Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Saturday, September 3, 2011

Aku, Dia dan Ramadan

Assalamualaikum semua pembaca blog Jiwa Terasing yang budiman.

Pertamanya aku ingin memohon maaf atas ketidak sempatan aku untuk mengemas kini blog ini. Mungkin aku terlalu sibuk sehingga tidak memungkinkan aku untuk menjamah lalu menukil sesuatu di sini.

Keduanya aku dalam entri kali ini ingin bercerita pengalaman menghadapi bulan Ramadan tahun ini, 2011 Masihi dan 1432 Hijri. Aku memang suka bercerita. Pernah suatu masa dulu aku mendapat anugerah Blog Paling Bercerita daripada sahabat kesayanganku, Al-Amin Salleh. 

BEZA RAMADAN KALI INI
Entah. Aku sendiri pun tak tahu apa bezanya Ramadan kali ini. Mungkin bezanya aku berpuasa di kampung kali ini. Tahun lepas aku berpuasa di sekolah. Dua tahun lepas pula di Nilai.

Tahun ini juga aku bekerja sepanjang bulan Ramadan. Apa lagi yang membezakan Ramadan tahun ini dengan yang sebelumnya ya? Itu saja gamaknya. 

PENJUAL AIR TEBU
Bermula satu Ramadan aku mula bekerja di sebuah gerai milik bapa saudaraku, Gerai Air Tebu dan Soya Mazelan atau aku panggil beliau Ayoh Cik Lang. Acik Nah (isteri beliau yang juga ibu saudaraku) minta aku bekerja di sana. Gerai tersebut hanya dibuka sepanjang bulan Ramadan. Ayoh Cik Lang punya kedai makan di Wakaf Tembesu, namun bulan puasa tidak dibuka. Jadi beliau mengambil inisiatif dengan menjual air Tebu dan air Soya dekat dengan rumah beliau di Kampung Baru Seberang Takir.

Aku bekerja sebagai pengikis batang Tebu. Atau dalam bahasa Terengganunya, 'kokot' Tebu. Kadang-kadang aku juga membungkus air kepada pelanggan. Inilah pertama kali aku bekerja di bulan Ramadan. Rasa letih itu ada juga, namun ditahan-tahan saja. Bersama aku, Yosu One, Fakhri, Amal dan Wadi juga bekerja di tempat yang sama. Syahid (anak Ayoh Cik Lang) yang baru pulang dari Pusat Asasi UIA Nilai juga bekerja sekali dengan kami.

Ayoh Cik Lang seorang yang tegas, jadi beliau sangat menekankan disiplin dalam bekerja. Kalau ada yang main-main atau acuh tak acuh, pasti akan dimarahinya. Beberapa kali juga aku dimarahinya kerana rehat terlalu lama dan sebagainya. Memang aku patut dimarahi kerana kecuaianku. 

IMAM SOLAT TARAWIH
Jadual imamku tahun ini tidaklah sepadat mana. Biasa-biasa saja. Rasanya tahun lepas lebih banyak malam yang aku perlu jadi imam. Antara surau yang memintaku untuk menjadi imam solat Tarawih ialah Surau Ustaz Yong, Seberang Takir dan Surau MRSM Kuala Terengganu. Yang lain aku hanya gantikan kekandaku, Ustaz Abdul 'Alim atau aku panggil beliau Ablem di Surau Al-Mawaddah, Teluk Ketapang.

Aku turut diminta menjadi imam solat Tarawih di Kursus BTN. Aku menjadi imam kedua solat Tarawih pertama kami di sana. Imam pertama ialah sahabatku, Fatah. Aku juga menjadi imam di rumah nenekku yang aku panggil Tok. Sebelum solat Tarawih, iftar jamaie diadakan di sana. 

TAZKIRAH DAN KHUTBAH

Setiap kali aku menjadi imam solat Tarawih, pasti aku akan memberikan tazkirah. Paling lama ialah sepuluh minit. Tapi biasanya hanya sekitar lima hingga tujuh minit saja.

Beberapa tazkirahku, aku tuliskan kembali di Facebook. Antara contoh tazkirah tersebut ialah;

1. Dalam tazkirah saya di Surau Mawaddah semalam, saya sebut, "Bila datangnya Ramadan, maka orang ramai akan tertumpu di masjid/surau. Surau yang tak pernah penuh, tiba-tiba jadi penuh. Adakah kita menyangka bahawa Allah taala itu hanya ada pada bulan Ramadan?"

Saya juga naqalkan kata-kata kekanda Abdullah Haris, "Syurga itu untuk orang yang hidupnya terasa, bukannya untuk mereka yang merasa selesa."

2. Saya akhiri tazkirah saya kelmarin di Surau Mawaddah, Teluk Ketapang dengan menyebut sepotong hadis Nabi yang sangat cantik.
Kata Nabi s.a.w., "Sesungguhnya SYURGA itu RINDU kepada 4 golongan;
1. Mereka yang menJAGA MULUTnya.
2. Mereka yang memBACA AL-QURAN.
3. Mereka yang memBERI MAKAN kepada ORANG yang BERPUASA. 
4. Mereka yang BERPUASA." 
Mudah-mudahan syurga merindu kita semua! Ameen. =)

Aku juga menulis tazkirah di Facebook milikku. Aku salin dan tampal semula tazkirah itu di sini;

TAZKIRAH RAMADAN 1: 

"Melakukan kebaikan memang meletihkan tetapi letihnya akan hilang dan pahalanya akan kekal. Melakukan kejahatan memang menyeronokkan, tetapi seronoknya akan hilang dan dosanya akan kekal."

TAZKIRAH RAMADAN 2: 

"Hairan saya melihat orang miskin yang akhirnya jadi kaya tapi kedekut. Begitu pula orang jahil yang akhirnya jadi alim tapi sombong. Ingin saja saya katakan pada mereka, 'Lebih baik kalian miskin dan jahil!'. Sungguh, mereka kaya dan alim yang sia-sia."

TAZKIRAH RAMADAN 3: 

"Syurga itu indah dan nikmat namun jalan menuju kepadanya hodoh dan azab. Neraka itu pula hodoh dan azab namun jalan menuju kepadanya indah dan nikmat."

TAZKIRAH RAMADAN 4: 

"Rasulullah pernah ditanya, "Bagaimana kami ingin mengetahui tempat tinggal kami di akhirat, sama ada di syurga atau neraka?" Jawab Rasulullah, "Kamu lihat amalan kamu sekarang. Amalan ahli syurga atau neraka yang sedang kamu kerjakan sekarang?"

TAZKIRAH RAMADAN 5: 

"Sabda Rasulullah s.a.w., 'Alangkah hairannya aku bagi mereka yang mengetahui kelebihan Ramadan tetapi dosa mereka tidak diampunkan.' Na'uzubillah! Moga Ramadan kali ini mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan akan datang! Biarlah 'Idul-Fitri disambut dalam keadaan kita benar-benar fitrah (suci bersih) seperti bayi yang baru dilahirkan tanpa sebarang dosa."

TAZKIRAH RAMADAN 6: 

"Natijah Ramadan adalah dilihat pada 11 bulan selepasnya. Ramai di kalangan kita yang bersedih dengan kepergian Ramadan, namun di penghujungnya mereka tidak pula memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada, malah mensia-siakannya. Lebih mementingkan sambutan hari raya. Anggaplah ini Ramadan terakhir kita, jadikannya Ramadan yang terbaik pernah kita ada!"

TAZKIRAH RAMADAN 7 (Siri Akhir):

"Jadikan Ramadan sebagai titik mula perubahan dalam diri. Jika kita seorang anak, kita menjadi anak yang soleh. Jika kita ibubapa, kita ibubapa yang mithali. Jika kita seorang pelajar, kita pelajar yang rajin. Jika kita seorang sahabat, kita sahabat yang setia. Jika kita seorang hamba pula, kita hamba yang taat. Jom sama-sama muhasabah dan koreksi diri!" 

Mudah-mudahan Ramadan mendidik kita menjadi orang yang benar-benar bertakwa. لعلكم تتقون

 Khutbah yang disampaikan oleh ayahandaku, Ustaz Zakaria Dagang paling menarik perhatianku. Ikuti catatanku mengenainya di Facebook.

Khutbah Jumaat di Masjid Kg Batin tadi disampaikan penuh hikmah oleh ayahanda Ustaz Zakaria Dagang. Khutbah berkisarkan malam Lailatul Qadar dan pra-syarat kemenangan Islam.
"Kita kurang cerdik andai di saat orang lain menyahut tawaran istimewa Allah taala di bulan Ramadan, kita pula sibuk menyahut tawaran istimewa di pasar raya. Sampai masa orang lain mendapat Lailatul Qadar, tapi kita pula mendapat 'Lailatul' Kamdar ataupun Laila Rawas," pesan ayahanda tadi.

USRAH, QIAMULLAIL DAN IFTAR
Sepanjang Ramadan, aku sempat beberapa kali mengikuti Usrah dan Qiamullail Islah Pemuda yang diadakan di Surau Al-Hidayah, Alor Kuda.

1. Semalam saya hadiri usrah Islah Pemuda di Surau Al-Hidayah. Bersama sahabat yang saya kasihi kerana Allah, Mohd Faiz Ismail, Ahmad Kamal Hafizullah, Razzi Azhar, Arif Sidek, Muhammad Harith Fadhli, Muhammad Affan, Asyr Fahmi, Muhaimin Azman dan yang lain, berkesempatan qiam bersama pagi tadi.

Alhamdulillah, Allah pertemukan saya yang kurang baik ini dengan insan hebat dan sangat baik seperti mereka. Moga ukhuwah yang kami bina atas dasar akidah ini akan kekal sampai ke syurga! Ameen. =)


2. Semalam saya beraktivitas bersama sahabat-sahabat Islah Pemuda di 'port' tetap kami, Surau Al-Hidayah, Alor Kuda. Kami juga menerima tetamu istimewa (ahli syurga) semalam, Saudara Khaiyoe Naem.

Kami berbbq, sembang-sembang, usrah-usrah, qiam-qiam dan tidur-tidur. Moga Allah menerima amal soleh kami di bulan Ramadan yang mulia ini. Ameen. =)
 Aku juga mengikuti Munajat Perdana yang diadakan serentak di seluruh negara.

Memulakan Kembara Tarbawi, saya, Faiz, Hafiz dan Khaiyoe iftor di Surau Kg Undang, bersebelahan rumah Kak Izzu dan Kak Fatihah. Kami ke Rusila untuk solat Tarawih. Usainya, ada ceramah daripada Tuan Guru Presiden.

Paginya kami qiam bersama ribuan pendokong yang hadir. Sangat sayu apabila dalam qunut solat Witir, Tuan Guru beberapa kali menangis. Allah, jiwa saya jadi tersentuh. Moga Allah menerima munajat kami di bulan yang mulia ini dan memberikan kemenangan kepada kami dalam PRU ke-13. Ameen.

Puasa tahun ini aku bekerja, jadi aku akan berbuka puasa di tempat kerjaku. Kecuali ada beberapa ketika, aku berbuka puasa bersama teman dan keluarga.

1. Semalam saya berbuka puasa bersama rakan-rakan se-MDQ, The-neng Jabal Mazlah, Syabab Dimasqi, Iesmie Smael, Hilmi Jusoh Sd, Sero Nasrul, Penerang Hati dan beberapa orang yang lain lagi di Pantai Batu Burok.

Alhamdulillah, walaupun saya hanya setahun di MDQ, namun ukhuwah kami takkan pernah padam. Insya-Allah, ameen. =)


2. Semalam iftor jamaie di rumah Tok. Antara keluarga yang hadir ialah Ayoh Long (Nur Adlina Abdul Aziz, Amirah Aziz dan Ahmad Syahir Abdul Aziz), Ayoh Ngoh (Hazirah Zyrah dan AnYa AyNa), Cik De (Maryani Ismail, Wajihah Zakaria Attakiri, Sofiyyah Sobihah Attakiri dan Nur Rahmah Baiyyinah Zakaria), Acih Nah (Prince Syahid) dan Yosu One.

Kami juga bertarawih sama-sama di sana. 

Sangat-sangat seronok! =)

KURSUS BTN
Aku diwajibkan untuk menghadiri Kursus Biro Tata Negara yang diadakan selama lima hari. Walaupun hati sangat berat untuk pergi, namun aku gagahkan jua demi kelansungan pengajianku. Kalau tidak hadir ke kursus itu, automatik aku tidak dapat menyambung pengajianku di Mesir. Ikuti ulasanku berkenaan kursus tersebut di laman sosial Facebook;

1. Pulang dari Kem Bina Negara, Besut mengikuti Kursus Kenegaraan Mahasiswa ke Luar Negara. Alhamdulillah, seronok berkursus kali ini. Dapat bertemu dengan bakal ulama' dan bakal doktor di sana, sambil menjahit ukhuwah bersama mereka. Moga ketemu lagi di bumi Mesir, insya-Allah.

2. Kursus Kenegaraan Mahasiswa ke Luar Negara anjuran Biro Tatanegara membuatkan keterujaaan saya untuk belajar di Mesir bertambah-tambah. Terima kasih kepada semua rakan sekumpulan, rakan sebilik, penghulu, tok imam, ketua dewan makan, para fasilitator, para jurulatih dan urusetia program! シ

3. Dalam tazkirah saya di hadapan para peserta Kursus BTN yang lalu saya menyebut, "Kita sebagai mahasiswa sama ada pengajian Islam ataupun perubatan adalah agen perubah masyarakat. Kita perlu 'tafaqquh fiddin (mendalami agama)' seterusnya pulang ke kampung memberi 'inzar (peringatan)' kepada masyarakat."

4. Ketika diminta memberikan rumusan untuk LDK akhir dalam Kursus BTN, saya mengulas lanjut tentang tayangan video 'rusuhan' di Batu Burok dan di Kuala Kangsar. Saya katakan, "Cara untuk kita menyelesaikan masalah rusuhan kaum dan sebagainya ialah dengan kita mengambil Islam sebagai cara hidup. Sekiranya kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah nescaya segala masalah yang berlaku dalam negara kita dapat diselesaikan."

DIA?
Mungkin para pembaca tertanya-tanya, siapakah dia yang dimaksudkan dalam tajuk entri aku kali ini. Sebenarnya dia adalah insan yang hadir dalam hidupku lalu memberi sinar baru pada kehidupanku. Dia seorang yang cantik dan solehah. Cukup sempurna di mataku.

Aku mengenalinya melalui usrah. Sungguh indah pertemuan kami bukan? Saat pertama kali memandangnya, aku terus jatuh cinta. Entah, perasaan cinta itu hadir tiba-tiba. Siapalah aku untuk menolak perasaan itu bulat-bulat.

Aku melamarnya melalui seorang sahabat. Lalu lamaranku diterima. Aku mengucap syukur kepada Allah atas kurniaan ini. Mungkin kami sudah ditakdirkan bersama. Kami merancang untuk berkahwin setelah aku habis belajar di Mesir.

Suatu hari dia berkata kepadaku, "Awak, kesian kat pembaca blog awak kena tipu! haha.."

Keh, keh, keh. Maaf, aku bergurau saja.

Sebenarnya Dia yang sebetulnya ialah Allah, Tuhan kita semua.

Aku menyambut Ramadan kerana Allah dan Allahlah yang memberikan aku peluang untuk bertemu dengan Ramadan kali ini.

Mudah-mudahan Dia menyampaikan aku kepada Ramadan yang akan datang. Mahu saja aku baiki Ramadan kali ini yang banyak cacat celanya pada Ramadan tahun hadapan, insya-Allah. Ameen.


Nota Kaki: Di blog, aku membahasakan diriku sebagai aku. Manakala di Facebook aku membahasakan diriku sebagai saya. Sekian!





Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.