Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, Al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria
Sambungan Siri 1;
Keempat,
berakhlak dengan akhlak Islamiah.
Bercakap soal akhlak rasanya semua sudah jelas. Malah Nabi sendiri pun
diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Seharusnya mereka yang
ingin mengikut jalan perjuangan Nabi turut berakhlak dengan akhlak Nabi.
Mana mungkin orang yang punya akhlak buruk boleh dijadikan qudwah dan
ikutan. Ada yang bertanya apa beza akhlak dan moral? Rakan saya di UIA
pernah kongsikan, moral ialah apa saja yang dilihat baik oleh semua
manusia tidak kira agama tetapi tidak membaca Al-Quran. Ia tidak
termasuk dalam moral. Sedang ketika Aisyah ditanya bagaimanakah akhlak
Nabi?
"كان خلقه القرآن."
Jawab Saidatina, “Sesungguhnya akhlak Baginda ialah Al-Quran.”
Kita
sepatutnya sedia maklum bahawa di dalam Al-Quran terkandung lebih
banyak ayat berkaitan akhlak berbanding hukum-hakam. Di dalamnya diajar
supaya sabar, redha, amanah, menepati janji, berbuat baik terhadap ibu
bapa, syukur dan bermacam lagi sikap baik yang perlu ada di dalam diri
sekalian muslim. Ini menunjukkan betapa indahnya Islam dan perilaku Nabi
s.a.w. yang menterjemahkan Al-Quran melalui akhlaknya.
Kelima,
turun
ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan
kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang
melibatkan agama. Banyak kesamaran dan salah faham yang
melanda ummah. Mereka masih lagi jahil soal ibadat harian termasuk
solat, apatah lagi perkara serumit Hudud dan Qisos. Kewajipan dakwah
semua sudah ma’ruf bukan?
"من قال لا إله إلا الله فهو الداع."
Sebagaimana kata Nabi s.a.w.: “Siapa yang mengucapkan ‘tiada Tuhan melainkan Allah’ (syahadah) maka dia adalah pendakwah.”
Keenam,
tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.
Ini yang terpenting sebetulnya. Entah, saya tidak pernah meletakkan
peranan-peranan ini mengikut prioriti. Nombor hanyalah nombor dan tetap
nombor. Tidak bermaksud yang pertama lebih afdhal dari yang keenam.
Masing-masing punya keutamaan dan perlu diseiringkan dan berjalan
serentak. Namun saya tidak menolak untuk mahasiswa memfokuskan kepada
satu dua peranan saja dulu. Dakwah itukan bersifat tadarruj
(beransur-ansur). Pilihlah yang mana ingin didahulukan, saya tidak
pernah dan punya hak untuk menghalang. Cumanya janganlah pula
dikesampingkan peranan lain.
"ما لا يدرك كله لا يترك جله."
Kaedah Islam mengajar: “Apa yang tidak mampu kita kuasai semuanya, jangan pula ditinggalkan kesemuanya.”
Apa
yang ingin saya sampaikan dalam peranan keenam ialah sifat Islam itu
syumul. Meliputi seluruh aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil
perkara seperti makan minum hinggalah sebesar-besar perkara contohnya
memerintah negara. Maka tidak dapat tidak mahasiswa wajib berilmu (punya
pengetahuan mendalam), faqih (punya kefahaman yang betul) dan
mengaplikasikan ilmu yang difahami tersebut dalam kehidupan.
Menyeluruhnya Islam sehingga semua perkara ada Islam di dalamnya.
Bermula politik, sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan sehinggalah
hiburan dan sukan, malah semuanya. Apa yang tidak ada dalam Islam?
Namun
ironinya, apa yang berlaku hari ini mahasiswa terlalu leka dan lesu.
Sangat mengecewa dan menyedihkan. Leka dengan kenikmatan duniawi dan
seisinya. Fenomena hedonisme juga melanda mahasiswa. Benar, musuh tidak
pernah mengenal sesiapa. Malah ada yang leka dengan pelajaran sampai
meninggalkan kewajipan terhadap ummah dan agama. Tidak pernah ambil tahu
isu semasa, apa yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia
termasuk di Malaysia lebih-lebih lagi. Perkara ini sudah saya jelaskan
sebelum ini.
Mereka tenggelam dengan 5M. Teringat
mau’izoh Ustaz Ridhuan, mantan YDP BKAN Pahang dalam Program Obor
Mahasiswa Harapan (OASIS) PMRAM di Nuzul Isma’iliyah bulan lalu,
“Mahasiswa baru mesti hindari 5M. Makan, minum, main Facebook, main PES
dan movie.” Mahasiswa hari ini sering dimomokkan dengan hiburan,
permainan dan gaya hidup melampau. Semuanya dihidang dan dijamu selera
bagai bukan suatu kebobrokan dan tanpa rasa bersalah. Selalu juga kita
mendengar istilah 3K yang popular di kalangan penuntut IPTA di Tanah
Air. Kuliah, katil dan kafe. Mahasiswa sekarang biasanya hanya berlegar
dan bermain di sekitar tiga perkara itu saja.
Mahasiswa
cerdik sepatutnya punya idealisme sendiri. Idealisme itu pula mestilah
dipandu wahyu dan sabda. Tapi tidaklah terlalu idealistik sampai
meninggalkan realistik. Idea itu perlu dibumikan dan berpijak di dunia
nyata. Lebih dukacita lagi ada mahasiswa yang bermaksiat. Meninggalkan
Solat Fardhu hatta Solat Jumaat, berikhtilat siber tanpa batasan
syariat, menonton video lucah dan menjalankan jenayah akademik berupa
plagiarisme dalam peperiksaan mahupun assignment. Contoh yang saya
tampilkan ini sama sekali tidak kena dengan sifat asli ‘tolibul ilmi’
yang harus bersih daripada noda yang sengaja diada-adakan lantas bakal
menambahkan kuantiti titik-titik hitam di lubuk nubari.
"العلم نور. ونور الله لا يهدى للعاصي."
Bertepatan
dengan suatu baris hikmah yang dituturkan ulama’: “Ilmu itu cahaya dan
cahaya Allah tidak akan menembusi hati orang yang bermaksiat.”
Lesu
pula masalah yang agak teruk menimpa mahasiswa. Kita tidak mahu
membiakkan mahasiswa yang lesu, lembik, kurang daya tahan dan ‘culas’.
Mereka ibarat bangkai bernyawa yang menjadi liabiliti buat ummah. Jangan
sampai ummah terkilan dengan sikap bodoh sombong kita. Buat program tak
hadir (liat). Ke kelas pun malas. Apatah lagi mahu bermesyuarat dan
berusrah, jauh sekali. Mereka sekadar tahu menyumbat perut dengan
berbagai makanan dan minuman yang enak dan lazat, gemar mendengar lagu
di bilik, menghadap laptop melayan Facebook, bermain game bola sepak PES
2012 dan menonton movie terbaru berjemaah. Lebih malang lagi hanya
seronok menghayati nikmat tidur berbantalkan mimpi bidadari mungkin.
Ayuh
mahasiswa, kita bangun dan bangkit! Saya juga mahasiswa seperti anda
yang tidak terlepas daripada melakukan kesukaan dan kelalaian yang saya
sebutkan sebentar tadi. Solusi kepada masalah ter’lagho’ dengan benda
alah yang sedap itu adalah tidak bersendirian. Antaranya melibatkan
diri dengan aktiviti berpersatuan, duduk bersama orang ramai atau lebih
baik lagi mendampingi ulama’ dan orang soleh. Bila bersendirian kita
mudah melakukan ketidaktaatan kerana tidak ada lagi rasa malu jika
perkara itu dilakukan di hadapan khalayak.
Cukuplah
nukilan saya sekadarnya. Rasanya sudah agak panjang saya mencatat.
Bukanlah untuk sahabat mahasiswa lain sangat, tetapi diri sendiri
terutama. Sebenarnya sahabat saya, Abdul Hakim Othman yang kini mengaji
di Jordan minta saya tuliskan artikel di bawah tajuk di atas. Sudah lama
rasanya permintaan itu. Memakan tempoh berbulan juga. Adapun saya telah
memulakannya sebelum Ramadan lepas di Pejabat BPPNT, tempat saya
bekerja sementara waktu itu.
Sebetulnya baru sekarang saya
mampu mencurah idea. Sebabnya saya sudah bergelar mahasiswa ‘semula’.
Sudah mendapat jiwanya kembali. Makalah ini mungkin membantu beliau dan
rakan-rakan mahasiswa. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Andai ada
kekurangan, tapislah ia agar tetap menjadi suatu yang bermanfaat. Mohon
maaf atas kekasaran kata dan keterlanjuran bahasa. Mahu saja naqalkan
kata-kata Hakim, sang perintis artikel ini yang cukup ta’thir
(mengesankan), “Seseorang itu akan diuji dengan ucapannya.” Allah, saya
jadi begitu takut. Bimbang diuji nanti, sudahlah iman senipis kertas A4
70 gsm. Mujurlah Nabi pernah membicarakan;
"بلغوا عني ولو آية."
“Sampaikanlah daripadaku (ajaran) walaupun satu ayat.”
Rasanya
sudah lebih daripada satu ayat, malah berayat-ayat. Akhirnya, pesan
Syeikh Hasan Hudaibi, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, “Binalah
Islam di dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di negaramu.” Nasihat
saya pula, “Jangan tanya apa Islam boleh beri kepada kita. Tapi tanyalah
apa kita boleh beri kepada Islam.” Kepada Allah jualah kita mohon
kebaikan. Moga kita tergolong dalam mahasiswa agen perobah. Yakinlah,
kita pasti mampu. Ummah sedang menunggu kita, teman!
Selesai:
Jam 4.30 pagi (waktu Mesir), 1 Zulhijjah 1432 bersamaan 28 Oktober 2011
di Rumah 403, Asrama Penuntut Terengganu Mesir, Syeksen 10, Bandar
Nasr, Kaherah, Bumi Kinanah.