Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!
Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Monday, June 13, 2011

Cerpen: Antara Dua (Hidup Mulia, Mati Syahid)

 
Kredit foto: Wanzu Alwan

“Abang, betul ke abang nak sertai misi kali ni? Tak bahaya ke? Dah la abang je satu-satunya waris yang Sarah ada. Sarah harap abang dapat fikir balik,” Maisarah merespon hajat yang dinyatakan abangnya, Mehdi untuk menyertai misi perang di bumi Mawaddah, Negara yang dulunya bergelar Malarsegar.

Malarsegar bertukar nama kepada Mawaddah setelah berubah kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum yang ke-14. Tahun ini, tahun 2020. Bermakna sudah 2 penggal Parti Kebajikan dan Kesejahteraan memerintah negara. Tokoh ulama’ terbilang, Khalil Khomeini mengetuai negara sebagai Perdana Menteri Mawaddah.

“Masalahnya abang salah seorang Jeneral di Mawaddah, Sarah. Nak tak nak, abang tetap kena sertai juga. Insya-ALLAH, jika hayat abang panjang, abang masih dapat jaga Sarah,” jawab Mehdi. Sekadar meyakinkan adiknya, Maisarah.

“Abang tak sayangkan Sarah ke? Sudahlah Sarah tak punya ibu dan ayah lagi. Abang pula nak tinggalkan Sarah sorang-sorang?” Sebetulnya Maisarah gusar andai perang itu bakal mengorbankan Mehdi. Beliau tidak punya tempat pergantungan lagi selain abangnya seorang saja. Ibu ayahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya 10 tahun yang lalu.

“Sarah, tolong faham kerja abang! Mana mungkin abang tak sayangkan Sarah! Abang hanya punya seorang saudara saja di dunia ini. Dan Sarahlah orangnya. Sarah perlu yakin satu perkara saja, bahawa mati itu pasti. Kalau abang tidak ke medan perang pun, abang tetap juga akan mati. Dan abang memilih untuk mati di medan jihad berbanding mati di atas katil. Abang mahukan kemuliaan sebagai seorang yang syahid,” Mehdi cuba menenangkan Maisarah yang tidak keruan itu.

Air Oren yang diminum Maisarah terasa kelat saja. Manisnya seakan hilang dibawa angin lalu.

“Dik, kira dik!” Mehdi memanggil pelayan Kedai Makan Hijrah.

“Ok. Semuanya RM2.50 bang,” maklum pelayan itu.

Jauh di sudut kedai itu mereka sebenarnya diperhatikan oleh Abduh, jejaka play boy terkenal di Bandar Raya Barakah, ibu negeri bagi negara Mawaddah. Dulunya Barakah dikenali sebagai Kota Metropolitan.

“Cantiknya minah ni! Siapa kat sebelah dia tu ek? Suami dia ke pakwe dia? Ah, aku mesti dapatkan dia! Hehe..” Abduh bermonolog sendirian.

Setelah ditinggalkan Nusaibah, Abduh sudah jadi seperti orang mereng. Kadang-kadang seperti orang gila saja lagaknya. Hidupnya langsung tidak terurus. Semuanya kerana terlalu kecewa dek ditinggalkan kekasih pujaaan hatinya, Nusaibah.

Nusaibah kini sudah berubah. Dulunya dia seorang bohsia, namun ALLAH telah membuka pintu hatinya untuk menerima kebenaran. Suatu hari dia bermimpi dibaham oleh ular dan kala jengking yang sangat besar. Tiba-tiba datang api yang marak meluru ke arahnya. Nusaibah lari dengan seberapa pantas, namun kakinya tidak ke mana. Seolah-olah kakinya terkunci. Akhirnya kakinya disambar api tersebut. Bila dia terjaga daripada tidur, dilihatnya kakinya sedikit hitam, seakan benar sahaja mimpi yang dilaluinya tadi.

Dia bangun lalu berwuduk dan bersolat tahajud dan taubat. Dalam solatnya dia berazam untuk tidak lagi mengulangi khilafnya yang lalu. Dia juga berdoa agar ALLAH mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Setelah mendapat hidayah melalui mimpi, Nusaibah mula mendekatkan diri kepada ALLAH. Dia memutuskan hubungan dengan Abduh. Dia juga mula mengenakan tudung dan hadir ke kuliah pengajian agama di masjid dan surau berdekatan dengan rumahnya.

“Ok. Jom! Kita bincang di rumah selanjutnya.” Mehdi mengajak Maisarah pulang ke rumah.

Mehdi berjalan ke arah kereta barunya, Rahmah GTi. Kereta yang dikeluarkan oleh syarikat ProIslam itu dibelinya minggu lepas. Sambil Maisarah membuntutinya.

“Eh, macam dia ada tertinggal sesuatu je!” Monolog Abduh.

“Haha.. Memang rezeki aku!” Abduh berteriak puas.

***

“Abang, ada nampak dompet Sarah tak?” Maisarah bertanyakan abangnya, Mehdi.

“Takde la pulak. Sarah letak kat mana?” Tanya Mehdi pula.

“Sarah lupalah abang. Rasanya Sarah ada bawak kat kedai petang tadi. Mungkin tertinggal kat sana kot!” Jawab Maisarah. Kurang yakin.

“Ok. Esok abang pergi balik kedai tu dan tanyakan mereka kalau-kalau mereka ada nampak dompet Sarah tu, ya?” Cadang Mehdi.

“Ok. Terima kasih abang! Sayang abang! Hehe..” Ucap Maisarah pada abangnya. Riang.

“Ish.. Gelilah!” Jawapan Mehdi itu menimbulkan gelak besar di antara mereka berdua. Sungguh, mereka sangat bahagia tinggal berdua, walau tanpa kehadiran ayah dan ibu.

Sambil di rumah Abduh, dia sedang khusyuk meneliti satu persatu kad-kad yang ada dalam dompet yang diambilnya di kedai tadi. Dompet itu kepunyaan Maisarah.

“Maisarah binti Muhammad. Cantik namanya! Persis orangnya juga!” Getus Abduh.

“Siapa tak kenal aku hah? Play boy paling laris di Barakah kau tahu! Semua perempuan kat sini cair dengan aku. Tak kan minah ni aku tak boleh pikat kot!” Ucap Abduh pada cermin yang memancarkan wajahnya sendiri. Seolah sedang bercakap dengan individu berbeza di dalam cermin.

Abduh merancang beberapa strategi bagi memikat hati Maisarah. Dia mula gila bayang. Hatinya tak keruan mengenangkan wajah ayu milik Maisarah.

“Esok aku mesti ke rumahnya! Hehe..”

***

Di bilik gerakan Tentera Elit wilayah Barakah. Kelihatan Mehdi bersama beberapa tentera bawahannya.

“Ok. Saya nak kamu semua bersiap sedia untuk misi kali ini. Misi kali ini sangat penting kerana ianya melibatkan seluruh jeneral di negara Mawaddah. Setiap negeri akan menghantar tenteranya.” Maklum Mehdi selaku Jeneral di wilayah Barakah kepada tenteranya.

“Kami sudah siap sedia tuan!” Sahut para tenteranya.

“Baik. Jika kamu sudah siap sedia, maka saya sarankan kamu banyakkan bersolat tahajud dan jangan cuba bermaksiat walaupun dosa kecil. Ingat, kita menang kerana maksiat musuh. Mana mungkin jika kita yang bermaksiat ini juga akan menang ke atas musuh. Saya yakin kamu semua sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya sudah melihat latihan kamu dan saya berpuas hati. Saya harapkan kamu pertingkatkan kekuatan dari segi spiritual kerana ia penting untuk kemenangan kita. Faham semua?” Syarah Mehdi. Panjang lebar.

“Faham tuan!” Sahut tenteranya sekali lagi.

Benar, dalam peperangan spiritual sangat penting. Jika dilihat sirah Nabi, tentera muslimin yang berjumlah 313 orang boleh mengalahkan tentera kuffar yang berjumlah 1000 orang. Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Jawapannya ialah iman.

“Tuan, kita didatangi jeneral dari wilayah Ihsan dan Taqwa tuan!” Maklum salah seorang tentera elit di bawah seliaan Mehdi.

“Oh, bawa mereka masuk ke bilik saya ya,” minta Mehdi.

Mehdi meluru ke arah biliknya yang terletak di sebelah bucu kanan bilik gerakan.

Pintu biliknya diketuk.

“Masuk!” Minta Mehdi dari dalam bilik.

Tiba-tiba muncul 2 orang jeneral dari wilayah Ihsan dan Taqwa, Fawwaz dan Uwais. Setelah itu mereka memberi salam.

“Wa’alaikumussalam. Sila duduk tuan!” Minta Mehdi lagi.

“Apa khabar Tuan Fawwaz dan Tuan Uwais?” Tanya Mehdi. Memulakan perbualan.

“Alah, tak perlulah bertuan dengan ana. Kita kan sama level!” Sanggah Fawwaz.

“Betul tu. Kita kan sama-sama jeneral bagi negara kita ni. Ok, menjawab soalan enta tadi, kami alhamdulillah, sihat saja,” kata Uwais pula.

“Enta pula bagaimana? Sihat tak?” Tanya Fawwaz pada Mehdi pula.

“Oh, ana sentiasa sihat syeikh! Lihatlah badan ana yang makin membesar ni! Hehe..” Jawab Mehdi. Bercanda.

“Ok. Bagaimana perancangan kita untuk misi kali ini?” Tanya Uwais. Serius.

“Misi kita kali ini agak sukar. Pemberontak bergabung dengan beberapa kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Israel,” beritahu Mehdi.

“Sesukar manapun kita tetap kena pertahankan negara kita ini. Susah payah kita berjuang melalui demokrasi, mereka nak rampas kuasa begitu saja?” Luah Fawwaz pula.

“Mereka dah tahu, kalau mereka sertai demokrasi, confirm mereka kalah teruk! Rakyat dah bosan dan muak dengan perangai jelek dan pembohong mereka. Sebab itulah mereka guna cara kekerasan kali ini,” tambah Uwais.

Sebenarnya pemberontak adalah rakyat negara Mawaddah sendiri. Mereka terdiri daripada pemimpin dan pengikut Parti Perpaduan Rakyat yang kalah teruk ketika Pilihan Raya Umum ke-14 negara Mawaddah yang ketika itu masih menggunakan nama Malarsegar.

“Agaknya kita boleh menang atau tidak?” Soal Mehdi.

“Menang kalah bukan kerja kita. Itu kerja ALLAH ta’ala. Kerja kita ialah berusaha untuk menang!” Pintas Fawwaz.

“Bukan soal itu. Maksud ana, dengan kekuatan tentera kita, dapatkah kita bertahan?” Tanya Mehdi semula.

“Oh, rasanya peluang untuk kita menang agak tipis. Kita hanya ada 50% peluang untuk bertahan sekaligus menang,” jawab Uwais. Dia sememangnya pakar strategi. Otaknya sangat bergeliga. Dia jeneral paling muda dalam kerajaan Mawaddah. Baru saja berumur 18 tahun.

“Apa strategi kita kali ini Uwais?” Soal Fawwaz pada Uwais.

“Nanti ana fikirkan,” jawab Uwais. Sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk dahi. Tanda dia sedang berfikir.


Bersambung...


Nota kaki: Aku sedang menyiapkan cerpen yang bakal dimuatkan dalam sebuah buku antologi cerpen hasil kolaborasi bersama 10 orang penulis lain antaranya ialah Tuan Zahiruddin Zabidi dan Tuan Bahruddin Bekri, insya-ALLAH. Doakan agar perjalanannya baik dan lancar. Sebenarnya sahabatku, Akhi Ahmad Ulwan Hassim yang meminta supaya aku menggantikan tempatnya. Beliau tak dapat menulis kerana sedang sibuk menghadapai fatrah imtihan. Cita-citaku untuk menjadi penulis buku bakal tercapai, berkat doa kalian! Untuk membaca sambungan cerpen ini, nantikan antologi cerpen tersebut! (:

Wednesday, February 11, 2009

Bengkel Penulisan - Ustaz Ridhuan Mohd Noor

-1.30 pg (12 Feb 2009)
-Bumi Allah s.w.t.


Pada Ahad (8 Februari) baru2 ini, aku sempat mengikuti Bengkel Penulisan anjuran Mahallah Representative Committee (MRC) yang telah berlansung dengan jayanya. Bengkel ini dikendalikan oleh seorang penulis yang tidak asing lagi, malah sangat berpengaruh, Ustaz Ridhuan Mohd Noor (gambar).

Kali ini aku ingin berkongsi serba sedikit apa yang aku dapat ceduk daripada ilmu yang Ustaz curahkan. Walaupun kurang sihat kerana baru pulang dari lawatan ke Ghazzah, namun kesungguhan dan tadhiyah beliau yang tinggi mengatasi segalanya. Ustaz tetap hadir ke bengkel tersebut bagi memenuhi jemputan. Ustaz memberi kami sedikit sebanyak tips dan panduan untuk menjadi penulis yang berjaya. Walaupun masa yang diambil hampir 2 jam, namun dirasakan terlalu pantas berlalu. Terlalu banyak input dan informasi yang disampaikan oleh Ustaz. Ustaz juga sempat menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh peserta.

Sebelum itu Ustaz bercerita tentang sejarah penulisan ketika zaman Nabi s.a.w. Antara tokoh sahabat yang disebut Ustaz sebagai penulis ialah Zaid bin Thabit dan Saidina Ali Karramallahu Wajhah. Nabi sendiri ummiy iaitu seorang yang tidak pandai menulis dan membaca. Hikmah daripada kejadian tersebut ialah kuffar tidak boleh mendakwa bahawa Al-Quran itu adalah tulisan Nabi sendiri.

Sejarah penulisan Al-Quran turut dihurai oleh Ustaz. Kata Ustaz, ianya bermula selepas perang Al-Yamamah di mana kaum muslimin menang ketika itu, namun 1000 orang telah syahid termasuk huffaz (para penghafaz Al-Quran). Ketika itulah idea untuk menulis Al-Quran bermula dan ianya ditulis di atas batu, daun, pelepah tamar dan sebagainya.

Turut diceritakan, para ulama' dan tabi'in yang gigih menulis untuk Islam. Rata2 di kalangan ulama' sememangnya mempunyai kemahiran menulis disamping mahir mengajar atau berceramah. Antaranya ialah Ibnu Taimiyah. Beliau telah dimasukkan ke dalam penjara sebanyak 5 kali kerana terlalu obses menulis dan kali terakhir dihumban ke dalam penjara ialah ketika umurnya 65 tahun.

Menurut Ustaz, untuk menjadi penulis yang hebat, kita mestilah;
  • Mempunyai ilmu - mesti banyak membaca.
  • Melibatkan diri dengan amal Islami.
  • Punya matlamat yang jelas - obligasi akhirat.
  • Banyak berjalan - sambil itu sentiasa mencatat apa yang berlaku.
Seorang ulama' Indonesia ditanya, "Bapak, apakah rahsia kamu menjadi penulis yang cemerlang?". "Kamu menulis, menulis dan menulis", jawab ulama' tersebut, ringkas.

Ustaz turut menekankan bahawa pentingnya gaya bahasa dalam penulisan sebagai daya penarik dan menambah keseronokan membaca. Bagi menghidupkan tulisan, penghayatan semasa menulis perlu ada atau diadakan. Bila tulisan dihayati, maka pembaca akan merasa 'zouq' apabila membaca tulisan tersebut. Pengetahuan melalui pembacaan juga sangat perlu sebagai nilai tambah (added value) kepada penulis itu sendiri.

Penulis mestilah bertanggungjawab di atas tulisannya. Setiap kesalahan dalam menulis mesti diperbetulkan. Pembaca akan meneliti setiap kesilapan dan tidak memandang enteng terhadapnya walaupun hanya silap kecil. Setiap penulisan yang berunsurkan dakwah dan kebaikan akan mendapat ganjaran dan balasannya yang akan diterima di akhirat.

Itulah saja perkongsian kali ini. Harap kalian dapat mengambil manfaat daripadanya. Insya ALLAH. Siiru 'ala barakaatillah.

Koleksi buku Ustaz Ridhuan Mohd Noor

Monday, January 19, 2009

Muhasabah: Ada Apa Dengan Hijrah

-5.30 ptg (3 Jan 2009)

-Bas Transnasional Ekspres, Chendor, Pahang (Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur) .

Ambillah 'ibrah dari Hijrah Nabi yang agung

Saban tahun kita melihat umat Islam menyambut Awal Muharram atau Maal Hijrah. Namun, keanehan timbul apabila aku cuba menulis tentang Hijrah sedangkan hari ini orang sudah bercakap tentang perkara lain. Lebih malang lagi ada yang langsung membungkus dan membuangnya jauh2 dari kotak fikiran, amat malang sekali! Sekadar tazkirah atau ulangan yang sudah biasa diulang, hari ini aku mengajak kalian untuk bermuhasabah. Sudahkah kita berhijrah? Memanglah Hijrah sudah tidak ada lagi hari ini, tapi hijrah yang ini ialah hijrah dari yang buruk kepada yang baik, yang baik kepada yang lebih baik dan begitulah seterusnya. Tahukah kita mengapa hijrah begitu penting sehingga diangkat sebagai tahun bermulanya Kalendar Islam? Apakah peri pentingnya itu?

Ketika zaman khalifah Umarlah tercetusnya idea untuk mengadakan kalendar Islam. Sebelum itu, masyarakat Arab mengira tahun berdasarkan peristiwa. Contohnya banjir besar, maka tahunnya disebut 1 tahun sebelum atau 1 tahun selepas banjir. Ataupun tahun berlakunya pencerobohan Baitullah di Mekah oleh tentera bergajah Abrahah dan sebagainya. Sebelum hijrah dipilih sebagai tahun bermulanya kalendar itu, timbul beberapa cadangan lain seperti tahun kelahiran Nabi, turun wahyu pertama dan perang badar. Namun Saidina Umar Al-Khattab tetap memilih Hijrah. Mengapa?

Sudahkah kita berazam untuk masa depan Islam?

Cuba kita buat perbandingan bagaimana kondisi Islam sebelum Hijrah dan selepas Hijrah. Sebelum Hijrah, umat Islam ditekan dan ditindas sedangkan selepas Hijrah umat Islam berkuasa. Sebelum Hijrah juga Islam sekadar sembunyi2, selepas hijrah pula umat Islam bebas ber’Islam’ dan menyebarkan fahaman mereka. Sekiranya ketika di Mekah Nabi hanya mampu menegur orang kafir yang minum arak dan menyembah berhala, tetapi selepas hijrah Islam lebih kepada pelaksanaan dan terdapatnya hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah. Dan apa yang lebih penting daripada Hijrah ialah tertegaknya Daulah Islamiah yang dirindui dan dinanti2 selama ini.

Orientalis Barat menyifatkan Hijrah Nabi sebagai satu pelarian ataupun kerana takutkan kuffar. Sedangkan kita tahu bahawa Hijrah itu adalah wahyu dan perintah Allah. Lagipun Hijrah Nabi disambut dengan meriah oleh penduduk Madinah. Malahan Nabi dijemput oleh penduduk Madinah ke sana. Ketika umat Islam sampai di sana, penduduk Madinah atau disebut sebagai Ansar sanggup menyediakan tempat tinggal dan memberikan isteri kepada Muhajirin bagi yang beristeri ramai. Betapa dakwaan ini sangat dangkal dan patut disangkal sama sekali!

Hijrah bukan hanya pada perkataan tapi lebih kepada pelaksanaan

Banyak kisah menarik yang boleh diambil dari Hijrah antaranya ialah kisah Suraqah bin Malik yang mengejar Nabi tetapi pulang dengan janji Nabi, Suhaib Ar-Rumi yang rela meninggalkan sehabis mungkin hartanya di Mekkah, Ummul Qais yang terkenal dengan Hijrah kerana wanita yang ingin dikahwininya, Jundik yang wafat ketika dalam perjalanan Hijrah, Abu Salamah yang ditentang dan dilarang oleh mertuanya dan bermacam2 lagi kisah menarik yang dirakamkan melalui Hijrah.

Mahu aku petik dua kisah yang aku sebutkan tadi. Kisah yang pertama mengenai Suraqah bin Malik. Beliau memang terkenal dengan kepandaian menunggang kuda dan seorang perisik atau spy bertaraf professional. Bila saja mendengar tawaran dari penguasa Quraish bahawa sesiapa yang dapat menangkap Muhammad akan dihadiahkan 100 ekor unta merah, maka Suraqah pun pergilah menjejak Nabi. Cakap pasal tawaran teringat pula pada BN yang tidak habis2 menawarkan pembangunan dan sebagainya, memang musuh Islam ni tak pernah lari konsepnya, sama saja. Unta merah ini kalau kira nilainya pada zaman sekarang ialah seperti kereta Mercedes. Siapa yang tak terliur dengan tawaran sebegitu, nak2 orang Arab yang terkenal dengan sikap rakusnya.

Pergaulan kita macam mana? Ikut syariat ke tak?

In short, maka bertemulah beliau dengan kelibat Nabi. Beliau mengejar dari belakang. Bila saja nak dekat dengan kenderaan nabi, tiba2 kaki kudanya terperosok atau terjerlus ke dalam pasir. Begitulah beberapa kali sehingga membuatkan Nabi kasihan melihatnya, lalu turun dari kenderaan baginda itu. Nabi seterusnya memberi surat jaminan keselamatan kepadanya dan menyuruhnya supaya pulang ke Mekkah dan memberitahu orang lain supaya pulang juga dan tidak terus memburu Nabi. Satu sikap yang ditunjukkan Nabi iaitu menggunakan musuh untuk melawan musuh.

Sebelum Suraqah pulang, Nabi sempat berjanji kepadanya bahawa mahkota dan gelang Qisro kebesaran kerajaan Parsi akan dipakaikan dan dikalungkan kepadanya. Begitulah jauhnya pemikiran Nabi dan tingginya keyakinan Baginda pada janji ALLAH. Sedangkan pada waktu itu Baginda belum mengetahui bagaimana nasibnya apabila sampai di Yathrib nanti dan Islam belum lagi memerintah Madinah apatah lagi dapat menguasai kerajaan besar seperti Parsi dan Rom. Ketika pulang, apabila Suraqah bertemu dengan mereka yang ingin menjejak Nabi, maka beliau akan berkata, “Pulanglah kamu. Sedangkan aku yang hebat inipun tidak dapat memburunya, apatah lagi kamu”.

Ketika pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab barulah janji Nabi pada Suraqah yang sekian lama itu tertunai. Janji itu tidak terjadi ketika Nabi memerintah Negara Islam Madinah. Kerana apa? Kerana perjuangan Islam itu suatu proses yang amat panjang dan sentiasa bersaki-baki. Selepas dapat menakluk Rom, Khalifah memanggil Suraqah lalu dipakaikannya dengan pakaian kebesaran Rom, mahkota dan gelang Qisro. Suraqah yang telah Islam ketika itu barulah teringat akan janji Nabi padanya berpuluh tahun dahulu. Oh! Rindunya pada Rasulullah hanya Tuhan yang tahu. Begitulah sifat kita sebagai seorang pejuang Islam, di mana kita tidak perlu berputus asa dan perlu sentiasa mengharapkan kemenangan dariNya kerana bukankah kemenangan itu datang daripada ALLAH?

Sudah tergolongkah kita dalam kalangan tentera Nabi Muhammad?

Kisah kedua pula ialah mengenai Jundik. Seorang muslim yang sangat sudah tua. Keuzurannya itu tidak menghalang perjuangannya bersama Nabi. Beliau terkenal sebagai seorang yang suka membaca al-Quran dan bukan setakat itu saja malah juga seorang yang kuat mengamalkan kandungannya. Suatu hari, turunlah wahyu tentang keizinan berhijrah dan pada ayat itu ada pengecualian kepada mustadh’afin (golongan yang lemah). Maka disangkanya beliau tidak perlu mengikut sama Nabi berhijrah. Namun, selepas pada itu, turun pula ayat yang menyuruh berhijrah bagi mereka yang mengenal jalan ke Madinah dan beliau memang mengenali jalan ke Madinah.

Tanpa mengambil masa yang lama, pagi2 lagi Jundik yang uzur itu mengerahkan anaknya untuk menggendong atau mengangkatnya untuk dibawa ke Madinah. Ketika dalam perjalanan, ternyata hidupnya tidak lama, sampai di Quba’ beliau terus nazak. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir beliau sempat berpesan dan bersumpah dengan ucapan yang sangat agung iaitu; “Tangan kiriku ini sebagai tanda cinta dan kasihku pada Rasulullah dan tangan kananku ini menjadi saksi ketaatanku pada ALLAH”. Beliau mengucapkan demikian sambil kedua2 tangannya diletakkan di atas perut seperti dalam keadaan bersolat. Sejurus kemudian, beliau menamatkan riwayat hidupnya dan rohnya dibawa ke langit sebelum sempat beliau sampai ke Madinah. Kisah agung yang sangat meruntun jiwa pejuang ini sangat menarik untuk dibicarakan namun tidak berapa ada platform yang menyediakan untuk ke arah itu. Yang ada ialah untuk konsert2 nyanyian dan hiburan hedonisme mainan Barat yang lebih mendapat tempat dan mengambil tempat yang tidak sepatutnya. Sedih!

Sudahkah kita berintima' dan berilzam dengan Jemaah Islam?

Izinkan aku berbicara sejenak tentang bagaimana cara Nabi berhijrah. Adakah secara semberono atau mengkhinzir buta sahaja? Pastinya tidak. Nabi mengajar kita hikmah, nasihat dan muzakarah. Nabi juga tidak pernah ketinggalan mengajar kita strategi dalam berdakwah. Ada yang bertanya, mengapa perlu strategi? Kita buat benda baik, kerja Islam, takkan Tuhan tak tolong. Baik, jadi mengapa Nabi berperang? Mengapa Nabi berhijrah? Tidak bolehkah Tuhan memberi Nabi kemenangan secara percuma atau langsung begitu saja? Tidak bolehkah ALLAH menjadikan Nabi berkuasa di Mekkah? Kalau kalian menjawab tidak boleh, maka jelas akidah kalian salah dan perlu diperbetulkan, sangat perlu. Maka, aku tegaskan dakwah perlu kepada strategi!

Kalaulah kita kata Nabi tidak berstrategi, mengapa Ali disuruh mengganti tempat tidur Nabi, Asma’ binti Abu Bakar menghantar makanan kepada Nabi, Abdullah bin Umar ditugaskan sebagai spy untuk memberi khabar tentang berita dan keadaan orang Quraish, Abdullah bin Uraiqit seorang Yahudi yang menjadi driver Nabi dan Amir bin Furaihah yang diperintahkan mengembala kambing bagi menghapus jejak Nabi dan Abu Bakar yang menjadi temannya.

Satu lagi persoalan, mengapa Nabi bersusah payah memilih Abu Bakar sebagai teman Hijrahnya? Bukankah lebih mudah berhijrah dengan Umar Al-Khattab yang berani mengisytiharkan hijrahnya? Beliaulah satu2nya muslim yang berani berkata begini ketika itu, “Siapa yang mahu anaknya menjadi yatim dan isterinya menjadi janda, maka datanglah halang aku dari berhijrah!”. Cukup tegas nadanya. Nabi mengajar kita bahawa susah payah lebih baik untuk mendapat kemenangan daripada kesenangan tapi bersekongkol dengan kezaliman (aku tak maksudkan Umar dengan kezaliman). Pada masa yang sama, Nabi juga mengajar bahawa susah itu memang adat berjuang, sunnah bagi mereka yang berjuang. Kalau mudah tidak pula dipanggil perjuangan. Pernahkah kita mendengar seorang sahabat yang dimarahi Nabi kerana mengisytiharkan keIslamannya di hadapan khalayak ramai di Kaabah ketika Islam belum lagi popular? Tidakkah ini dinamakan strategi?

Bacaan al-Quran kita bagaimana? Adakah masih di takah lama?

Ini sekadar perkongsian, maka aku ingin bertanya waktu bilakah Nabi keluar berhijrah? Pagikah atau tengah harikah atau malamkah? Aku berpegang selama ini bahawa Nabi berhijrah waktu tengah hari. Mungkin ada yang tidak bersetuju denganku. Biarlah, aku punya alasan tersendiri dan merasa selesa dengannya. Alasanku cukup kukuh, waktu tengah hari adalah waktu yang cukup panas di Mekkah maka orang Arab Mekkah tidak akan keluar rumah pada waktu ini. Bijakkan Nabi?

Nabi turut memilih seorang Yahudi sebagai penunjuk jalan. Di sini Nabi mengajar bagaimana tahaluf siyasi (kerjasama politik) dibenarkan dalam Islam dan kita boleh menggunakan musuh atau orang kafir bagi mencapai cita2 mengangkat Islam sebagai penguasa dan pemerintah. Ketika itu Nabi memilih jalan selatan di mana jalan ini agak jauh dan amat memenatkan. Malah, pada suatu tempat Nabi perlu berpatah balik. Psikologi Nabi cukup tinggi kerana pastinya kafir Quraish tidak akan menyangka Nabi mengambil jalan tersebut dan Nabi rela berpenat lelah untuk umatnya hari ini. Hari ini kita dapat kecap nikmat Iman dan Islam bukankah kerana jihad (perjuangan), mujahadah (kesungguhan) dan tadhiyah (pengorbanan) Nabi yang sangat ampuh?

Sudahkah kita bercinta dan bertunang dengan al-Quran?

Sebenarnya telah lama inginku post artikel ini, namun sengaja aku peram dulu dan mengetengahkannya di waktu ianya sudah tidak panas lagi untuk dibicarakan. Bukankah ini juga strategi? Jadi, aku berstrategi dan berstrategi itu sunnah (aku berani katakan), maka aku telah mengikut sunnah, mudah bukan?

Akhirnya, janganlah kita hanya beriya-beriya menyambut Hijrah dengan berarak ke hulur dan ke hilir sambil membawa sepanduk sedangkan sebaliknya kitalah yang melawan Nabi dan menghalang kepada usaha mendokong ajaran Islam di muka bumi Allah ini.

Bak kata Prof. Izi, fikir2kan dan selamat beramal...

Tuesday, January 13, 2009

Study Circle : Hudud dan Pelaksanaannya di Malaysia

-9.30 mlm (13 Jan 2009)
-B2-1-2, Mahallah Abdul Rahman Ibn 'Auf, CFSIIUM, Nilai.

Salam sejahtera kepada semua,


Sebentar tadi aku baru sahaja selesai mengadakan Study Circle atau juga boleh disebut sebagai usrah. Study Circle merupakan satu program wajib di UIA ini. Apa yang menarik ialah topik kami kali ini ialah mengenai hukum hudud dan kesesuaian atau kewajaran pelaksanaannya di Malaysia. Kami lebih tertumpu kepada kondisi di Malaysia sekarang yang cukup tidak stabil dan goyah samada dari sudut ekonomi, kemiskinan dan pengangguran, pendidikan, sosial dan politik.



Aku turut memberikan pendapat aku mengenainya. Ini antara statement atau kenyataan yang telah terpacul daripada lisanku yang serba daif ini:

Alhamdulillah kita bersyukur kepada ALLAH kerana masih diberikan nikmat yang paling besar, yang tidak dapat dihitung dan dinilai harganya, yakni nikmat iman dan Islam. Kita sangat beruntung kerana lahir daripada keluarga Islam. Keluar2, terus Islam. Ramai lagi orang lain yang tak dapat kecap nikmat ini. Ada yang telah diberikan tapi ditarik balik. Mereka memilih jalan keluar dan berpaling daripadaNya. Nauzubillahiminzaalik!

Tidak lupa untuk kita mengucap selawat dan salam ke atas baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kerana dengan kesungguhan dan perjuangan bagindalah, hari ini Islam sampai kepada kita.

Bercakap mengenai hudud dan qisos ini, sukalah saya untuk membacakan beberapa ayat2 ALLAH yang terkandung di dalam Al-Quran:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِى ٱلۡقَتۡلَى

قال الله تعالى أيضا,

وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقۡطَعُوٓاْ أَيۡدِيَهُمَا جَزَآءَۢ بِمَا كَسَبَا نَكَـٰلاً۬ مِّنَ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

Dalam ayat yang saya bacakan tadi, mengandungi satu kewajipan di mana Tuhan menyebut, "Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisos dalam hal pembunuhan". Tuhan turut menyebut, "Pencuri (lelaki) dan pencuri (wanita) maka hendaklah dipotong tangan keduanya. Balasan atas apa yang telah mereka lakukan, sebagai pencegahan daripada ALLAH dan ALLAH Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana".

Kita fokuskan pada ayat pertama tadi, bahawa tuhan mewajibkan qisos dalam perkara pembunuhan. Kalau kita belek helaian Al-Quran, kita akan jumpa pula ayat berkenaan kewajipan berpuasa. Uslub bahasa yang digunakan oleh ALLAH adalah sama dalam kedua2 ayat tersebut. Jadi bila Tuhan kata wajib puasa, maka semua orang berpuasa, tak kira yang tak pernah sembahyang, yang jahil atau yang 'alim. Tapi bila tuhan sebut wajib qisos, semua buat tak endah saja, buat nampak tak nampak saja, kerana apa? Sebab takut kena atas batang hidung sendiri, bukan?

Ayat yang kedua pula berkenaan tentang pencuri dan mencuri. Di mana Tuhan menyatakan bahawa hukuman itu adalah sebagai pencegahan. Sekali lagi, sebagai pencegahan. Maka di sana tidak timbullah isu zalim atau tidak. Bayangkan jika mencuri saja kena kerat tangan, rasanya ada tak orang yang berani nak mencuri? Orang bodoh saja yang akan mencuri. Tidak bodohkah seseorang itu jika tidak sayangkan tangan? Satu lagi, bukanlah setiap perbuatan mencuri itu akan dipotong tangan kerana di sana ada kadar2 tertentu yang telah ditetapkan. Secara logiknya, takkanlah mencuri 10 sen pun kena kerat tangan. Budak2 pun boleh fikir.

Sebelum saya pergi kepada isu semasa atau perkara yang bersifat sekarang, ingin saya menyingkap sejarah lampau dahulu, bagaimana berkembang dan gemilangnya Islam ketika itu. Saya mengambil contoh yang mudah untuk menyokong apa yang saya kemukakan tadi. Ketika zaman Khalifah Ali karramallahu wajhah, ketika itu beliau turut menjawat jawatan sebagai hakim. Bayangkan ketika itu, setahun hanya ada dua kes jenayah sahaja. Hakim hanya duduk relaks, tak perlu susah2 turun naik mahkamah. Tidakkah ia menguntungkan negara?

Bercakap mengenai Saidina Ali, ingin saya ceritakan bagaimana pernah berlaku Saidina Ali yang ketika itu khalifah mendakwa seorang yahudi mencuri baju besinya. Dipendekkan cerita, ketika perbicaraan bermula, hakim meminta khalifah membawakan saksi. Ada satu riwayat mengatakan beliau tidak dapat mengemukan saksi dan ada riwayat lain menyatakan beliau membawa anaknya yang masih kecil sebagai saksi. Namun saksinya ditolak kerana masih kecil dan tidak memenuhi syarat kerana ada pertalian darah dengannya. Hakim memutuskan bahawa yahudi tersebut tidak bersalah. Khalifah seterusnya dengan senang hati menyatakan kepada hakim bahawa beliau salah dan hakim itu betul. Seterusnya yahudi tersebut terus masuk Islam kerana melihat begitu cantik dan adilnya Islam. Beliau mengaku yang baju besi itu adalah milik khalifah dan beliau mengambilnya ketika ia terjatuh dalam satu peperangan. Bayangkan khalifah melawan yahudi tetapi khalifah yang kalah dan si yahudi pula yang menang. Sekiranya situasi ini kita convertkan ke Malaysia agaknya macam mana? Contohnya kita mendakwa Najib Razak berkenaan kes Altantuya, contohlah... Apa agaknya akan terjadi? Bukan saja kes tersebut ditolak mentah2 dan langsung tidak dibicarakan, bahkan silap2 kita yang kena ISA.

Suatu ketika dahulu pernah berlaku perdebatan antara orang Islam dan orang Barat (kafir) sekitar tahun 70-an atau 80-an begitulah. Wakil dari barat tersebut bangun berucap. Beliau mencela dan menghina hukum Islam sambil menyifatkannya zalim, jumud dan ketinggalan zaman. Seterusnya tiba giliran wakil orang Islam melontarkan hujahnya pula. Beliau cuma menyebut beberapa patah perkataan sahaja iaitu: "Cuba tuan2 bandingkan antara hukum Islam yang mana sejarah telah membuktikan dalam setahun hanya terdapat 2 kes dengan hukum yang tuan2 cipta yang mana di New York sahaja hampir setiap malam pasti berlaku jenayah, tidak kira samada rogol, rompak, bunuh dan sebagainya". Wakil Barat langsung tidak dapat menjawab dan seterusnya mengangkat bendera putih. Itulah hebatnya hukum ciptaan Tuhan yang menciptakan manusia. Mana boleh manusia pandai2 buat hukum sendiri kecuali dalam beberapa perkara yang diizinkan.

Habis untuk sesi sejarah lampau, maka saya akan masuk kepada sesi isu semasa. Yang pertamanya mengenai hudud, saya ingin memetik kata2 Presiden PAS. Tuan Guru menyatakan bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan sewenang2nya sahaja atau secara serta merta dan mendadak. Kita kena lihat beberapa aspek penting dahulu seperti ekonomi, kemiskinan dan pengangguran, dan pendidikan. Kita mesti pastikan dahulu ekonomi kita stabil, kemiskinan dan penganguran berkurang dan pendidikan dilaksanakan untuk semua rakyat. Di era Saidina Umar menjadi khalifah, pernah suatu ketika terjadi kecurian. Maka dipanggil pencuri tersebut lalu ditanya mengapa dia mencuri. Maka jawab sang pencuri bahawa dia terlalu lapar kerana ketika itu musim kemarau. Melihatkan keadaan itu, Saidina Umar yang bijak lagi adil itu menghentikan hukuman hudud buat seketika.

Tadi kawan kita ada menyebut tentang judi dan arak. Kalau anda semua kenal, bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Amar Diraja Wan Mokhtar bin Ahmad. Beliau pernah menyatakan bahawa pusat judi itu ibarat jamban. Bila ada jamban maka orang tidak akan membuang najis merata2. Makna kata, dengan adanya pusat judi, rakyat tidak akan berjudi sana sini, mereka lebih tertumpu kepada satu tempat sahaja. Hebat bukan pemikiran beliau? Masakan tidak, graduan Al-Azhar Mesir... mestilah hebat orangnya.

Dulu negara kita pernah dihebohkan dengan loteri kebajikan. Bahasa yang lebih mudah ialah berjudi sambil menderma. Caranya mudah sahaja, jika kita menang dapat hadiah, jika kalah pula duit itu akan disumbangkan ke arah kebajikan. Agaknya pemimpin manalah yang mencadangkannya, sehingga tak tercapai dek akal kita. Yang ingin dipersoalkan ialah bolehkah kita menghalalkan perkara yang haram dengan menyelitkan perkara kebaikan? Bukankah Tuhan telah melarang kita mencampur adukkan perkara yang haq dengan yang batil? Bukankah sudah terang lagi bersuluh?

Saya bukan ingin bercakap tentang hal politik. Tapi ia masih berkaitan dengan konteks agama kita yang syumul ini. Ketika pemerintahan PAS di Terengganu yang bermula pada tahun 1999, pihak kerajaan negeri telah membuat survey tentang judi dan arak. Judi dan arak dalam Islam memang semua sudah tahu haram. Tapi dalam agama lain kita tidak tahu. Maka kerajaan telah tanya beberapa tokoh agama selain Islam samada dari kalangan Cina dan India atau Hindu, Kristian dan Buddha. Mereka mengatakan dalam agama mereka tidak dibenarkan berjudi tetapi arak dibenarkan. Maka kerajaan menutup semua pusat judi di Terengganu dan mengecilkan skop atau bilangan kedai arak di negeri itu. Arak pula hanya dibenarkan untuk bukan Islam sahaja. Bukan sahaja muslim yang meminum arak didenda, malah kedai yang menjual arak kepada muslim turut dikenakan kompaun. Selepas itu kita boleh lihat kejayaan PAS mengurangkan kadar jenayah dan mengungguli kedudukan UPSR dan PMR terbaik seluruh Malaysia. Kejayaan anak2 Terengganu ini adalah hasil pemerintahan Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Satu lagi yang ingin saya tambah ialah hudud ini tiada kaitan dengan bukan Islam. Maka kita tidak perlu terangkan kepada non-muslim dan mereka tidak perlu bimbang dengan hudud. Apa yang penting ialah sejauh mana kita menerima hukum ALLAH, sejauh mana keyakinan kita terhadapnya dan sanggupkah kita melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh ALLAH ini. Akhirnya saya menyeru, janganlah kita menjadi seperti segolongan yang mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama mereka memusuhi Islam, mereka tidak mahu menerima hukum ALLAH malah megutuknya pula dan mereka menghalang usaha ke arah menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Wallahu A'lam...
Maaf sahabat2ku sekalian, esok aku ada exam, jadi aku harap kalian mendoakan kejayaanku. Mudah2an dengan doa kalian semua yang berkat itu dapat mengatasi tawakkalku yang melebihi usaha untuk diterima dan diberi kejayaan padaku. Nampaknya buku teks Bahasa Arab seakan2 memanggilku untuk memberi layanan dan perhatian padanya. Memanglah aku prihatin, tapi bukan untuk semua benda. :) Akhir sekali, dakwah Islam itukan tadarruj (beransur2), jadi cukuplah sekadar itu. Sekian, jumpa lagi!



Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.