Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!
Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Thursday, January 16, 2014

2014: Setelah Dua Puluh Tiga Tahun

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan.

Pertamanya terima kasih di atas kesudian kalian untuk membaca catatan saya untuk kesekian kalinya. Entah, saya pun tidak tahu kenapa saya masih mahu menulis di blog yang rasanya sudah tidak ramai pembacanya hari ini. Mungkin kerana blog adalah budaya lama, hari ini orang ramai lebih memilih Facebook berbanding blog.

Saya memilih untuk berblog semula setelah sekian lama saya berkubang dan bercedung di medan Facebook (FB). Bukan kerana saya sudah berputus asa dengan FB, tetapi saya ada sebab tersendiri yang rasanya tak perlu semua orang tahu, cukuplah beberapa orang terdekat yang mengetahui hal sebenar.

Ini apa yang saya tulis di FB sebagai status terakhir saya di sana;

Budaya Facebook sebenarnya sudah membunuh ramai orang.

Termasuk membunuh tokoh-tokoh figura masyarakat.

Saya juga merupakan mangsa fenomena Fesbuking yang sudah semacam mengarut amat hari ini. Malah saya rasa seperti dibunuh-bunuh saja oleh dunia Fesbuk!

Facebook akan menterjemahkan sifat-sifat mazmumah dan penyakit hati yang dicela melalui status, komen, gambar dan sebagainya.

Facebook akan menjelas dan menjaharkan sifat nifaq yang bersarang di hati. Menampakkan sisi jahat manusia yang penuh dengan dendam, benci, amarah, tamak dan dengki.

Daripada sebuah pertelingkahan kecil merebak menjadi sebuah perang besar.

Isu asal hanya bersifat picisan, yang akhirnya berakhir dengan sebuah "tragedi" maki hamun yang tidak berkesudahan.

Itulah sebabnya saya seakan sudah serik berFacebook. Malah ayah juga meminta supaya saya meninggalkannya.

Oleh itu, selamat tinggal Fesbuk dan Mark Zuckerberg!

Nota hujung: Saya belum bercadang untuk menutup FB saya atas beberapa sebab yang tak perlu diberitahu. Selepas status ini dikirim, saya hanya akan bukak sekali-sekala je Fesbuk. Malas dah layan kerenah manusia yang bermacam ragam itu. 

Saya menulis dengan penuh  berat hati.

Saya seolah berada di persimpangan antara dua perkara yang selalu saya fikirkan. Satunya ialah soal dakwah saya di FB. Perlukah saya berputus asa? Keduanya pula soal "tragedi" yang saya alami sepanjang berFB.

Kalau saya boleh untuk tidak memilih, pastinya ia lebih meringankan buat saya. Tapi itu tidak berlaku. Saya perlu memilih salah satu.

Lalu saya memilih yang kedua. Saya tidak tahan dengan maki hamun yang dilemparkan buat saya, ayah saya atau sesiapa saja yang saya sayang.

Mereka hanya tahu melempar batu, lalu sembunyi tangan. Kalaulah saya bisa berbuat sesuatu selain daripada "bersara" daripada dunia FB, pasti saya akan lakukan.

Tapi saya tidak nampak dan tak jumpa tindakan alternatif itu. Yang ada hanyalah saya perlu "pencen" dan tidak perlu lagi berFB.

Itulah keputusan saya. Namun saya tidak tahu berapa lama saya boleh bertahan dengan pilihan kurang popular dan kekampungan itu.

Sebetulnya saya terkesan dengan apa yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam blog beliau, saifulislam.com.

Beliau menulis antaranya;

Resah melihat Facebook mengubah tabiat tokoh-tokoh yang bergiat menggunakannya hingga nama-nama besar pun jadi gedik, baran, merepek, merapu, juga ‘terpaksa’ membuat justifikasi demi justifikasi terhadap pelbagai perkara.

Jawab menjawab.

Balah berbalah.

Entah bagaimana hendak mengungkapkannya, tabiat aplikasi Facebook itu sendiri menyebabkan apabila alim berbahas dengan jahil, ia akan berakhir dengan binasanya si alim, dan semakin menebal kejahilan para juhala’.

Dalam konteks proses ilmu, mendidik dan mengajar atau berdakwah di Facebook adalah seperti memberi mi segera kepada orang yang lapar kebuluran. Mula-mula rasa berjasa. Lama kelamaan ia berubah menjadi pembunuhan.

Sumber: http://saifulislam.com/2014/01/azam-2014-menikmati-pilihan-pilihan-kekampungan/

Saya terpaksa membuat pilihan ini. Ditambah lagi dengan pesanan dan amanat terakhir ayah di KLIA sebelum saya terbang jauh ke Bumi Kinanah. Kata ayah, "Dak yoh (tak payah) main ar Facebook."

Pesanan ayah itulah yang membulatkan lagi tekad saya untuk berhenti terus daripada berFB.

Maafkan saya andai keputusan ini merencatkan usaha dakwah kita, sahabat.

Saya akan terus berdakwah sebagaimana prinsip yang saya pegang bertahun lamanya.

"Berjuang selagi diberi ruang, berusaha selagi diberi daya."

Saya seperti biasa. Saya masih ada di surau/masjid. Masih ada di blog, Twitter, Instagram dan sebagainya. Cuma di FB sahaja saya sudah tidak ada.

Sekarang umur saya sudah mencecah dua puluh tiga (23) tahun. Dua puluh tiga tahun (saya lahir 1 Januari 1991) yang saya lalui sangat memenatkan. Dua puluh tiga tahun yang berat bagi seorang insan lemah seperti saya.

Saya sedar yang saya tidak ada apa-apanya. Saya ini hanyalah budak hingusan yang tidak mengerti apa pun akan urusan dunia. Saya hanya menempel dalam banyak acara dan gelendangan di tengah keramaian.

Saya tidak pandai berlakon atau buat-buat pandai. Kerana saya memang seorang yang tidak pandai. Saya cuma tahu menulis dan membaca sedikit sebanyak.

Saya bukan intelektual atau ilmuwan agama. Saya hanya pelajar mubtadi' (peringkat permulaan) yang masih banyak perlu belajar dan mentelaah. Kerana masih banyak yang saya tidak tahu.

Semoga Allah menjadikan dua puluh tiga tahun ini, sebagai dua puluh tiga tahun yang bermanfaat. Dua puluh tiga tahun yang membawa rahmat dan berkat.

Semoga Allah bantu.

Muhammad Nasih Ulwan @ www.nasehulwan.com
Kota Kaherah

Sunday, October 7, 2012

Travelog Tarbawi: Memoir Anak Pejuang, Suatu Pengenalan

Assamualaikum para pembaca budiman sekalian.

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa esok adalah hari raya! haha. Ok. Aku serius.

Begini, insya-Allah kalau tidak ada aral melintang, aku bakal muncul dengan sebuah buku sendiri yang bertajuk Travelog Tarbawi: Memoir Anak Pejuang. Merupakan koleksi artikel yang diceduk daripada blog ini dan antalogi puisi yang diceduk daripada blog Pentas Tinta.

Lepas ini anda bolehlah dapatkannya di pasaran gelap. hehe. Aku nak ke Mesir dah ni. Bulan depan insya-Allah. Jadi sebelum aku ke sana, aku mahu berbakti untuk nusa bangsa, jadi aku menulis buku ini. Walaupun isinya kebanyakan diambil daripada blog ini, akan tetapi ada tujuh buah artikel yang baru. Enam daripadanya ditulis oleh aku dan satu lagi ditulis oleh kekanda kesayanganku, Abreh.

Jangan lupa dapatkan tau? haha.

Sekian, terima kasih. :D

Doakan kami berjaya menjadi anak pejuang yang soleh!

Thursday, May 3, 2012

Catatan Kembara Ilmu

 Masjid al-Azhar; Tempat 'minum' bagi yang dahagakan ilmu.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat semuanya dalam jagaan Allah.

Setelah hampir enam bulan aku tidak menulis apa-apa entri di blog ini, akhirnya datang juga semangat untuk menulis semula di sini. Ingatkan blog aku langsung tidak akan diupdate lagi. Alhamdulillah, dengan wajah baru seiringan dengan semangat yang baru juga, insya-Allah. Fuhh, letih juga mengupgrade dan merenovate beliau. Juga blog aku sudah punya trademark baru sekarang; Melakar Cinta di Bumi Kinanah.

Untuk entri pertama ini aku hanya akan copy paste status-status aku di Facebook. Sudilah kiranya kalian membacanya sebagai permulaan. Insya-Allah, selepas ini aku akan menulis entri berkenaan pengalaman dan kisah kehidupan baruku di bumi Mesir. Terima kasih atas kesudian membaca dan menjenguk blog aku ini.

SEBELUM BERANGKAT
Insya-Allah, malam ini saya akan terbang jauh ke bumi Mesir.

Terima kasih buat semua penyumbang budiman sama ada melalui wang ringgit, dorongan semangat dan doa. Mohon doa daripada kalian!

Mohon maaf atas segalanya!

Saya bakal merindui semua yang ada di sini. Dalam keterujaaan saya ke sana, masih ada bibit-bibit kesedihan itu. Selamat tinggal Malaysia! =(
 SELAMAT SAMPAI
Alhamdulillah, sudah selamat sampai di Kaherah, Perlembahan Nil. Kami tiba sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Terima kasih buat keluarga dan rakan yang menghantar kami. Juga buat abang senior yang menyambut dengan penuh kemesraan. Kami sangat hargai keikhlasan antum. Hanya Allah mampu membalasnya.

Insya-Allah, saya akan menulis beberapa catatan kembara ilmu saya sedikit masa lagi. Moga beri manfaat untuk 'ibrah kita bersama! (:
MENGENAI MESIR & AL-AZHAR
Dalam al-Quran Allah sebut Mesir sebanyak 5 kali. Juga digelar Ardhul Kinanah.

Al-Azhar adalah antara yang ditakuti Barat mengenai Islam, selain al-Quran, Makkah dan Solat Jumaat. Ditakuti kerana telah melahirkankan ramai ilmuan yang menyebarkan fahaman Islam di seluruh dunia.

Mana mungkin saya yang punya tangan berlumuran dosa sesuai dengan tempat semulia al-Azhar. Tapi itulah percaturan Allah. TakdirNya adalah yang terbaik dan Dia tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang beriman. 
CATATAN KEMBARA ILMU 1
Saya sebak saat memeluk tubuh suci milik mok, adik-beradik, tok dan pok/mok sedara di Mator Terengganu. Mahu saja saya menangis, namun ego mengatasi segalanya. Harap ianya bukan pelukan terakhir kami di dunia.

Saat melihat para guru dan sahabat yang menghantar saya di sana, saya bertambah sebak. Sebak kerana bimbang andai saya tak dapat memenuhi harapan mereka. Mereka pasti mengharapkan kepulangan saya sebagai seorang ulama' pendidik masyarakat. Namun, mampukah saya? =(
CATATAN KEMBARA ILMU 2
Saya terharu apabila ayah saya, Ustaz Zakaria Dagang sanggup menghantar saya sampai ke KLIA. Ayoh memang sudah sangat banyak berkorban untuk saya.

Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa Ayoh. Beliau insan paling penting dan istimewa dalam hidup saya. Saya sangat bertuah punya ayah sepertinya. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 3
Tadi saya temankan sepupu saya, Abdul Mu'iz ke Hayyu Sabe'. Fatah Fathuddin juga ikut serta. Kami ke Maktabah Darus Salam untuk membeli kutaib. Saya habiskan 120 genih untuk 23 kutaib dan al-Quran.

Nanti saya kongsikan tajuk kutaib itu di blog. Majoriti kutaib yang dibeli ialah karangan idola saya dan ummah, Dr Abdullah Naseh Ulwan. Seronok dapat naik bas (sardin), tremco (van sapu) dan teksi (bermeter) tadi. Rasa macam tak mau pulang ke Malaysia dah je! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 4
Sikap obses saya terhadap buku/kitab masih belum dapat dibendung. Sejak di Malaysia lagi saya sudah bersikap dengan yang demikian.

Mesir adalah bumi ilmu. Mana mungkin saya mahu melepaskan peluang mendapatkan kitab dengan harga yang murah itu.

Maafkan saya ibu! Ini untuk manfaat masa depan saya dan ummah juga. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 5
Salam rindu buat semua warga UIA. Alhamdulillah, ana telahpun sampai ke Bumi Kinanah, Mesir. Terima kasih kepada semua sahabat yang pernah menolong ana sepanjang pembelajaran ana di UIA Nilai.

Mohon maaf atas semua kesilapan ana selama berada di UIA Nilai. Doakan kejayaan, keselamatan dan kesihatan ana di sini. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 6
Sedang berprogram dalam Hari Pengetahuan dan Silaturrahim anjuran Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru KPT (USMB '11).

Seronok sangat program ni! Alhamdulillah.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 7
Dr Che Anas Che Kadir telahpun meninggalkan kami dan pulang ke Malaysia. Selamat jalan dan selamat pulang saya ucapkan. Moga pulangmu membawa seribu rahmat buat rakyat Malaysia. =)

Hari ketiga saya di sini, saya ada ziarah ke rumah beliau. Waktu tu, sahabat saya Ustaz Al-Amin Hj Salleh yang bawa saya. Sempat juga belajar ilmu fotografi dengan Abang Muaz Zakaria. Kami juga sembang ilmu dan bincang isu semasa. Seronok je..
CATATAN KEMBARA ILMU 8
Dalam doa saya bermonolog sendirian:
Maaf kerana memeningkanmu. Mungkin aku memang sudah ditakdirkan untuk menjadi beban dan ujian kepada mereka. Namun aku redha ya Allah. =(  
CATATAN KEMBARA ILMU 9
Salahkah andai kami mahu belajar melalui internet? Malah internet boleh dinisbahkan dengan berjuta-juta kitab. Fahamkanlah wahai yang berakal!

Jangan cepat su' zon bila lihat kami main laptop. Tak boleh ke kalau kami study guna laptop? Contoh ada soalan imtihan qobul secara soft copy. Tak kan nak gi fotostat kot?

Oh, sangat prihatin dan berkebajikan mereka itu! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 10
Apakah yang akan berlaku andai Maher Zain akan menyanyi bersama Bytiey? Sama-sama kita nantikan sebentar saja lagi. haha..
CATATAN KEMBARA ILMU 11
Bestnya bila ada orang rindukan kita lalu membawa kita dalam mimpi mereka. Ya, saya punya pengalaman itu. Walaupun beliau tak hadir menghantar saya di mator, namun beliau hadir dalam mimpi beliau. Allahu robbi! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 12
Entah. Rasa lain macam je. Adakah ini petanda buruk atau baik? Pastinya takdir Allah adalah yang terbaik untuk hambaNya. Dia tidak akan sesekali mengecewakan hambaNya yang beriman.
CATATAN KEMBARA ILMU 13
Bila Allah nak bagi kita hadiah yang mahal, pasti kita tak akan diuji dengan harga yang murah.
CATATAN KEMBARA ILMU 14
Alhamdulillah atas dua perkara:

1. Terubat kerinduan apabila mendengar suara mereka. Sungguh, kalian adalah jiwa saya. Saya boleh mati tanpa kalian.

2. Selesai sudah Hari Pengenalan dan Silaturrahim (HPS) anjuran USMB KPT '11. Terima kasih kepada semua fasilitator, urusetia dan peserta program. Antum banyak merubah paradigma ana sebagai seorang Naseh Ulwan. Syukron awi awi!
CATATAN KEMBARA ILMU 15
Sabar itu tandanya sayang. Bersabarlah wahai diri! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 16
Mahu berbuka puasa di bilik tetap saya, 403. Sekarang di bilik angkat, 101. hehe.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 17
Perlu membayar perjuangan dengan harga yang mahal. Sungguh, syurga itu mahal amat! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 18
Sayu saya membaca catatan naqib saya, Ustaz Tengku Khairul Idham buat sahabatnya yang juga sahabat senior saya, Ustaz Syed Maarof Al-idrus.

Kepulangan beliau pasti dinantikan seluruh umat Malaysia. Kontranya, kami di sini pula bersedih dengan kehilangan beliau. Bagai nasi tanpa kuah. Begitulah kami tanpa kelibatnya. Pesanan terakhirnya sungguh mengesankan kami. =(
Link: Pulang Seorang Sahabat.
USRAH PERTAMA
Muzakarah Berkelompok KPT di Surau Kompleks Darul Iman tadi;

Fasi: Ustaz Syamsul (Waalid Aisya).
Ahli: Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Farid, Ustaz Naim, Dr Tarmizi, Ustaz Mujahid, Ustaz Saiful, Ustaz Asroy, Ustaz Shahril dan Naseh.
Perbincangan: Hadis pertama dalam kitab Arba'in Nawawiyyah berkenaan niat, ikhlas dan isu semasa.

Seronok sangat-sangat! =D 
BERSIH: 'THAURAH' VERSI MALAYSIA
Seorang Arab Mesir tanyakan hal baju kuning saya. "Apa maksud BERSIH?"

Saya terfikirkan apa jawapan yang sesuai. "Ini 'thaurah (revolusi)' negara kami." Jawab saya dengan yakinnya.

Dia tanya lagi, "Najib tu jahat ke?"

Susahnya soalan. Saya menjawab, "Lebih kurang Hosni Mubarak la." =D
SUBHANALLAH!
Subhanallah atas dua perkara;

1. Sangat seronok mendengar tazkirah sempena Ribat Pmram di Dataran Hayyu 'Asyir pagi tadi. Lontaran vokal yang jelas oleh Ustaz Asri Mat Daud menghilangkan rasa mengantuk saya. Isi yang cuba diutarakan juga sangat mantap. Ustaz berbicara soal Rijal. Antara kriteria yang perlu dimiliki oleh Rijal ialah mestilah mengambil makanan yang toyyibat.

2. Menerima kunjungan hormat daripada dua orang sahabat yang sangat dirindui, Ustaz أحمد فتحي الكلنتاني dan Dr Mohd Zameer Shazwan Zulkiffli. Terima kasih atas kunjungan! Ada masa datanglah lagi ke sini ya? =D
ALHAMDULILLAH!
Alhamdulillah untuk 2 perkara;

1. Dapat bertemu kekasih. Sangat seronok pertemuan kami tadi. Moga saya tidak akan pernah jemu untuk bertemu dengan kekasih. Moga kekasih cintakan saya sebagaimana saya cintakannya. Terima kasih buat sahabat yang sudi menenami; Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Murshid dan Ustaz Asroy.

2. Semalam saya ke 'Low Yat' versi Mesir. Hari ini juga ke sana. Sepanjang perjalanan hari ini, saya banyak belajar mengenai hakikat diri daripada sepupu terbaik saya, Ustaz Muiz (Ama). Syukron ya sodiiq! =D
 OASIS
Alhamdulillah, sangat seronok berOASIS!

Sahabat, ketemu lagi dalam program PMRAM akan datang, insya-Allah! =D
IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, esok saya dan rakan-rakan akan menghadapi Imtihan Qobul (Peperiksaan Kelayakan) di Markaz Lughah Kuliyah Al-Ulum Al-Islamiyah Universiti Al-Azhar.

Mohon doa daripada kalian moga Allah berikan ketenangan dan kemudahan kepada kami untuk urusan esoknya. =)

ربنا نجحنا 
SELESAI IMTIHAN QOBUL
Alhamdulillah, selesai berperiksa. Mohon doakan juga buat sahabat saya yang mengambil jurusan selain Syariah (Usuluddin dan Lughah) yang bakal menduduki Imtihan Qobul pada esok hari.

والله مستعان 
NATIJAH IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, jika tiada aral melintang, natijah Imtihan Qobul kami akan keluar hari ini. Mohon doa kalian! Moga najah belaka hendaknya!

Hari ini mahu 'kunjungi' kuliyah di Jami'ah Azhar. Terujakah saya? =D
JAULAH KE ZAQAZIQ
Menjalin ukhuwah dan berkunjung hormat ke Muhafazah Zaqaziq. Sungguh, Zaqaziq menjanjikan kedamaian dan kebahagian. Sangat menarik! =)
BERMULA KUTUB SITTAH
Hari ini mereka sedang berIjtima' Tarbawi. Mungkin juga menyambut 60 tahun Pas Perak. Boleh jadi juga perlawanan akhir Piala Malaysia.

Saya di sini sedang berpesta thaqafah. Alhamdulillah, berpeluang mendampingi masyayikh Al-Azhar yang sangat mulia dalam program Majlis Bacaan Hadis Kutub Sittah di Stadium Nadi Riyadh, Hayyu Sadis. Tadi syeikh bacakan kitab Sahih Bukhari untuk kami. Kami akan berkampung selama tiga hari di sana.

Oh, hari ini jubah saya membalut t-shirt Ijtima' Tarbawi 2010 yang diadakan di Rusila. Walaupun rasa sangat sedih tak dapat sertainya tahun ini (hingga timbul kedengkian), harap sahabat sefikrah bisa bawa semangat saya di sana. Insya-Allah, esok mahu pakai badge Ijtima' Tarbawi 2011 yang dibeli saat ceramah Penerangan oleh Pimpinan Pas Kedah di Dataran Hayyu Asyir, anjuran S.U.A.R.A.

Famili saya pula khabarnya ke Perak menyambut dua perkara. Sambutan 60 Tahun Pas Perak dan baby baru Ayoh Yard di Kuala Kangsar. Kali ini tidak lagi kembar seperti sebelumnya. Apapun, pujian harus diekspresikan buat Pemilik Cinta atas segala nikmat pemberian-Nya! =)
BERAKHIR KUTUB SITTAH
Alhamdulillah, sedang berKutub Sittah. Allah, seronoknya setiap saat bersama kekasih-Mu! =) Hari ini merupakan hari terakhir program. Oh, belum puas rasanya! =(

Kepada sahabat Mesir yang tak berkesempatan menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah kali ke-3 atau rakan di Malaysia atau di seluruh pelusuk dunia, insya-Allah anda bakal berpeluang menontonya secara live;

1. Di http://albaeth.com/ (Laman rasmi Syeikh Ibrahim Al-Kittani, Al-'Allamah Al-Azhar Asy-Syarif).

2. Pada jam 6.30 petang waktu Mesir. Pukul 12.30 tengah malam waktu Malaysia.

Jangan lepaskan peluang mendampingi ulama' ini! Moga kita bisa rasai dan hayati anwaar dan anfus Kekasih Agung, Saidina Muhammad S.A.W. Subhanalloh!
RINDU FATAH
Oh, patutlah hari ini rasa sunyi semacam je. Rupanya bilal terbaik dan paling sedap yang pernah dilahirkan KPT tiada di Kompleks. Entah ke mana beliau menghilang. Ke Syoubra khabarnya. Rindunya pada roomate saya itu! =D
6 OKTOBER
Tanggal 6 Oktober merupakan tarikh penting buat rakyat Mesir. Pada tarikh inilah mereka mendapat kemenangan dalam perang melawan Israel.

Persoalan yang mungkin timbul, adakah detik itu akan berulang? Boleh jadi ya dan boleh jadi tidak.

Saya teringatkan ARMA. Tanah dibangunkan ARMA itu merupakan pemberian kerajaan Mesir buat pelajar Malaysia. Sebagai hadiah atas bantuan pelajar Malaysia menewaskan Israel.

Andai peristiwa peperangan Mesir-Israel berulang, bagaimana nasib kami? Adakah akan ada lagi evakuasi atau Ops Piramid? Kami mungkin punya dua pilihan waktu itu. Mahu syahid di sini atau pulang mengislah masyarakat.

Jika ditanya mana pilihan saya, saya memilih pilihan kedua. Bukan kerana saya takut mati atau tidak cintakan syahid. Namun saya memikirkan nasib orang yang menyumbang bantuan untuk kelangsungan pelajaran saya di sini. =)
   
PESAN USTAZ ENGKU HASAN
Pesan Ustaz Engku Hasan hafizohulloh, "Jangan anggap semua orang Arab itu jahat. Bimbang Nabi juga termasuk dalam anggapan kita itu. Bersangka baiklah pada mereka. Kita sendiri nak ambil ilmu daripada orang Arab. Cumanya untuk berhati-hati itu tidak mengapa."

Alhamdulillah, setakat ini saya belum bertemu dengan Arab yang betul-betul jahat. Hanya jumpa yang baik-baik saja. Benarlah kata Nabi dalam satu Hadith Qudsiy: "Aku bersama sangkaan hambaku terhadapku." Pesan saya, bersangka baiklah dengan Allah! =)
SANG KEKASIH
Mahu jumpa kekasih. Mahukah kekasih melihat wajah sang pendosa seperti saya ini? Allah.. Sangat mahu mencari ketenangan di sana. Moga Allah permudahkan!
والله مستعان
BELIAU ITU
Boleh saya ikut beliau ke Al-Azhar hari ini? Setakat ini saya belum lagi diajak membonceng motor baru beliau. Sedihkan? huhu..

Beliau tak ajak pun saya ke Masjid Al-Azhar hari ini. Sedih gila! =(
Ok. Setakat itu sajalah catatan yang sempat aku buat sepanjang awal kehadiranku ke Bumi Kinanah ini. Insya-Allah jumpa lagi untuk entri akan datang!

Kenangan menyambut 'Idul-Adha di perantauan.

Friday, November 4, 2011

Dari Blog Zakaria Dagang 4

17 September 2011

Selamat berjuang di bumi Ambiya' anakku, Nasih!


Malam Jumaat lalu, kami sekeluarga menghantar anak kelima kami, Muhammad Nasih Ulwan yang akan berangkat ke Mesir, bumi Ambiya' untuk menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar dalam bidang Syari'ah.

Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Telaga Batin malam itu riuh-rendah dan hiruk-pikuk suara sanak saudara yang menghantar para pelajar seramai lebih 20 orang yang turut berangkat bersama anak kami.

Rasa-rasanya ahli keluarga kami paling ramai ketika itu. Mungkin kebetulannya, tempat kami paling hampir dengan LTSM. Selain itu kami mempunyai keluarga yang besar di kedua-dua belah pihak.

Kami rasa sangat gembira kerana hasrat dan cita-cita Nasih untuk melanjutkan pelajarannya di Mesir akhirnya tercapai jua. Lebih gembira lagi ialah Nasih sendiri. Jelas terpancar pada wajahnya perasaan itu.

Sepatutnya Nasih sudah dapat ke Mesir dua tahun dahulu. Tetapi oleh kerana beliau ditimpa 'sakit' yang tidak memungkinkan beliau ke sana, hasratnya itu terbantut dan beliau terpaksa menukar haluan untuk belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Pusat Asasinya di Nilai, Negeri Sembilan.

Oleh kerana azam, tekad dan semangatnya sangat kuat untuk ke Al-Azhar, akhirnya beliau kembali ke Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi melayakkannya ke Mesir. Pengajiannya di UIA hanya setakat tiga semester sahaja.

Terlalu banyak sebenarnya apa yang saya ingin coretkan mengenai Nasih ini. Tetapi mungkin tidak mampu untuk dibentangkan di sini. Beliau adalah seorang anak yang agak luar biasa dari adik beradiknya yang lain. Beliau mempunyai sifat tegas yang sukar ditandingi oleh yang lain.

Sebagai seorang ayah, secara peribadinya, saya sangat mengagumi tulisannya. Kata-katanya sangat menusuk kalbu. Mungkin boleh dirujuk melalui blog beliau "Jiwa Terasing" dan "Pentas Tinta" serta laman sosial facebooknya: http://www.facebook.com/nasehulwan.

Itu sahaja yang dapat saya catatkan secara ringkas sebagai titipan buat anakanda tersayang yang akan meneruskan perjuangan di bumi Ambiya'. Selamat Berjuang dari kami di sini.


1 comments:

Naseh Ulwan berkata...
Allahu robbi!

Nasih sebak pa baca entri ni..
Walaupun Nasih gembira masa kat airport sebab Allah makbulkan doa Nasih untuk jejakkan kaki di Mesir, tapi dalam hati ni hanya Allah yang tahu. 20 tahun Nasih duk ngan Mok Ayoh, dop pernoh pissoh. Ni nok tinggal Mok Ayoh bertahun-tahun. Mujur gop air mata dop dan nitis masa kat airport tranung. Memang sebak gila masa tu. Masa peluk Mok, abang, kakak, adik, Tok, pok/mok sedara, rasa macam nak nangis doh. Tapi dop tau r, hati Nasih keras ngat kot. =(

Mekaseh Ayoh sebab hantar Nasih sampai KLIA pahtu tulis entri ni. Nasih tahu Nasih bukanlah anak Ayoh yang baik. Dulu derhaka sokmo ke Ayoh. Masa duk jauh ni baru berasa rindu nok dengar Ayoh marah. Sini tak dop orang nok marah Nasih. Nasih boleh wat mende hok Nasih suka.

(Nasih tengah nangis ni)

Insya-Allah, 2 tahun gi Nasih balik dengan jadi Nasih yang baru. Bukan lagi Nasih hok keras palle macam dulu. Doakan Nasih berjaya dalam periksa imtihan qobul. Nasih takmboh gop duk lama-lama sini. Nak balik Malaysia nak tabur bakti, didik masyarakat supaya kenal Allah pulop. Doakan kenajahan, kesihatan dan keselamatan anakanda di sini.

- Anakmu yang kini jauh.
(2.00 pagi waktu Mesir)

Friday, October 7, 2011

Salam Syawal 1432H buat Semua Pembaca Blog Jiwa Terasing

Sila klik pada gambar untuk melihat dalam skala yang lebih besar.

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA
Selamat hari raya aku ucapkan khusus buat;

1. Ibubapa, adik-beradik, keluarga dan sanak saudara.
2. Jiran tetangga dan rakan sekampung.
3. Sahabat seusrah dan sejemaah.
4. Teman sepengajian dan para guru (Pasti al-Hijrah | Madrasah Darul Taqwa | Maahad Darul Quran | SMASZAL | SMAASZA | UIA Nilai).
5. Rakan maya di Facebook, Blog, Yahoo Messenger, Twitter dan Formspring.

Juga sesiapa sahaja yang mengenali diri yang faqir ini sama ada secara dekat atau jauh.

DIARI RAYA
1. Raya pertama;

1.1 Solat Sunat Hari Raya di Surau al-Mawaddah, Teluk Ketapang. Imam ialah Ablem, manakala Ayoh pula khatib.
1.2 Sesi bersalam-salaman di rumah.
1.3 Raya di rumah Tok Lah, Acik Ma dan sekitarnya.
1.4 Raya di rumah Tok Pat.
1.5 Raya di rumah Pok Mael dan Tok Su Din.

2. Raya kedua;

2.1 Rumah terbuka Ustaz Zakaria Dagang.
2.2 Bertolak ke Taiping (Walimah Aman, anak Ayoh Long Ghani).

3. Raya ketiga;

3.1 Raya di rumah sahabat baik Yah, Fahtin Farahana di Parit.
3.2 Walimah Aman di Taiping.

4. Raya keempat;

4.1 Jaulah Raya PEMAKNA di rumah YB Dr Haji Alias Razak, Ustazah Shamsiah Zakaria dan Ustaz Abu Bakar Chik.
4.2 Majlis Aidil Fitri Pas Cawangan Belukar Sukai.

5. Raya kelima;

5.1 Jaulah Raya SPM 2007 dan STAM 2008 SMAASZA di rumah Ustaz Hassan, Ustazah Wan Raihanah, Ustazah Rohaya dan Ustaz Amad Muzani. Sebelum pulang, menjamu selera di Ikan Celup Tepung (ICT), Pantai Teluk Ketapang.

6. Raya keenam;

6.1 Raya di rumah 'beliau'. hehe..

7. Raya ketujuh;

7.1 Majlis Hari Raya AJK Pas Kawasan Kuala Nerus di rumah Haji Zaini, Bendahari Pas Kawasan KN.

8. Raya kelapan;

8.1 Lupa dah raya kat mana. haha..

9. Raya kesembilan;

9.1 Basit belanja aku, Hakim, Hasrul dan Mu'az di Kedai Air Buah Gelas Besar Pior, Bukit Tok Beng.

10. Raya kesepuluh;

10.1 Bowling SPM 2007 dan STAM 2008 SMAASZA di TER, Kuala Ibai.

11. Raya kesebelas;

11.1 Majlis Hari Raya Pas Dun Seberang Takir di Bukit Tok Beng.
11.2 Raya di rumah Tengku Malik.
11.3 Jamuan Hari Raya Islah Pemuda di Surau al-Hidayah, Alor Kuda.

12. Raya kedua belas;

12.1 Ziarah Maqam Auliya' Islah Pemuda di Maqam Tok Pelam, Tok Syeikh Duyung, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Syeikh Ibrahim dan Tokku Paloh. Usainya kami membaham Colek Kaki di Kedai Makan JKK Kikiki, Merbau Patah. =D

13. Raya ketiga belas;

13.1 Hantar Hasrul yang akan ke Jordan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
13.2 Jumpa asatizah SMAASZA. Kebetulan diadakan Majlis Hari Raya peringkat sekolah ketika itu.

14. Raya keempat belas;

14.1 Majlis Sumbangan untuk Pelajar yang akan ke Luar Negara anjuran Pas Kawasan Kuala Nerus di Pejabat Pas Kawasan KN, Batu Enam.
14.2 Jamuan makan di rumah Pok Harun Panjang, Batu Enam.

15. Raya kelima belas;

15.1 Jalan-jalan bersama Razzi Azhar. Usainya kami makan di Restoran al-Edrus, Gong Badak.

16. Raya keenam belas;

16.1 Raya di rumah Ustazah Najwa. Makan Nasi Maqlubah. Sahabat yang ada sama ialah Mu'az, Hakim, Naqiu dan Hariz. Usainya kami minum di Kedai Makan Cairo, Durian Burung.

17. Raya ketujuh belas;

17.1 Berangkat ke bumi Mesir. =)

Friday, May 6, 2011

Berjalan Tanpa Henti

Ini gambar rumah aku (Bytiey) setelah diupdrade dan diberi sentuhan baru

Bismillah. Dengan nama ALLAH aku mulakan cicipan berupa tulisan yang lahir daripada tarian jari-jemariku di papan kekunci komputer riba ini. Moga ia datang daripada fikiran yang waras dan dipandu wahyu. Tidak mahu tulisanku kurang enak dibaca orang lain apatah lagi menyesatkan mereka. Alangkah, ia bakal jadi bahan bakar api neraka buat diriku! Minta jauh!

Alhamdulillah, blogku yang buruk ini berisi semula. Setelah agak sekian lama aku tak men'camek' dan mencoret sesuatu di sini, kali ini semacam ada suatu semangat baru. Di tambah dengan keghairahan adik²ku, Yah dan Piyah berblog sakan. Perasaan jealous itu datang dengan sendirinya. Aku yang telah lama dan punya banyak pengalaman berblog ini pula terasa seolah orang baru, newbie atau freshie dalam dunia serba canggih ini. Janggal! Itulah sebetulnya!

Mahu tidak mahu, aku mesti menulis! Kata mahu jadi seperti Dr. Abdullah Naseh Ulwan, malah mahu gantikan tempatnya, menulis buat ummah. Sangat jauh sekali! Menulis di blog pun malas, apatah lagi mahu menulis buku! Tapi di Facebook rajin pula aku menulis. Kadang² komen aku agak panjang lebar sehingga pernah Ismael Ibrahim, sahabatku yang kini mengaji di MTT bagi menduduki STAM tahun ini berkata bahawa beliau perlu memberi markah untuk karanganku di satu post di Facebook.

Barangkali sudah sunnah orang yang menulis. Kadang
² rasa rajin, kadang² pula malas. Futur sebetulnya. Dan agak lama juga aku futur dalam berblogging ini seperti entri yang pernah aku utarakan dulu. Istiqamah atau thabat dan futur seolah² sedang berlari-lari dalam acara lari berganti 100 meter di kejohanan Sukan Komanwel. Seperti juga Islam yang Nabi ibaratkan semacam roda. Sekali di atas dan sekali di bawah, seterusnya di atas dan di bawah semula. Maka nasihat Nabi ialah 'faduuru ma'al Islam,' berputarlah bersama² dengan roda Islam. Itulah yang bakal menyelamatkan kita dan insya-ALLAH, kita mampu menggarap syafaatnya kelak!

Boleh dikatakan yang semangatku untuk berblog sudah hilang di bawa angin lalu. Entahlah, aku pun tak tahu di mana silapnya. Entah mengapa rasa malas dan futur itu selalu hadir. Tanpa diundang apatah lagi menghantar surat jemputan, ia tetap juga datang bertandang bagai orang yang tidak punya malu. Barangkali memang sudah lumrah kehidupan. Kerana dalam banyak hal yang lain juga aku mengalami rasa yang sama, malas dan futur!


Ini barulah Bytiey yang sebenar! Lihat video promo Hijrah di sini.

Siapa yang tahu apa ubat kepada dua penyakit itu? Berdoakah? Bersolat Hajatkah? Bertahajjudkah? Hadir ke masjid/suraukah? Banyakkan membaca al-Quran dan bacaan
² lain yang bermanfaatkah? Atau apa? Kalau ada jawapannya, beritahu aku sekarang! Sekarang juga aku mahu amalkannya!

Soalnya bukan pada orang yang mahu membaca,
tapi pada orang yang membuatkan orang lain boleh membaca. Iaitu kalau dalam konteks blog ini maka akulah orangnya! Maka silapnya ialah individu penulis. Blog ibarat rumah. Maka siapa lagi yang bertanggungjawab ke atas rumah itu kalau bukan tuan rumahnya. Takkan pengunjung dan tetamu pula yang perlu berperanan mengawal selia dan mengurus rumah itu! Maka silap di sini ialah silap aku. Maafkan aku semua atas kesilapan aku yang sepatutnya tidak berlaku ini!

Orang lain semua selalu update blog mereka sampai saat ini ke? Tak. Tapi itu dia punya pasallah. Blog dia, ikut suka dialah nak update atau tak. Kita hanya pengunjung dan tetamu sahajakan? Takkan nak masuk campur dan tolong kemaskan rumah serta atur semula kedudukan perabot rumah orangkan? Analoginya mudah! Dan contoh mudah juga sudah ada, Ablem!

Banyak tak lagi yang aku tulis ni? Rasa macam mengarut je. Hehe.. Maklumlah, baru first time boleh tulis
semula kat blog. Agak lama juga blog ini terbengkalai. Kali terakhir menulis sebelum ini ialah tahun lepas. Akhir bulan Oktober. Bermakna sudah 7 bulan aku tidak berblog! Huh! Lama betul! Tak mengapa, biasalah tu. Sibuk la sangat kan? Mengalahkan YB. Ahmad Razif Abdul Rahman pula! Haha.. Tiba² tersebut nama beliau! Maaf ya YB! Nanti dah dapat dato' (Bukan datuk yang dapat cucu tu ya!) atau dapat jadi MB Terengganu, bagilah kereta YB yang berlambak tu kat saya satu ya! Anak sulung YB yang baru umur 20 tahun tu pun boleh dapat 2 bijik kereta, takkan saya 1 bijik pun tak boleh? Haha.. Sekadar gurauan yang serius! Jangan ambil hati ringan ya YB!

Itulah sahaja dahulu sekadar nukilan pertama untuk kali ini. Harapnya akan ada lagi entri lain selepas ini. Kalau tak ada, tak tahulah nak kata apa. Cakap banyak tak guna, tembak orang pun tak kena. Kepada yang terasa hati, terasa limpa atau terasa pedal, sila maafkan aku! Aku hanya bercanda dan sekadar berbual kosong di pagi hari! "Mayang Subuh belaka dop lagi nim?" tanya aku dalam hati.


Contoh usahawan berjaya (Menurut Yah di laman sosial Facebook)! Ekeke..


Nota hujung: Untuk mendapatkan berita terkini dan perkembangan terbaru penulis merangkap pemilik blog, anda cuma perlu ushar beliau punya Facebook. Juga sebenarnya tajuk entri ini ialah Memulakan Langkah yang Pernah Terhenti. Namun setelah difikirkan semula, terasa terlalu panjang dan membosankan, akhirnya ditukar dengan tajuk di atas. Sekian! Harap maklum!

Sunday, October 24, 2010

Selamat Hari 'Tua', Idolaku!


Bismillahir rahmanir rahim.

Aku mulakan cacatan kali ini dengan nama ALLAH, pencipta sekalian alam. Agar catatanku tidak tersasar dan cenderung kepada mensyirikkanNya. Kerana aku tahu bahawa syirik adalah sebesar2 kezaliman.

Semalam (23 Oktober 2010) merupakan hari lahir Ayoh, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ya di kalangan orang kampung dan rakan2nya. Semalam genaplah umurnya 50 tahun. Sudah setengah abad dia berada muka bumi ALLAH ini. Sudah boleh buat sambutan jubli emas! hehe.. Moga umurnya umur yang berkat. Walaupun umurnya 'nampak' tua, namun di mataku beliau tetap muda. Wajahnya dan fizikalnya langsung tidak menunjukkan 'ketuaannya'. Ayoh masih kuat untuk berjalan ke sana ke mari. Mungkin jiwa mudanya menjadikannya tampak muda sentiasa. Aku doakan moga Ayoh dipanjangkan umur dalam keberkatan dan dimurahkan rezeki yang halal. Moga hidup Ayoh bahagia bersama keluarga tersayang, diredai dan dirahmati oleh ALLAH. Moga Ayoh terus gagah untuk berlayar di medan dakwah dan siasah!

Sesiapa saja pasti mempunyai seorang ayah. Hanya seorang ayah, bukan berorang2. Jadi peliharalah ayah kita sebaik2nya. Berbuat baiklah selagi mereka masih hidup. Hargailah keberadaan dan jasa mereka. Jangan sekali2 menderhakai mereka. Jika mereka sudah tiada, berdoalah untuk mereka dengan doa yang diajar oleh al-Quran, "Rabbighfirli waliwalidayya warhamhuma kama rabbayani soghiro". Doakan kesejahteraan mereka. Aku tidak pernah lupa untuk berdoa dengan doa itu setiap kali sesudah solat. Apapun, ketaatan kepada makhluk tidak mutlak, sedang taat kepada ALLAH dan RasulNya adalah mutlak! "La to'ata li makhluqin fi ma'siatil kholiq", tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada pencipta yakni ALLAH. Sila baca surah Luqman untuk secara detailnya.

DIALAH SATU-SATUNYA AYAHKU

Aku juga punya ayah, seperti kamu yang membaca dan kamu yang di luar sana. Ayahku bernama Zakaria bin Dagang. Nama beliau cukup unik kerana bernamakan Nabi ALLAH Zakaria yang sangat mulia hayatnya. Moga2 hidup Ayoh semulia Nabi Zakaria. Namanya juga unik kerana berbinkan Dagang. Dagang bermaksud asing. Aku teringat masa kecilku dulu, seringkali aku diejek dengan Nasi Dagang. Rasa kelakar pula bila sesekali terkenangkannya.

Bercerita tentang Ayoh, Ayoh seorang yang sangat penyayang dan prihatin. Beliau sanggup menghantarku setiap hari ke sekolah sejak aku dibenarkan berulang dari rumah ke sekolah, bermakna tidak perlu duduk di asrama. Aku masih ingat ketika mana aku 'sakit' pada kira2 bulan November tahun lepas. Selepas saja mengetahui yang aku 'sakit' pada pagi itu, tengah harinya Ayoh terus mendapatkan tiket bas ke Seremban. Ayoh menaiki bas seorang diri on the spot semata2 kerana ingin menjemputku di Nilai yang sedang 'sakit'. Hari itu juga iaitu pada malamnya Ayoh membawaku pulang ke Terengganu. Dan itulah kali terakhir aku menjejakkan kaki di bumi Nilai. Ayoh juga seorang yang sangat-sangat pemurah. Hampir setiap hari di pejabat, pasti ada yang yang datang meminta sedekah, walaupun Ayoh ketiadaan duit dan dia memang bukan seorang yang kaya dan punya banyak duit, tapi tetap diberinya pada orang yang meminta itu paling kurang RM50. Ayoh selalu menceritakan kami perihal kemurahan hatinya supaya kami dapat mengikut jejaknya.

MENTARBIAH ANAK-ANAK

Dalam mendidik anak2 Ayoh cukup tegas. Kami adik-beradik sudah biasa dengan penampar, sepak terajang, rotan dan kena halau keluar rumah. Dulu memang aku tidak faham kenapa Ayoh begitu 'bekeng' (garang) sekali. Kadang2 aku pernah rasa macam Ayoh tak sayangkan aku. Dulu masa kena marah dengan Ayoh, mesti aku rasa macam nak bunuh diri (hehe..). Entah kenapa asyik aku saja yang kena pukul, kalau aku bergaduh dengan adik-beradik lain pasti aku yang dimarahi. Agaknya beliau sayang aku lebih kot! Benarlah kata orang, marah tanda sayang bukan benci. Kalaulah Ayoh bencikan aku, pasti telah lama dibuangnya aku ke laut. Memang aku agak nakal sewaktu kecil dulu, suka sangat melawan kata Ayoh. Hari ini barulah aku faham kenapa Ayoh cukup tegas terhadap kami.

Walaupun begitu Ayoh juga seorang yang mesra dan kelakar. Ada saja point lawaknya bila bercakap dengan kami. Antaranya selalu dia bagitahu kami, "Sekolah arab (agama) saja ja, tapi tak boleh harap". Arab dan harap bunyinya lebih kurang saja dalam slang Terengganu. Itu yang menjadikannya kelakar. Satu lagi Ayoh selalu bagitahu bila dia tanya pendapat orang lain, "Hoh, gwane (macam mana)? Berapa pendapatan sebulan?" Kelakarnya Ayoh membuatkan kami tidak kering gusi dan kadang2 pecah perut.

PEJUANG YANG TAK KENAL ERTI PENAH LELAH

Ayoh seorang pejuang yang aku paling kagumi. Kerana apa? Kerana dia paling dekat denganku. Dia yang aku nampak siang malam bekerja untuk jemaah dan parti. Ayoh bergelar murobitun sejak muda lagi. Ayoh bekerja di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu sejak sebelum Pas memerintah Terengganu lagi iaitu pada tahun 1999. Banyak kali juga kami diajak 'berkunjung' ke sana. Ayoh suka mengajak anak2nya ke program parti. Itulah cara dia mentarbiah kami. Program ceramah, majlis2 parti, kuliah2 di surau sudah menjadi kebiasaan kepada kami. Sejak kecil lagi kami 'dipaksa' menghadiri itu semua. Rasanya akulah yang paling kerap mengikutnya ke mana saja, hampir setiap muktamar tahunan pas aku hadiri. Program2 parti dan Pasti di luar Terengganu asyik muka aku saja yang mengikut. Selepas Pas menang di Terengganu, Ayoh bekerja pula di Wisma Darul Iman, sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu. Selepas Pas kalah pada tahun 2004, Ayoh kembali ke Pejabat Pas di Taman Seri Intan.

Hampir seluruh hidup Ayoh dihabiskan untuk perjuangan Islam. Malah duitnya juga banyak habis kerana semua itu. Ayoh juga bercita2 untuk mewakafkan seluruh anak2 dan isterinya untuk perjuangan Islam. Alhamdulillah, cita2nya itu sudahpun jadi realiti. Insya ALLAH, walaupun Ayoh sudah tiada nanti, kami akan tetap bersama perjuangan Islam dan menggantikan Ayoh suatu hari nanti!

PILIHANRAYA DAN KONTROVERSI

Beberapa hari yang lepas, seorang sahabatnya bertanyakannya berkenaan piliharaya umum yang katanya pasti akan dimenangi oleh Pas nanti. Tanyanya pada Ayoh, siapa calon wakil rakyat Seberang Takir (merujuk kepada anak2nya yang ketika itu ada Abang, Ablem dan aku). Ayoh menunjukkan isyarat tangannya menghalaku. Memang aku rasa tak layak. huhu.. Siapalah aku ini kan? Mungkin itu satu harapannya terhadap kami. Namun bagiku, menjadi wakil rakyat atau tidak itu tidak penting, yang pentingnya ialah Islam menang.

Bercakap tentang pilihanraya, masihku ingat bagaimana ketika 2 tahun lepas iaitu tahun 2008, berlaku kekecohan di kalangan penyokong dan pendokong Pas di Seberang Takir. Di mana mereka mahukan Ayoh menjadi calon Pas ketika itu dan tidak bersetuju dengan kehadiran calon dari PKR yang tidak kenal hujung pangkal. Ayoh begitu kuat bekerja ketika itu sampai 'demam ke diri'. Memang kecoh masa tu. Sehingga Tuan Guru Presiden Pas terpaksa turun ke Seberang Takir bagi menjernihkan kekeruhan. Sampai mereka berkabung 3 hari kerana tidak bersetuju dengan calon PKR yang tak tahu apa2 itu. Bagiku sendiri memang beliau tidak layak menjadi calon, tapi apakan daya, perlu wala' saja pada pimpinan.

Ayoh ceritakan padaku, sampai ada seorang sahabat Ayoh yang mahu sponsor Ayoh untuk jadi calon bebas. Alhamdulillah, selepas itu penyokong Pas dapat menerima kenyataan dan bekerja seperti biasa. Ketika hari penamaan calon, aku hantarkan mesej pada Ayoh sehingga mengalirkan air mata jernihnya, "Tuhan ingin menguji kita dengan ujian getir ini. Tuhan ingin lihat siapa yang terus thabat dan siapa yang akan futur. Terus thabatlah kerana perjuangan tidak memerlukan kita tetapi kita memerlukan perjuangan sebagai modal kita di akhirat kelak." Sahabatnya, Ustaz Ridzuan Hasyim yang membacanya juga turut sebak. Aku mengagumi Ayoh kerana sikap BERANI GAGALnya. Walaupun dia tahu yang Seberang Takir merupakan kubu kuat Umno namun dia tidak pernah putus asa untuk mencuba. 2 kali Ayoh bertanding di Dun Seberang Takir iaitu ketika PRU ke-10 (1999) dan PRU ke-11 (2004) namun kedua2 percubaannya gagal. Ayoh pernah 'menang' pada PRU ke-10 di peringkat rakyat namun selepas dicampur dengan undi pos, Ayoh kalah dengan majoriti 500 lebih.

MESEJ ISTIMEWA BUATNYA

Aku postkan di wall Facebook milikku, "Sanah helwah ya abuya (Zakaria Dagang)! Moga kualiti amal seiring kuantiti umur! Ingat, semakin bertambah umur bermakna semakin dekat kita untuk bertemu denganNya! Terima kerana menjadi insan paling istimewa dalam hidupku! Juga atas tarbiah Ayoh kepada Asih selama ke ni! Moga kita dipertemukan dalam jannah yang dijanjikan buat orang beriman! Ameen =)." Dia membalasnya dengan kata2 yang cukup indah! Begini katanya, "Terima kasih anakku. Ameen. Ayah juga bangga menjadi ayah kepada anak2 yang soleh."

Ketika Hari Bapa yang disambut di seluruh dunia yang lepas, aku hantarkan mesej kepadanya yang berbunyi: "Selamat hari ayah buat Ayoh tercinta, Ustaz Zakaria Dagang. Terima kasih atas kasih-sayang dan maaf atas khilaf anakmu! Asih tidak punya ramai ayah, andalah satu2nya yang Asih ada di dunia ini. Asih bangga jadi anak Ayoh, anak pejuang!"

Akhirnya, aku ucapkan jutaan terima kasih atas segalanya kepada idolaku sepanjang zaman, Ayoh. Maafkan segala khilafku selama ini. Aku tahu aku punya banyak dosa terhadap Ayoh. Jika Ayoh membaca tulisanku ini (dan aku yakin dia pasti membacanya!), saksikanlah bahawa aku sangat menyayanginya, jauh lebih aku sayang pada perjuangan Islam, kerana tanpa Ayoh mana mungkin aku kenal apa itu perjuangan Islam!

Sekian, Wassalam.

Ikhlas,
Anakmu.





Friday, October 22, 2010

Selamat Hari Raya 'Idul-Fitri!


Selamat hari raya ku ucapkan buat semua yang mengenali diri ini:

- Keluarga dan sanak-saudara

- Jiran tetangga dan rakan sekampung

- Sahabat sejemaah

- Para guru

- Rakan se-pasti alHijrah

- Rakan se-Darul Taqwa

- Rakan se-Darul Quran

- Rakan se-SMASZAL

- Rakan se-SMAASZA

- Rakan se-UIA

Dan semualah!

Friday, October 1, 2010

Dari Blog Zakaria Dagang 3

Himpitan HIMPIT

Lima cucu Dagang dalam HIMPIT 2008

Hari ini bermula secara rasmi Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) edisi 2009 yang disebut sebagai HIMPIT 10K. Majlis perasmiannya akan berlangsung pada jam 10.30 pagi di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman. Ia akan disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Malam tadi ketika saya bersama keluarga dalam perjalanan ke lokasi HIMPIT, kami bertemu dengan rombongan-rombongan yang terdiri daripada para pemuda menuju arah dan tujuan yang sama. Ada yang berkereta dan tidak kurang pula berkonvoi dengan motosikal.

Kenangan HIMPIT pada tahun lepas di Pantai Cendering, Kuala Terengganu sangat manis buat saya sekeluarga. Kesemua lima orang anak lelaki saya terlibat sebagai peserta dalam program besar itu. Kami berbangga dengan mereka yang sungguh bersemangat untuk menyertainya.

Tetapi sayangnya pada tahun ini 'rekod' itu tidak dapat diulangi apabila dua daripada mereka berhalangan kerana sedang belajar; seorang di luar negara dan seorang lagi di sebuah sekolah berasrama penuh yang tidak berkebetulan dengan masa pulang.

Himpitan HIMPIT ini begitu kuat terhadap anak-anak dan keluarga kami. Anak kelima kami yang sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini terlalu teruja dengan HIMPIT ini. Walaupun bukan masa cuti, dia beria-ia benar untut turut menyertai HIMPIT kali ini, sehingga dua tiga malam sebelum ini dia tidak dapat tidur. Sehingga apabila dia diizinkan untuk pulang bagi bersama adik-beradiknya yang lain menyertai HIMPIT ini, barulah dia kembali ceria. Awal pagi tadi, kira-kira jam 3.00 pagi, dia selamat tiba di Kemaman untuk bersama-sama berHIMPIT.

Oleh kerana sasaran penyertaan HIMPIT pada tahun ini sangat besar, maka kami mengerahkan seluruh ahli keluarga kami supaya turut serta. Semua anak-anak saudara kami yang lelaki yang berumur 15 tahun ke atas dikerah ke program ini. Alhamdulillah, sebahagian besar dari mereka telah memberikan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama.

Begitu juga dengan adik-adik lelaki kami. Empat orang yang masih pemuda, semuanya akan bersama-sama dalam HIMPIT ini. Salah seorang dari mereka yang tinggal di Muar, Johor juga akan turut serta.

Inilah yang mampu kami lakukan dalam usaha untuk mewakafkan seluruh keluarga kepada perjuangan Islam. Merekalah diletakkan harapan sebagai penerus kepada perjuangan ini. Semoga HIMPIT ini mampu menyuntik semangat dan daya juang kepada mereka.

Dari Blog Zakaria Dagang 2

Tahniah Abdul 'Alim dan Nasih!

Abdul 'Alim dan Nasih Ulwan bersama hadiah masing-masing

Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) di Kemaman sudah berlalu dengan jayanya. Program kali ini dilihat lebih meriah dari tahun-tahun yang lalu dengan penyertaan yang ramai dari kalangan para pemuda di negeri ini.

Semangat para peserta juga dilihat berkobar-kobar, terutamanya melalui Ikrar dan Sumpah Pemuda yang diketuai oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Hanafi Abdul Aziz selepas majlis perasmian.

Walaupun ada sebahagian peserta yang 'terpaksa' pulang awal, tetapi kemeriahannya tidak terjejas. Majlis yang dirasmikan pembukaannya pada pagi Jumaat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi itu ditutup secara rasmi oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Pesuruhjaya pada tengah hari Sabtu.

Alhamdulillah, dua orang anak kami yang menyertai HIMPIT kali ini telah berjaya dalam acara yang disertai. Abdul 'Alim telah muncul sebagai johan dalam Pidato Politik dan Muhammad Nasih Ulwan mendapat tempat ketiga dalam Karaoke Nasyid.

Abdul 'Alim yang menyampaikan pidato dengan tajuk "Peranan Pemuda" telah mengalahkan tujuh peserta lain yang mewakili setiap Kawasan dalam negeri ini. Beliau telah dipilih secara bidan terjun (15 minit sebelum majlis berlangsung) apabila wakil Kuala Nerus yang ditetapkan awal berhalangan.

Sementara itu, Muhammad Nasih Ulwan yang mengalunkan lagu "Menanti Di Barzakh" yang dipopularkan oleh Kumpulan Far East mendapat tempat ketiga daripada 18 orang peserta pertandingan itu.

Tahniah anak-anakku atas kejayaan itu. Berbaloilah kami sekeluarga berkampung di Kemaman selama dua malam satu hari untuk turut bersama berHIMPIT.

Tuesday, September 7, 2010

Dari Blog Abdul 'Alim Zakaria 2


..Sanah Helwah Ya Akhuya..

Friday, January 2, 2009

Hari ini hari jumaat yang merupakan penghulu segala hari (sayyidul ayyam). Mengikut kalendar masehi hari ini bertarikh 2 Januari 2009..

Pada tanggal 2 Januari 1991 yang lalu, lahirlah seorang bayi lelaki yang comel. Kelahirannya disambut penuh syukur oleh kedua ibu dan ayahya. Ayahnya menyambutnya dengan laungan azan dan iqamah di telinga kanan dan kirinya, manakala si ibu sempat tersenyum gembira walaupun baru saja selesai 'berperang dengan maut' sebentar tadi..

Selang beberapa hari, tibalah giliran mereka memberi nama kepada si anak. Si ibu mencadangkan agar diletakkan nama Abdullah Nasih Ulwan - seorang ulamak murabbi yang terkenal di seluruh dunia. Mungkin barang kali kerana si ayah amat meminati buku-buku karangan Syeikh Dr. Abdullah Nasih Ulwan terutamanya Tarbiatul Aulad menbuatkan si ibu memberi nama seindah itu kepada anak mereka yang baru lahir itu. Ataupun boleh jadi besarnya harapan si ibu agar anaknya menjadi seperti Dr. Abdullah Nasih Ulwan apabila dewasa kelak..

Apabila nama tersebut diketengahkan, timbul khilaf di kalangan kedua-dua mereka. Hal ini berlaku kerana abangnya yang merupakan anak ketiga pasangan ini telah diberi nama 'Abdullah' di depannya. Setelah berbincang, mereka sepakat meletakkan nama 'Muhammad' di depannya bagi menggantikan 'Abdullah'. Maka diberilah nama Muhammad Nasih Ulwan kepada anak yang kian membesar itu..

Setelah ditarbiah dan diasuh dengan tarbiah Islamiah oleh kedua ibu dan ayahnya, tatkala anak ini berusia 5 tahun, mereka bertekad menghantar anak mereka ke Pasti Al-Hijrah, Kg. Duyung, Seberang Takir. Tamat pendidikan peringkat pra-sekolah, ayahnya kemudian menghantarnya ke Madrasah Darul Taqwa, Batu Enam. Setelah 5 tahun di situ, beliau terus menyambung pengajian peringkat menengah di Ma'had Darul Quran, Masjid Rusila. Kemudian beliau berpindah ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (SMASZAL) selama 3 tahun sebelum ke Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Burok..

Setelah terdapat beberapa masalah dalaman di situ, beliau tidak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah agama yang tertua di negeri Terengganu itu. Hal ini kerana 'masalah' tersebut telah membuatkannya terganggu dan tidak dapat fokus sepenuhnya. Walaupun pada tahun tersebut beliau sepatutnya akan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), akan tetapi beliau terpaksa akur dengan takdir Ilahi. Bukan itu saja, yang paling menyedihkan beliau terpaksa 'mengorbankan' impiannya untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir..

Kini, berkat doa semua pihak dan pertolongan daripada Allah Taala beliau sudah beransur pulih dari 'masalah' yang menghantui dirinya selama hampir 4 bulan lamanya. Cuma ada lagi sikit "hawe-hawe" kata orang Terengganu. Sekarang beliau meneruskan pengembaraan ilmu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Cenfos-UIAM), Nilai, Negeri Sembilan..

Hari ini genaplah usianya 18 tahun. Sebagai seorang abang yang sentiasa prihatin, aku senantiasa mendoakan kesejahteraan buat dirinya dan semoga beliau tabah menghadapi segala ranjau dan ujian dalam kehidupan yang sementara ini. Abang Lim doakan semoga Aceh panjang umur, dimurahkan rezeki, sukses sokmo, jadi anak soleh kebanggan mak ayah dan terus thabat dalam platform dakwah, insya Allah. Yang paling utama, harapan mak, ayah dan abang-abang ingin melihat Aceh menjadi NASIH ULWAN yang sebenar suatu masa nanti..

Monday, September 6, 2010

Dari Blog Zakaria Dagang


02 MAC 2009

Nasib Nasih

Anakku, Muhammad Nasih Ulwan yang pulang bercuti sejak Jumaat lalu kelihatan sangat ceria dan aktif sekali memanfaatkan waktu bernilainya itu. Banyak sekali kerja dan kegiatan yang dilakukannya sepanjang beberapa hari ini.

Hari ketiga (Ahad) keberadaannya di rumah, beliau ditakdirkan mengalami nasib yang sedikit malang. Petang semalam beliau terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kampung Merbau Patah, tetapi tidaklah serius sangat. Bagaimanapun ia mengejutkan banyak pihak juga, terutama ahli keluarga dan rakan-rakan beliau.

Telefon bimbit saya berdering bertalu-talu, panggilan dari anggota keluarga dan rakan-rakan saya untuk mengetahui perkembangannya. Kebetulan pula, dia terpaksa menunggu lama (hampir tiga jam) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi menyelesaikan rawatan kakinya yang tercedera, termasuk proses x-ray.

Sesungguhnya musibah yang berlaku itu sudah tentu mempunyai hikmah yang tersendiri, bahkan lebih penting lagi ia merupakan kifarah dari Allah SWT ataupun mungkin juga Allah ingin mengangkat darjatnya.

Semoga Nasih sabar menghadapi ujian yang sedikit ini dan kita doakan agar cepat sembuh untuk meneruskan keaktifannya, insya' Allah.



Dari Blog Abdul 'Alim Zakaria


MONDAY, MAY 26, 2008

..Warkah Buat Adikku..

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam, aku berkesempatan menghantar seorang sahabatku pulang ke Malaysia. Dia ni boleh dikatakan rapat juga denganku, maklum lah aku mengenalinya sejak di bangku sekolah rendah lagi, kemudian kami sama-sama menyambung pengajian di peringkat menengah di sebuah sekolah agama milik swasta di Marang. (biarpun aku hanya mampu 'bertahan' selama 2 tahun je di situ) Walaupun dia ni sebaya dengan abangku, tapi aku cukup-cukup rapat dengannya lebih-lebih lagi beliau juga aktif dalam persatuan lepasan pelajar sekolah rendahku dulu. Beliau pulang semalam selepas tamat imtihan tahun 2 peringkat master yang diikutinya di Open Universiti, Kaherah..

Berita kepulangannya ke Malaysia ni pun aku dapat tahu melalui adikku yang tinggal bersamanya di Darul Iman Students Hostel (DISH), Kompleks Hayyu Asyir. Kalau bukan kerana adikku yang menelefonku subuh semalam pasti berita ni tak sampai ke telingaku. Kebetulan pula salah seorang adikku di Malaysia diserang penyakit 'misteri' (lebih kurang penyakit buatan orang jugak la..), lalu berita tentang adikku ini diketahui oleh beliau, mungkin adikku yang tinggal bersamanya memaklumkan hal tersebut, tambahan pula sahabatku ini amat mengenali adik-beradikku terutamanya yang lelaki. Sebelum beliau pulang semalam, beliau memaklumkan kepada adikku supaya mengirimkan 'sesuatu' kepada keluargaku di Malaysia untuk diberikan kepada adikku yang sedang sakit. Bumi Mesir ni maklum sajalah, penuh dengan para masyayikh yang hebat-hebat serta pakar dalam segala bidang perubatan lebih-lebih lagi perubatan Islam..

Sebaik saja aku dimaklumkan oleh adikku, aku pun segera menghubungi seorang kawanku. Beliau amat rapat dengan salah seorang syeikh di Ma'hadku yang juga pakar dalam perubatan Islam. Aku mengajaknya pergi berjumpa syeikh tersebut di kediamannya yang tak jauh dari tempat tinggalku. Pada sebelah petang aku pun bergegas mencari sesuatu yang boleh dijadikan penawar untuk adikku yang sakit, aku membeli sekilo 1/2 zabib (kismis). Harapanku agar syeikh dapat membacakan ayat-ayat syifa' pada zabib tersebut supaya dapat menghilangkan 'sesuatu' dalam tubuh adikku yang mengganggu fikiran dan emosinya sejak berminggu yang lalu. Setibanya kami di sana, syeikh menyarankanku agar memberikan adikku madu lebah bukit yang dijualnya. Kata syeikh lagi, madu tersebut amat mujarab untuk semua penyakit baik luaran mahupun dalaman. Aku pun bersetuju tanpa memikirkan kosnya kerana kesihatan adikku lebih penting dari duit yang boleh didapati di mana-mana. Syeikh juga menghulurkan minyak habbatus sauda' untuk kegunaan luaran sambil memberikan petua-petua dan ayat-ayat yang perlu diamalkan serta bagaimana cara untuk menggunakan ubat dan madu tersebut..

Usai perbincangan dengan syeikh, kami pun meminta diri dan beredar dari situ. Walaupun terasa agak letih, namun aku gagahkan jua diriku demi adikku, seperti dalam SMS yang dikirim oleh adikku di sini, "SEMANGAT UTK ADEK!!!". Lagi pun aku tak pernah lagi berkorban sebegini untuk adikku. Aku pun bersendirian menunggu bas untuk ke kompleks sambil kawanku pulang ke rumahnya. Sesampainya di sana aku ke bilik adikku dan kami terus packing ubat dan madu tersebut serta diselitkan sekeping nota. Kemudian kami menghantar kiriman tadi kepada sahabatku yang baik hati itu. Aku mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudiannya meminta dan menerima kirimanku ini. Hanya Allah s.w.t saja yang dapat membalas jasa baik mu..

Berbalik kepada kisah adikku tadi, sebenarnya beliau telah lama merasai sesuatu yang tidak kena dalam dirinya, buat itu tak kena, buat ni pun salah, semuanya jadi serba tak kena, tak dapat memberikan tumpuan pada pelajaran dan sebagainya. Dirinya mengalami tekanan yang amat dahsyat. Selepas orang tuaku membawanya pergi berjumpa seorang ustaz yang pakar dalam perubatan Islam di kampungku, barulah diketahui terdapat 'sesuatu' di dalam tubuhnya. Tambah ustaz lagi, mungkin adikku itu terkena buatan orang yang hasad dengannya. Adikku ini baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, dan mendapat keputusan yang amat memuaskan. Beliau merupakan pelajar yang sangat aktif berpersatuan di sekolahnya. Tambahan pula beliau tinggal di asrama, jadi banyaklah program-program yang diikutinya di sekolah. Beliau juga sering mengadakan usrah di kalangan kawan-kawannya walaupun kadang-kadang mendapat tentangan daripada pihak pentadbiran sekolah. Beliau juga sering melakukan pembaharuan di asrama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar yang 'berhaluan kiri'. Tambahan pula beliau amat meminati politik dan sentiasa mengikuti arus politik tanah air, barang siapa yang cuba berhujah dengannya, pasti akan ditentangnya habis-habisan tanpa mengira darjat dan pangkat. Mungkin di kalangan mereka ini lah (tapi ni bukan suu' zhon ye?, jangan salah faham..) yang dengki kepada beliau sehingga menyebabkan beliau tersiksa jiwa menanggung sakit..

Sebagai abang yang pernah menegur dan memahami kenakalan seorang adik, aku amatlah berharap agar adikku diberi kesihatan oleh Allah s.w.t dan diberi ketabahan dalam menempuh ujian dan dugaan yang amat berat ini. Mungkin dugaan ini adalah tarbiah daripada Allah kerana tanda kasih dan sayangNya kepadamu. Ingatlah, bahawasanya dengan cara inilah Allah dapat menunjukkan kasih sayangNya pada hambaNya untuk menguji samada kita sabar, redha ataupun sebaliknya. Dirimu adalah orang yang terpilih di kalangan berjuta hamba-hambaNya yang dibiarkan begitu saja dalam kelalaian dengan nikmat kesihatan tubuh badan yang Allah kurniakan. Harapanku agar apa yang ku kirimkan buatmu dapat memberi suntikan semangat kepadamu untuk terus berjuang dan menyambung pengajianmu ke peringkat yang lebih tinggi di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 10 Jun ini. Teruskan berjuang, abangmu sentiasa di belakangmu..

Tuesday, November 3, 2009

Puasa dan Raya di Kampung


Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang berpuasa dan beraya di kampung ialah:

  1. Berbuka puasa di rumah
  2. Diberi peluang menyampaikan kuliah Dhuha di Surau al-Mawaddah
  3. Solat Tarawih berimamkan Ablem
  4. Berpeluang memberi tazkirah selepas solat Tarawih
  5. Berijtima' Ramadan di Marang
  6. Berhari raya di rumah sanak-saudara, rakan2 dan guru2
  7. Kereta rosak ketika dalam perjalanan ke rumah Kak Nana
  8. Menghadiri Majlis Hari Raya Pas Terengganu bersama perantau
Album 'Idul Fitri 1430



























Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.