimaie seperti gotong-royong. Manakala Amal Jamaie skopnya luas. Apa saja yang dipersetujui melalui syura di dalam jemaah, maka dikira Amal Jamaie. Tidak semestinya ia dilakukan secara beramai-ramai. Andai hanya perlu wakilkan seorang dua untuk bertemu dengan sesuatu pihak, setelah dibincang dan diputuskan jemaah, itulah juga yang dinamakan Amal Jamaie.

Soal beriltizam dan bersama-sama jemaah memang tidak boleh disanggah sama sekali. Apa lagi alasan mahasiswa untuk tidak terlibat dengan jemaah Islam? Ingatlah pesanan Nabi kepada Huzaifah Al-Yaman ketika bersoaljawab dengannya. Akhir sekali Nabi menyebut;

"تلزم جماعة المسلمين وإمامهم."
“Hendaklah kalian bersama dengan jemaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Saranan Nabi sudah cukup jelas bukan? Akal saya tidak boleh menerima bagaimana orang yang faham agama boleh memilih untuk berjuang dengan sekular. Seolah berlaku percanggahan yang besar di situ. Belajar ilmu Allah, tapi boleh lawan Allah balik. Janganlah mereka bersikap selesa di dunia dan akhirnya celaka di akhirat. Amaran Nabi bahawa pengkhianat agama atau ulama’ su’ (jahat) akan menjadi kayu api – bahan bakar api neraka sudah cukup menyedarkan kita semua sepatutnya.

... Bersambung.

Thursday, May 3, 2012

Catatan Kembara Ilmu

 Masjid al-Azhar; Tempat 'minum' bagi yang dahagakan ilmu.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat semuanya dalam jagaan Allah.

Setelah hampir enam bulan aku tidak menulis apa-apa entri di blog ini, akhirnya datang juga semangat untuk menulis semula di sini. Ingatkan blog aku langsung tidak akan diupdate lagi. Alhamdulillah, dengan wajah baru seiringan dengan semangat yang baru juga, insya-Allah. Fuhh, letih juga mengupgrade dan merenovate beliau. Juga blog aku sudah punya trademark baru sekarang; Melakar Cinta di Bumi Kinanah.

Untuk entri pertama ini aku hanya akan copy paste status-status aku di Facebook. Sudilah kiranya kalian membacanya sebagai permulaan. Insya-Allah, selepas ini aku akan menulis entri berkenaan pengalaman dan kisah kehidupan baruku di bumi Mesir. Terima kasih atas kesudian membaca dan menjenguk blog aku ini.

SEBELUM BERANGKAT
Insya-Allah, malam ini saya akan terbang jauh ke bumi Mesir.

Terima kasih buat semua penyumbang budiman sama ada melalui wang ringgit, dorongan semangat dan doa. Mohon doa daripada kalian!

Mohon maaf atas segalanya!

Saya bakal merindui semua yang ada di sini. Dalam keterujaaan saya ke sana, masih ada bibit-bibit kesedihan itu. Selamat tinggal Malaysia! =(
 SELAMAT SAMPAI
Alhamdulillah, sudah selamat sampai di Kaherah, Perlembahan Nil. Kami tiba sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Terima kasih buat keluarga dan rakan yang menghantar kami. Juga buat abang senior yang menyambut dengan penuh kemesraan. Kami sangat hargai keikhlasan antum. Hanya Allah mampu membalasnya.

Insya-Allah, saya akan menulis beberapa catatan kembara ilmu saya sedikit masa lagi. Moga beri manfaat untuk 'ibrah kita bersama! (:
MENGENAI MESIR & AL-AZHAR
Dalam al-Quran Allah sebut Mesir sebanyak 5 kali. Juga digelar Ardhul Kinanah.

Al-Azhar adalah antara yang ditakuti Barat mengenai Islam, selain al-Quran, Makkah dan Solat Jumaat. Ditakuti kerana telah melahirkankan ramai ilmuan yang menyebarkan fahaman Islam di seluruh dunia.

Mana mungkin saya yang punya tangan berlumuran dosa sesuai dengan tempat semulia al-Azhar. Tapi itulah percaturan Allah. TakdirNya adalah yang terbaik dan Dia tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang beriman. 
CATATAN KEMBARA ILMU 1
Saya sebak saat memeluk tubuh suci milik mok, adik-beradik, tok dan pok/mok sedara di Mator Terengganu. Mahu saja saya menangis, namun ego mengatasi segalanya. Harap ianya bukan pelukan terakhir kami di dunia.

Saat melihat para guru dan sahabat yang menghantar saya di sana, saya bertambah sebak. Sebak kerana bimbang andai saya tak dapat memenuhi harapan mereka. Mereka pasti mengharapkan kepulangan saya sebagai seorang ulama' pendidik masyarakat. Namun, mampukah saya? =(
CATATAN KEMBARA ILMU 2
Saya terharu apabila ayah saya, Ustaz Zakaria Dagang sanggup menghantar saya sampai ke KLIA. Ayoh memang sudah sangat banyak berkorban untuk saya.

Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa Ayoh. Beliau insan paling penting dan istimewa dalam hidup saya. Saya sangat bertuah punya ayah sepertinya. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 3
Tadi saya temankan sepupu saya, Abdul Mu'iz ke Hayyu Sabe'. Fatah Fathuddin juga ikut serta. Kami ke Maktabah Darus Salam untuk membeli kutaib. Saya habiskan 120 genih untuk 23 kutaib dan al-Quran.

Nanti saya kongsikan tajuk kutaib itu di blog. Majoriti kutaib yang dibeli ialah karangan idola saya dan ummah, Dr Abdullah Naseh Ulwan. Seronok dapat naik bas (sardin), tremco (van sapu) dan teksi (bermeter) tadi. Rasa macam tak mau pulang ke Malaysia dah je! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 4
Sikap obses saya terhadap buku/kitab masih belum dapat dibendung. Sejak di Malaysia lagi saya sudah bersikap dengan yang demikian.

Mesir adalah bumi ilmu. Mana mungkin saya mahu melepaskan peluang mendapatkan kitab dengan harga yang murah itu.

Maafkan saya ibu! Ini untuk manfaat masa depan saya dan ummah juga. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 5
Salam rindu buat semua warga UIA. Alhamdulillah, ana telahpun sampai ke Bumi Kinanah, Mesir. Terima kasih kepada semua sahabat yang pernah menolong ana sepanjang pembelajaran ana di UIA Nilai.

Mohon maaf atas semua kesilapan ana selama berada di UIA Nilai. Doakan kejayaan, keselamatan dan kesihatan ana di sini. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 6
Sedang berprogram dalam Hari Pengetahuan dan Silaturrahim anjuran Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru KPT (USMB '11).

Seronok sangat program ni! Alhamdulillah.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 7
Dr Che Anas Che Kadir telahpun meninggalkan kami dan pulang ke Malaysia. Selamat jalan dan selamat pulang saya ucapkan. Moga pulangmu membawa seribu rahmat buat rakyat Malaysia. =)

Hari ketiga saya di sini, saya ada ziarah ke rumah beliau. Waktu tu, sahabat saya Ustaz Al-Amin Hj Salleh yang bawa saya. Sempat juga belajar ilmu fotografi dengan Abang Muaz Zakaria. Kami juga sembang ilmu dan bincang isu semasa. Seronok je..
CATATAN KEMBARA ILMU 8
Dalam doa saya bermonolog sendirian:
Maaf kerana memeningkanmu. Mungkin aku memang sudah ditakdirkan untuk menjadi beban dan ujian kepada mereka. Namun aku redha ya Allah. =(  
CATATAN KEMBARA ILMU 9
Salahkah andai kami mahu belajar melalui internet? Malah internet boleh dinisbahkan dengan berjuta-juta kitab. Fahamkanlah wahai yang berakal!

Jangan cepat su' zon bila lihat kami main laptop. Tak boleh ke kalau kami study guna laptop? Contoh ada soalan imtihan qobul secara soft copy. Tak kan nak gi fotostat kot?

Oh, sangat prihatin dan berkebajikan mereka itu! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 10
Apakah yang akan berlaku andai Maher Zain akan menyanyi bersama Bytiey? Sama-sama kita nantikan sebentar saja lagi. haha..
CATATAN KEMBARA ILMU 11
Bestnya bila ada orang rindukan kita lalu membawa kita dalam mimpi mereka. Ya, saya punya pengalaman itu. Walaupun beliau tak hadir menghantar saya di mator, namun beliau hadir dalam mimpi beliau. Allahu robbi! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 12
Entah. Rasa lain macam je. Adakah ini petanda buruk atau baik? Pastinya takdir Allah adalah yang terbaik untuk hambaNya. Dia tidak akan sesekali mengecewakan hambaNya yang beriman.
CATATAN KEMBARA ILMU 13
Bila Allah nak bagi kita hadiah yang mahal, pasti kita tak akan diuji dengan harga yang murah.
CATATAN KEMBARA ILMU 14
Alhamdulillah atas dua perkara:

1. Terubat kerinduan apabila mendengar suara mereka. Sungguh, kalian adalah jiwa saya. Saya boleh mati tanpa kalian.

2. Selesai sudah Hari Pengenalan dan Silaturrahim (HPS) anjuran USMB KPT '11. Terima kasih kepada semua fasilitator, urusetia dan peserta program. Antum banyak merubah paradigma ana sebagai seorang Naseh Ulwan. Syukron awi awi!
CATATAN KEMBARA ILMU 15
Sabar itu tandanya sayang. Bersabarlah wahai diri! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 16
Mahu berbuka puasa di bilik tetap saya, 403. Sekarang di bilik angkat, 101. hehe.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 17
Perlu membayar perjuangan dengan harga yang mahal. Sungguh, syurga itu mahal amat! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 18
Sayu saya membaca catatan naqib saya, Ustaz Tengku Khairul Idham buat sahabatnya yang juga sahabat senior saya, Ustaz Syed Maarof Al-idrus.

Kepulangan beliau pasti dinantikan seluruh umat Malaysia. Kontranya, kami di sini pula bersedih dengan kehilangan beliau. Bagai nasi tanpa kuah. Begitulah kami tanpa kelibatnya. Pesanan terakhirnya sungguh mengesankan kami. =(
Link: Pulang Seorang Sahabat.
USRAH PERTAMA
Muzakarah Berkelompok KPT di Surau Kompleks Darul Iman tadi;

Fasi: Ustaz Syamsul (Waalid Aisya).
Ahli: Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Farid, Ustaz Naim, Dr Tarmizi, Ustaz Mujahid, Ustaz Saiful, Ustaz Asroy, Ustaz Shahril dan Naseh.
Perbincangan: Hadis pertama dalam kitab Arba'in Nawawiyyah berkenaan niat, ikhlas dan isu semasa.

Seronok sangat-sangat! =D 
BERSIH: 'THAURAH' VERSI MALAYSIA
Seorang Arab Mesir tanyakan hal baju kuning saya. "Apa maksud BERSIH?"

Saya terfikirkan apa jawapan yang sesuai. "Ini 'thaurah (revolusi)' negara kami." Jawab saya dengan yakinnya.

Dia tanya lagi, "Najib tu jahat ke?"

Susahnya soalan. Saya menjawab, "Lebih kurang Hosni Mubarak la." =D
SUBHANALLAH!
Subhanallah atas dua perkara;

1. Sangat seronok mendengar tazkirah sempena Ribat Pmram di Dataran Hayyu 'Asyir pagi tadi. Lontaran vokal yang jelas oleh Ustaz Asri Mat Daud menghilangkan rasa mengantuk saya. Isi yang cuba diutarakan juga sangat mantap. Ustaz berbicara soal Rijal. Antara kriteria yang perlu dimiliki oleh Rijal ialah mestilah mengambil makanan yang toyyibat.

2. Menerima kunjungan hormat daripada dua orang sahabat yang sangat dirindui, Ustaz أحمد فتحي الكلنتاني dan Dr Mohd Zameer Shazwan Zulkiffli. Terima kasih atas kunjungan! Ada masa datanglah lagi ke sini ya? =D
ALHAMDULILLAH!
Alhamdulillah untuk 2 perkara;

1. Dapat bertemu kekasih. Sangat seronok pertemuan kami tadi. Moga saya tidak akan pernah jemu untuk bertemu dengan kekasih. Moga kekasih cintakan saya sebagaimana saya cintakannya. Terima kasih buat sahabat yang sudi menenami; Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Murshid dan Ustaz Asroy.

2. Semalam saya ke 'Low Yat' versi Mesir. Hari ini juga ke sana. Sepanjang perjalanan hari ini, saya banyak belajar mengenai hakikat diri daripada sepupu terbaik saya, Ustaz Muiz (Ama). Syukron ya sodiiq! =D
 OASIS
Alhamdulillah, sangat seronok berOASIS!

Sahabat, ketemu lagi dalam program PMRAM akan datang, insya-Allah! =D
IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, esok saya dan rakan-rakan akan menghadapi Imtihan Qobul (Peperiksaan Kelayakan) di Markaz Lughah Kuliyah Al-Ulum Al-Islamiyah Universiti Al-Azhar.

Mohon doa daripada kalian moga Allah berikan ketenangan dan kemudahan kepada kami untuk urusan esoknya. =)

ربنا نجحنا 
SELESAI IMTIHAN QOBUL
Alhamdulillah, selesai berperiksa. Mohon doakan juga buat sahabat saya yang mengambil jurusan selain Syariah (Usuluddin dan Lughah) yang bakal menduduki Imtihan Qobul pada esok hari.

والله مستعان 
NATIJAH IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, jika tiada aral melintang, natijah Imtihan Qobul kami akan keluar hari ini. Mohon doa kalian! Moga najah belaka hendaknya!

Hari ini mahu 'kunjungi' kuliyah di Jami'ah Azhar. Terujakah saya? =D
JAULAH KE ZAQAZIQ
Menjalin ukhuwah dan berkunjung hormat ke Muhafazah Zaqaziq. Sungguh, Zaqaziq menjanjikan kedamaian dan kebahagian. Sangat menarik! =)
BERMULA KUTUB SITTAH
Hari ini mereka sedang berIjtima' Tarbawi. Mungkin juga menyambut 60 tahun Pas Perak. Boleh jadi juga perlawanan akhir Piala Malaysia.

Saya di sini sedang berpesta thaqafah. Alhamdulillah, berpeluang mendampingi masyayikh Al-Azhar yang sangat mulia dalam program Majlis Bacaan Hadis Kutub Sittah di Stadium Nadi Riyadh, Hayyu Sadis. Tadi syeikh bacakan kitab Sahih Bukhari untuk kami. Kami akan berkampung selama tiga hari di sana.

Oh, hari ini jubah saya membalut t-shirt Ijtima' Tarbawi 2010 yang diadakan di Rusila. Walaupun rasa sangat sedih tak dapat sertainya tahun ini (hingga timbul kedengkian), harap sahabat sefikrah bisa bawa semangat saya di sana. Insya-Allah, esok mahu pakai badge Ijtima' Tarbawi 2011 yang dibeli saat ceramah Penerangan oleh Pimpinan Pas Kedah di Dataran Hayyu Asyir, anjuran S.U.A.R.A.

Famili saya pula khabarnya ke Perak menyambut dua perkara. Sambutan 60 Tahun Pas Perak dan baby baru Ayoh Yard di Kuala Kangsar. Kali ini tidak lagi kembar seperti sebelumnya. Apapun, pujian harus diekspresikan buat Pemilik Cinta atas segala nikmat pemberian-Nya! =)
BERAKHIR KUTUB SITTAH
Alhamdulillah, sedang berKutub Sittah. Allah, seronoknya setiap saat bersama kekasih-Mu! =) Hari ini merupakan hari terakhir program. Oh, belum puas rasanya! =(

Kepada sahabat Mesir yang tak berkesempatan menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah kali ke-3 atau rakan di Malaysia atau di seluruh pelusuk dunia, insya-Allah anda bakal berpeluang menontonya secara live;

1. Di http://albaeth.com/ (Laman rasmi Syeikh Ibrahim Al-Kittani, Al-'Allamah Al-Azhar Asy-Syarif).

2. Pada jam 6.30 petang waktu Mesir. Pukul 12.30 tengah malam waktu Malaysia.

Jangan lepaskan peluang mendampingi ulama' ini! Moga kita bisa rasai dan hayati anwaar dan anfus Kekasih Agung, Saidina Muhammad S.A.W. Subhanalloh!
RINDU FATAH
Oh, patutlah hari ini rasa sunyi semacam je. Rupanya bilal terbaik dan paling sedap yang pernah dilahirkan KPT tiada di Kompleks. Entah ke mana beliau menghilang. Ke Syoubra khabarnya. Rindunya pada roomate saya itu! =D
6 OKTOBER
Tanggal 6 Oktober merupakan tarikh penting buat rakyat Mesir. Pada tarikh inilah mereka mendapat kemenangan dalam perang melawan Israel.

Persoalan yang mungkin timbul, adakah detik itu akan berulang? Boleh jadi ya dan boleh jadi tidak.

Saya teringatkan ARMA. Tanah dibangunkan ARMA itu merupakan pemberian kerajaan Mesir buat pelajar Malaysia. Sebagai hadiah atas bantuan pelajar Malaysia menewaskan Israel.

Andai peristiwa peperangan Mesir-Israel berulang, bagaimana nasib kami? Adakah akan ada lagi evakuasi atau Ops Piramid? Kami mungkin punya dua pilihan waktu itu. Mahu syahid di sini atau pulang mengislah masyarakat.

Jika ditanya mana pilihan saya, saya memilih pilihan kedua. Bukan kerana saya takut mati atau tidak cintakan syahid. Namun saya memikirkan nasib orang yang menyumbang bantuan untuk kelangsungan pelajaran saya di sini. =)
   
PESAN USTAZ ENGKU HASAN
Pesan Ustaz Engku Hasan hafizohulloh, "Jangan anggap semua orang Arab itu jahat. Bimbang Nabi juga termasuk dalam anggapan kita itu. Bersangka baiklah pada mereka. Kita sendiri nak ambil ilmu daripada orang Arab. Cumanya untuk berhati-hati itu tidak mengapa."

Alhamdulillah, setakat ini saya belum bertemu dengan Arab yang betul-betul jahat. Hanya jumpa yang baik-baik saja. Benarlah kata Nabi dalam satu Hadith Qudsiy: "Aku bersama sangkaan hambaku terhadapku." Pesan saya, bersangka baiklah dengan Allah! =)
SANG KEKASIH
Mahu jumpa kekasih. Mahukah kekasih melihat wajah sang pendosa seperti saya ini? Allah.. Sangat mahu mencari ketenangan di sana. Moga Allah permudahkan!
والله مستعان
BELIAU ITU
Boleh saya ikut beliau ke Al-Azhar hari ini? Setakat ini saya belum lagi diajak membonceng motor baru beliau. Sedihkan? huhu..

Beliau tak ajak pun saya ke Masjid Al-Azhar hari ini. Sedih gila! =(
Ok. Setakat itu sajalah catatan yang sempat aku buat sepanjang awal kehadiranku ke Bumi Kinanah ini. Insya-Allah jumpa lagi untuk entri akan datang!

Kenangan menyambut 'Idul-Adha di perantauan.

Friday, November 4, 2011

Dari Blog Zakaria Dagang 4

17 September 2011

Selamat berjuang di bumi Ambiya' anakku, Nasih!


Malam Jumaat lalu, kami sekeluarga menghantar anak kelima kami, Muhammad Nasih Ulwan yang akan berangkat ke Mesir, bumi Ambiya' untuk menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar dalam bidang Syari'ah.

Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Telaga Batin malam itu riuh-rendah dan hiruk-pikuk suara sanak saudara yang menghantar para pelajar seramai lebih 20 orang yang turut berangkat bersama anak kami.

Rasa-rasanya ahli keluarga kami paling ramai ketika itu. Mungkin kebetulannya, tempat kami paling hampir dengan LTSM. Selain itu kami mempunyai keluarga yang besar di kedua-dua belah pihak.

Kami rasa sangat gembira kerana hasrat dan cita-cita Nasih untuk melanjutkan pelajarannya di Mesir akhirnya tercapai jua. Lebih gembira lagi ialah Nasih sendiri. Jelas terpancar pada wajahnya perasaan itu.

Sepatutnya Nasih sudah dapat ke Mesir dua tahun dahulu. Tetapi oleh kerana beliau ditimpa 'sakit' yang tidak memungkinkan beliau ke sana, hasratnya itu terbantut dan beliau terpaksa menukar haluan untuk belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Pusat Asasinya di Nilai, Negeri Sembilan.

Oleh kerana azam, tekad dan semangatnya sangat kuat untuk ke Al-Azhar, akhirnya beliau kembali ke Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi melayakkannya ke Mesir. Pengajiannya di UIA hanya setakat tiga semester sahaja.

Terlalu banyak sebenarnya apa yang saya ingin coretkan mengenai Nasih ini. Tetapi mungkin tidak mampu untuk dibentangkan di sini. Beliau adalah seorang anak yang agak luar biasa dari adik beradiknya yang lain. Beliau mempunyai sifat tegas yang sukar ditandingi oleh yang lain.

Sebagai seorang ayah, secara peribadinya, saya sangat mengagumi tulisannya. Kata-katanya sangat menusuk kalbu. Mungkin boleh dirujuk melalui blog beliau "Jiwa Terasing" dan "Pentas Tinta" serta laman sosial facebooknya: http://www.facebook.com/nasehulwan.

Itu sahaja yang dapat saya catatkan secara ringkas sebagai titipan buat anakanda tersayang yang akan meneruskan perjuangan di bumi Ambiya'. Selamat Berjuang dari kami di sini.


1 comments:

Naseh Ulwan berkata...
Allahu robbi!

Nasih sebak pa baca entri ni..
Walaupun Nasih gembira masa kat airport sebab Allah makbulkan doa Nasih untuk jejakkan kaki di Mesir, tapi dalam hati ni hanya Allah yang tahu. 20 tahun Nasih duk ngan Mok Ayoh, dop pernoh pissoh. Ni nok tinggal Mok Ayoh bertahun-tahun. Mujur gop air mata dop dan nitis masa kat airport tranung. Memang sebak gila masa tu. Masa peluk Mok, abang, kakak, adik, Tok, pok/mok sedara, rasa macam nak nangis doh. Tapi dop tau r, hati Nasih keras ngat kot. =(

Mekaseh Ayoh sebab hantar Nasih sampai KLIA pahtu tulis entri ni. Nasih tahu Nasih bukanlah anak Ayoh yang baik. Dulu derhaka sokmo ke Ayoh. Masa duk jauh ni baru berasa rindu nok dengar Ayoh marah. Sini tak dop orang nok marah Nasih. Nasih boleh wat mende hok Nasih suka.

(Nasih tengah nangis ni)

Insya-Allah, 2 tahun gi Nasih balik dengan jadi Nasih yang baru. Bukan lagi Nasih hok keras palle macam dulu. Doakan Nasih berjaya dalam periksa imtihan qobul. Nasih takmboh gop duk lama-lama sini. Nak balik Malaysia nak tabur bakti, didik masyarakat supaya kenal Allah pulop. Doakan kenajahan, kesihatan dan keselamatan anakanda di sini.

- Anakmu yang kini jauh.
(2.00 pagi waktu Mesir)

Dari Laman Buletin Online


22 Pelajar ke Mesir meninggalkan bumi Malaysia dengan rasa kecewa, terkilan

E-mail Print PDF
KUALA TERENGGANU - Seramai 22 orang pelajar yang melanjutkan pengajian Isam ke negara Mesir, meninggalkan bumi Malaysia dengan perasaan kecewa dan terkilan kerana permohonan mereka mendapatkan bantuan dari kerajaan Terengganu ditolak.

Mereka yang menghubungi Buletinonline sejurus sebelum berangkat pada dinihari Jumaat 16 September dari KLIA memaklumkan perkara tersebut.

Menurut wakil pelajar terbabit, Naseh Ulwan Zakaria, 20, mereka memohon bantuan dari Yayasan Terengganu (YT) dan berasa amat gembira apabila dipanggil untuk ditemuduga.

[Gambar - Naseh Ulwan, empat dari kanan (berbaju putih, jaket hitam dan kupiah) bersama sebahagian rakan-rakannya yang dinafikan hak mendapat bantuan oleh kerajaan Terengganu, bergambar sejurus sebelum meninggalkan bumi Malaysia, di KLIA]

Malangnya, kata beliau, rupa-rupanya temuduga tersebut adalah hanya untuk memberitahu mereka, bahawa mereka tidak memperolehi apa-apa bantuan kerana 'kerajaan tidak mahu mengambil 'risiko'.

"saya tanya sebab apa tahun ini tak beri (bantuan pinjaman) sedangkan tahun lepas beri, dia (Pegawai Yayasan Terengganu) berkata 'kita tak mahu ambil risiko, sebab Mesir negara (sedang) bergolak',"jelas Naseh.

Beliau dan rakan-rakannya merasakan jawapan yang diberikan pegawai YT itu tidak logik dan tidak munasabah.

Sebaliknya, menurut Naseh, jawapan sebenarnya diketahui apabila seorang kerani dibahagian hadapan pejabat YT memberitahu sebab-sebab mengapa permohonan mereka ditolak..

"Dia kata, ada pelajar kita (di) sana tu (Mesir) sembilan orang yang diberi pinjaman itu tetapi sertai himpunan BERSIH di sana,

"Dia yang kata itu, kerani yang duduk di (bahagian) luar (hadapan pejabat) kata, sembilan orang pelajar yang ditaja Yayasan (Terengganu) sertai (himpunan) BERSIH,"kata Naseh.

Katanya, beliau dan rakan-rakan merasa di'anaktiri'kan oleh kerajaan Terengganu yang seolah-olahnya tidak mahu rakyat Terengganu cerdik agama dan faham tentang agama.

Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.