Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!
Showing posts with label Kampus. Show all posts
Showing posts with label Kampus. Show all posts

Wednesday, June 20, 2012

Mahasiswa: Peranan dalam Islam, Semasa dan Selepas Pengajian (Siri 2)

Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, Al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria


Sambungan Siri 1;

Keempat, berakhlak dengan akhlak Islamiah. Bercakap soal akhlak rasanya semua sudah jelas. Malah Nabi sendiri pun diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Seharusnya mereka yang ingin mengikut jalan perjuangan Nabi turut berakhlak dengan akhlak Nabi. Mana mungkin orang yang punya akhlak buruk boleh dijadikan qudwah dan ikutan. Ada yang bertanya apa beza akhlak dan moral? Rakan saya di UIA pernah kongsikan, moral ialah apa saja yang dilihat baik oleh semua manusia tidak kira agama tetapi tidak membaca Al-Quran. Ia tidak termasuk dalam moral. Sedang ketika Aisyah ditanya bagaimanakah akhlak Nabi?

"كان خلقه القرآن."
Jawab Saidatina, “Sesungguhnya akhlak Baginda ialah Al-Quran.”

Kita sepatutnya sedia maklum bahawa di dalam Al-Quran terkandung lebih banyak ayat berkaitan akhlak berbanding hukum-hakam. Di dalamnya diajar supaya sabar, redha, amanah, menepati janji, berbuat baik terhadap ibu bapa, syukur dan bermacam lagi sikap baik yang perlu ada di dalam diri sekalian muslim. Ini menunjukkan betapa indahnya Islam dan perilaku Nabi s.a.w. yang menterjemahkan Al-Quran melalui akhlaknya.

Kelima, turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama. Banyak kesamaran dan salah faham yang melanda ummah. Mereka masih lagi jahil soal ibadat harian termasuk solat, apatah lagi perkara serumit Hudud dan Qisos. Kewajipan dakwah semua sudah ma’ruf bukan?

"من قال لا إله إلا الله فهو الداع."
Sebagaimana kata Nabi s.a.w.: “Siapa yang mengucapkan ‘tiada Tuhan melainkan Allah’ (syahadah) maka dia adalah pendakwah.”

Keenam, tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama. Ini yang  terpenting sebetulnya. Entah, saya tidak pernah meletakkan peranan-peranan ini mengikut prioriti. Nombor hanyalah nombor dan tetap nombor. Tidak bermaksud yang pertama lebih afdhal dari yang keenam. Masing-masing punya keutamaan dan perlu diseiringkan dan berjalan serentak. Namun saya tidak menolak untuk mahasiswa memfokuskan kepada satu dua peranan saja dulu. Dakwah itukan bersifat tadarruj (beransur-ansur). Pilihlah yang mana ingin didahulukan, saya tidak pernah dan punya hak untuk menghalang. Cumanya janganlah pula dikesampingkan peranan lain.

"ما لا يدرك كله لا يترك جله."
Kaedah Islam mengajar: “Apa yang tidak mampu kita kuasai semuanya, jangan pula ditinggalkan kesemuanya.”

Apa yang ingin saya sampaikan dalam peranan keenam ialah sifat Islam itu syumul. Meliputi seluruh aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti makan minum hinggalah sebesar-besar perkara contohnya memerintah negara. Maka tidak dapat tidak mahasiswa wajib berilmu (punya pengetahuan mendalam), faqih (punya kefahaman yang betul) dan mengaplikasikan ilmu yang difahami tersebut dalam kehidupan. Menyeluruhnya Islam sehingga semua perkara ada Islam di dalamnya. Bermula politik, sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan sehinggalah hiburan dan sukan, malah semuanya. Apa yang tidak ada dalam Islam?


Namun ironinya, apa yang berlaku hari ini mahasiswa terlalu leka dan lesu. Sangat mengecewa dan menyedihkan. Leka dengan kenikmatan duniawi dan seisinya. Fenomena hedonisme juga melanda mahasiswa. Benar, musuh tidak pernah mengenal sesiapa. Malah ada yang leka dengan pelajaran sampai meninggalkan kewajipan terhadap ummah dan agama. Tidak pernah ambil tahu isu semasa, apa yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia lebih-lebih lagi. Perkara ini sudah saya jelaskan sebelum ini.­­

Mereka tenggelam dengan 5M. Teringat mau’izoh Ustaz Ridhuan, mantan YDP BKAN Pahang dalam Program Obor Mahasiswa Harapan (OASIS) PMRAM di Nuzul Isma’iliyah bulan lalu, “Mahasiswa baru mesti hindari 5M. Makan, minum, main Facebook, main PES dan movie.” Mahasiswa hari ini sering dimomokkan dengan hiburan, permainan dan gaya hidup melampau. Semuanya dihidang dan dijamu selera bagai bukan suatu kebobrokan dan tanpa rasa bersalah. Selalu juga kita mendengar istilah 3K yang popular di kalangan penuntut IPTA di Tanah Air. Kuliah, katil dan kafe. Mahasiswa sekarang biasanya hanya berlegar dan bermain di sekitar tiga perkara itu saja.

Mahasiswa cerdik sepatutnya punya idealisme sendiri. Idealisme itu pula mestilah dipandu wahyu dan sabda. Tapi tidaklah terlalu idealistik sampai meninggalkan realistik. Idea itu perlu dibumikan dan berpijak di dunia nyata. Lebih dukacita lagi ada mahasiswa yang bermaksiat. Meninggalkan Solat Fardhu hatta Solat Jumaat, berikhtilat siber tanpa batasan syariat, menonton video lucah dan menjalankan jenayah akademik berupa plagiarisme dalam peperiksaan mahupun assignment. Contoh yang saya tampilkan ini sama sekali tidak kena dengan sifat asli ‘tolibul ilmi’ yang harus bersih daripada noda yang sengaja diada-adakan lantas bakal menambahkan kuantiti titik-titik hitam di lubuk nubari.

"العلم نور. ونور الله لا يهدى للعاصي."
Bertepatan dengan suatu baris hikmah yang dituturkan ulama’: “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan menembusi hati orang yang bermaksiat.”

Lesu pula masalah yang agak teruk menimpa mahasiswa. Kita tidak mahu membiakkan mahasiswa yang lesu, lembik, kurang daya tahan dan ‘culas’. Mereka ibarat bangkai bernyawa yang menjadi liabiliti buat ummah. Jangan sampai ummah terkilan dengan sikap bodoh sombong kita. Buat program tak hadir (liat). Ke kelas pun malas. Apatah lagi mahu bermesyuarat dan berusrah, jauh sekali. Mereka sekadar tahu menyumbat perut dengan berbagai makanan dan minuman yang enak dan lazat, gemar mendengar lagu di bilik, menghadap laptop melayan Facebook, bermain game bola sepak PES 2012 dan menonton movie terbaru berjemaah. Lebih malang lagi hanya seronok menghayati nikmat tidur berbantalkan mimpi bidadari mungkin.

Ayuh mahasiswa, kita bangun dan bangkit! Saya juga mahasiswa seperti anda yang tidak terlepas daripada melakukan kesukaan dan kelalaian yang saya sebutkan sebentar tadi. Solusi kepada masalah ter’lagho’ dengan benda alah yang sedap itu adalah  tidak bersendirian. Antaranya melibatkan diri dengan aktiviti berpersatuan, duduk bersama orang ramai atau lebih baik lagi mendampingi ulama’ dan orang soleh. Bila bersendirian kita mudah melakukan ketidaktaatan kerana tidak ada lagi rasa malu jika perkara itu dilakukan di hadapan khalayak.

Cukuplah nukilan saya sekadarnya. Rasanya sudah agak panjang saya mencatat. Bukanlah untuk sahabat mahasiswa lain sangat, tetapi diri sendiri terutama. Sebenarnya sahabat saya, Abdul Hakim Othman yang kini mengaji di Jordan minta saya tuliskan artikel di bawah tajuk di atas. Sudah lama rasanya permintaan itu. Memakan tempoh berbulan juga. Adapun saya telah memulakannya sebelum Ramadan lepas di Pejabat BPPNT, tempat saya bekerja sementara waktu itu.

Sebetulnya baru sekarang saya mampu mencurah idea. Sebabnya saya sudah bergelar mahasiswa ‘semula’. Sudah mendapat jiwanya kembali. Makalah ini mungkin membantu beliau dan rakan-rakan mahasiswa. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Andai ada kekurangan, tapislah ia agar tetap menjadi suatu yang bermanfaat. Mohon maaf atas kekasaran kata dan keterlanjuran bahasa. Mahu saja naqalkan kata-kata Hakim, sang perintis artikel ini yang cukup ta’thir (mengesankan), “Seseorang itu akan diuji dengan ucapannya.” Allah, saya jadi begitu takut. Bimbang diuji nanti, sudahlah iman senipis kertas A4 70 gsm. Mujurlah Nabi pernah membicarakan;

"بلغوا عني ولو آية."
“Sampaikanlah daripadaku (ajaran) walaupun satu ayat.”

Rasanya sudah lebih daripada satu ayat, malah berayat-ayat. Akhirnya, pesan Syeikh Hasan Hudaibi, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, “Binalah Islam di dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di negaramu.” Nasihat saya pula, “Jangan tanya apa Islam boleh beri kepada kita. Tapi tanyalah apa kita boleh beri kepada Islam.” Kepada Allah jualah kita mohon kebaikan. Moga kita tergolong dalam mahasiswa agen perobah. Yakinlah, kita pasti mampu. Ummah sedang menunggu kita, teman!

Selesai: Jam 4.30 pagi (waktu Mesir), 1 Zulhijjah 1432 bersamaan 28 Oktober 2011 di Rumah 403, Asrama Penuntut Terengganu Mesir, Syeksen 10, Bandar Nasr, Kaherah, Bumi Kinanah.

Tuesday, June 5, 2012

Mahasiswa: Peranan dalam Islam, Semasa dan Selepas Pengajian (Siri 1)

Oleh: Ar-Raji ila Maghfirati Rabbih, al-Faqir Muhammad Nasih Ulwan Zakaria



Mahasiswa merupakan nadi masyarakat. Mereka dilihat sebagai pemimpin masa depan yang bakal menggantikan pemimpin yang ada pada hari ini. Merekalah yang diyakini akan membarisi tampuk pemerintahan negara. Kuasa mahasiswa sangat besar dalam masyarakat kerana mereka adalah golongan intelek dan terpelajar. Mereka punya pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat.

Mahasiswa punya peranannya yang tersendiri dan tidak boleh diremehkan apatah lagi dipandang enteng. Antaranya ialah peranannya terhadap akademik, masyarakat, negara dan agama. Peranan mereka terhadap akademik ialah dengan mereka belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat sijil Ijazah Sarjana Muda Kepujian sebagai contoh. Peranan terhadap masyarakat pula ialah dengan menjadi penghubung antara masyarakat dengan kerajaan. Selain itu, mereka perlu menyuarakan isi hati dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap dasar kerajaan. Dulu kita biasa mendengar ungkapan ‘jurubicara rakyat’ yang ditujukan khusus buat golongan mahasiswa.

Peranan terhadap negara pula ialah dengan mereka menjadi kilang melahirkan kepimpinan negara untuk masa akan datang dan mereka perlu bekerja dan berusaha untuk memaju dan membangunkan negara setelah tamat pengajian mengikut kesesuaian bidang pengajian masing-masing.

Peranan paling besar yang perlu dimainkan oleh mahasiswa ialah peranan mereka terhadap agama, yakni Islam. Antara peranan mereka ialah;
  1. Amanah dengan ilmu tanpa menyembunyikan kebenaran serta harus menyampai dan menyebarluaskan lagi ilmu.
  2. Berpegang teguh dengan akidah Islamiah.
  3. Melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam.
  4. Berakhlak dengan akhlak Islamiah.
  5. Turun ke lapangan masyarakat sebagai sang pencerah kepada kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan mereka terhadap beberapa isu yang melibatkan agama.
  6. Tahu, faham dan beramal dengan seluruh ajaran agama.
Kesemua peranan ini mestilah dimainkan dengan sebaik dan secantiknya. Mahasiswa tidak boleh sekadar menangguk di air keruh dan hanya batuk di tangga. Peranan mereka terhadap agama sangat besar maknanya. Apalah ertinya keilmuan dan keintelektuan yang dimiliki mahasiswa andai mereka hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Tidak mahu kisah dan cakna dengan masalah yang melanda ummah.

Sungguh, ummah sangat dahagakan pencerahan dan islah yang mesti dilaksanakan dengan jaya oleh mahasiswa. Siapakah lagi yang ummah mahu harapkan untuk menjaga dan memelihara agama yang suci ini melainkan mahasiswa? Lebih-lebih lagi mahasiswa Pengajian Islam yang mana kita ketahui mereka adalah bakal ulama’ pewaris kenabian. Di bahu mereka tergalas dan terpundak amanah yang berat demi melihat ummah bangun menjadi sebenar-sebenar khairu ummah.

Penegasan Nabi sudah cukup menggerunkan jiwa mahasiswa. Dengan jelas Baginda tidak mengiktiraf mereka sebagai muslim lagi. Mahukah kita tergolong dalam mereka yang tidak diiktiraf keIslamannya? Mohon jauh!

"من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم"
“Sesiapa yang tidak mengambil tahu akan perihal muslim lain maka dia bukan daripada kalangan mereka.”

Saya cuba jelaskan lagi satu persatu peranan-peranan yang saya sebutkan tadi. Agar kita lebih nampak bagaimana sesuatu peranan itu boleh dimainkan. Namun di sana banyak lagi peranan-peranan mahasiswa terhadap agama, akan tetapi tidaklah mahu saya senaraikan semuanya.


Pertama, amanah dengan ilmu tanpa menyembunyikan kebenaran serta harus menyampai dan menyebarluaskan lagi ilmu. Amanah dengan maksud tidak khianat. Ramai mana mahasiswa hari ini yang menjadi pengkhianat dan petualang agama? Sering kali kita mendengar ungkapan ‘musuh Allah berijazah Syariah’ bukan? Sesuatu kebenaran itu harus dizahirkan dan tidak boleh sama sekali disorok dan terperosok. Malah penyembunyian kebenaran dilarang keras dan jelas oleh Allah dalam Al-Quran.

وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Firman Allah taala yang maksudnya: “Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dan kebatilan serta menyembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahui.” (2:42)

Pengetahuan yang ada di dalam benak setiap mahasiswa memang tidak boleh disangkal lagi. Kemampuan mereka untuk membezakan yang mana benar dan yang mana salah adalah terlalu tinggi. Andai mereka masih memilih jalan selesa demi mendapat habuan dunia dan peluang kerja, maka mereka memilih untuk diam. Mudah amat untuk melihat ummah rosak. Cukup dengan hanya kita menutup mulut. Tidak perlu kepada teguran dan nasihat. Seperti seorang ayah dalam mendidik anak-anak. Anak-anak akan punah andai tiada kemarahan dan ketegasan daripada seorang bapa.

Namun, ada yang lebih dahsyat lagi menjadi penyebar ajaran sesat. Sekalipun tidak mahu bergiat dengan organisasi Islam, jangan pula menghancurkan Islam! Duduk diam-diam di rumah, minum susu sudahlah! Yang membisu itu satu hal, bercakap yang salah juga masalah.

Ingatlah amaran keras yang ditujukan Nabi khusus buat pemegang amanah ilmu Allah iaitu mahasiswa;

"الساكت عن الحق شيطان أخرس"
“Orang yang mendiamkan kebenaran adalah syaitan bisu.”

Kedua, berpegang teguh dengan akidah Islamiah. Mestilah seorang mahasiswa itu beriktikad dengan akidah yang jelas dan sahih. Soal ketauhidan adalah perkara pokok atau usul. Di mana tidak ada barang-kali muslim yang tidak tahu bahawa seawal-awal agama adalah mengenal Allah. Bagaimana seorang mahasiswa mahu mengenalkan masyarakat kepada Allah dan membawa mereka ke jalan-Nya sedang mereka sendiri tidak mengenali Sang Pencipta itu?

Ketiga, melaksanakan kerja Islam dan beriltizam dengan jemaah Islam. Kerja Islam ada tiga aspek penting; Amal Fardi, Amal Ijtimaie dan Amal Jamaie. Amal Fardi sebagai contoh solat sunat. Amal Ijtimaie seperti gotong-royong. Manakala Amal Jamaie skopnya luas. Apa saja yang dipersetujui melalui syura di dalam jemaah, maka dikira Amal Jamaie. Tidak semestinya ia dilakukan secara beramai-ramai. Andai hanya perlu wakilkan seorang dua untuk bertemu dengan sesuatu pihak, setelah dibincang dan diputuskan jemaah, itulah juga yang dinamakan Amal Jamaie.

Soal beriltizam dan bersama-sama jemaah memang tidak boleh disanggah sama sekali. Apa lagi alasan mahasiswa untuk tidak terlibat dengan jemaah Islam? Ingatlah pesanan Nabi kepada Huzaifah Al-Yaman ketika bersoaljawab dengannya. Akhir sekali Nabi menyebut;

"تلزم جماعة المسلمين وإمامهم."
“Hendaklah kalian bersama dengan jemaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Saranan Nabi sudah cukup jelas bukan? Akal saya tidak boleh menerima bagaimana orang yang faham agama boleh memilih untuk berjuang dengan sekular. Seolah berlaku percanggahan yang besar di situ. Belajar ilmu Allah, tapi boleh lawan Allah balik. Janganlah mereka bersikap selesa di dunia dan akhirnya celaka di akhirat. Amaran Nabi bahawa pengkhianat agama atau ulama’ su’ (jahat) akan menjadi kayu api – bahan bakar api neraka sudah cukup menyedarkan kita semua sepatutnya.

... Bersambung.

Thursday, May 3, 2012

Catatan Kembara Ilmu

 Masjid al-Azhar; Tempat 'minum' bagi yang dahagakan ilmu.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat semuanya dalam jagaan Allah.

Setelah hampir enam bulan aku tidak menulis apa-apa entri di blog ini, akhirnya datang juga semangat untuk menulis semula di sini. Ingatkan blog aku langsung tidak akan diupdate lagi. Alhamdulillah, dengan wajah baru seiringan dengan semangat yang baru juga, insya-Allah. Fuhh, letih juga mengupgrade dan merenovate beliau. Juga blog aku sudah punya trademark baru sekarang; Melakar Cinta di Bumi Kinanah.

Untuk entri pertama ini aku hanya akan copy paste status-status aku di Facebook. Sudilah kiranya kalian membacanya sebagai permulaan. Insya-Allah, selepas ini aku akan menulis entri berkenaan pengalaman dan kisah kehidupan baruku di bumi Mesir. Terima kasih atas kesudian membaca dan menjenguk blog aku ini.

SEBELUM BERANGKAT
Insya-Allah, malam ini saya akan terbang jauh ke bumi Mesir.

Terima kasih buat semua penyumbang budiman sama ada melalui wang ringgit, dorongan semangat dan doa. Mohon doa daripada kalian!

Mohon maaf atas segalanya!

Saya bakal merindui semua yang ada di sini. Dalam keterujaaan saya ke sana, masih ada bibit-bibit kesedihan itu. Selamat tinggal Malaysia! =(
 SELAMAT SAMPAI
Alhamdulillah, sudah selamat sampai di Kaherah, Perlembahan Nil. Kami tiba sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Terima kasih buat keluarga dan rakan yang menghantar kami. Juga buat abang senior yang menyambut dengan penuh kemesraan. Kami sangat hargai keikhlasan antum. Hanya Allah mampu membalasnya.

Insya-Allah, saya akan menulis beberapa catatan kembara ilmu saya sedikit masa lagi. Moga beri manfaat untuk 'ibrah kita bersama! (:
MENGENAI MESIR & AL-AZHAR
Dalam al-Quran Allah sebut Mesir sebanyak 5 kali. Juga digelar Ardhul Kinanah.

Al-Azhar adalah antara yang ditakuti Barat mengenai Islam, selain al-Quran, Makkah dan Solat Jumaat. Ditakuti kerana telah melahirkankan ramai ilmuan yang menyebarkan fahaman Islam di seluruh dunia.

Mana mungkin saya yang punya tangan berlumuran dosa sesuai dengan tempat semulia al-Azhar. Tapi itulah percaturan Allah. TakdirNya adalah yang terbaik dan Dia tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang beriman. 
CATATAN KEMBARA ILMU 1
Saya sebak saat memeluk tubuh suci milik mok, adik-beradik, tok dan pok/mok sedara di Mator Terengganu. Mahu saja saya menangis, namun ego mengatasi segalanya. Harap ianya bukan pelukan terakhir kami di dunia.

Saat melihat para guru dan sahabat yang menghantar saya di sana, saya bertambah sebak. Sebak kerana bimbang andai saya tak dapat memenuhi harapan mereka. Mereka pasti mengharapkan kepulangan saya sebagai seorang ulama' pendidik masyarakat. Namun, mampukah saya? =(
CATATAN KEMBARA ILMU 2
Saya terharu apabila ayah saya, Ustaz Zakaria Dagang sanggup menghantar saya sampai ke KLIA. Ayoh memang sudah sangat banyak berkorban untuk saya.

Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa Ayoh. Beliau insan paling penting dan istimewa dalam hidup saya. Saya sangat bertuah punya ayah sepertinya. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 3
Tadi saya temankan sepupu saya, Abdul Mu'iz ke Hayyu Sabe'. Fatah Fathuddin juga ikut serta. Kami ke Maktabah Darus Salam untuk membeli kutaib. Saya habiskan 120 genih untuk 23 kutaib dan al-Quran.

Nanti saya kongsikan tajuk kutaib itu di blog. Majoriti kutaib yang dibeli ialah karangan idola saya dan ummah, Dr Abdullah Naseh Ulwan. Seronok dapat naik bas (sardin), tremco (van sapu) dan teksi (bermeter) tadi. Rasa macam tak mau pulang ke Malaysia dah je! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 4
Sikap obses saya terhadap buku/kitab masih belum dapat dibendung. Sejak di Malaysia lagi saya sudah bersikap dengan yang demikian.

Mesir adalah bumi ilmu. Mana mungkin saya mahu melepaskan peluang mendapatkan kitab dengan harga yang murah itu.

Maafkan saya ibu! Ini untuk manfaat masa depan saya dan ummah juga. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 5
Salam rindu buat semua warga UIA. Alhamdulillah, ana telahpun sampai ke Bumi Kinanah, Mesir. Terima kasih kepada semua sahabat yang pernah menolong ana sepanjang pembelajaran ana di UIA Nilai.

Mohon maaf atas semua kesilapan ana selama berada di UIA Nilai. Doakan kejayaan, keselamatan dan kesihatan ana di sini. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 6
Sedang berprogram dalam Hari Pengetahuan dan Silaturrahim anjuran Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru KPT (USMB '11).

Seronok sangat program ni! Alhamdulillah.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 7
Dr Che Anas Che Kadir telahpun meninggalkan kami dan pulang ke Malaysia. Selamat jalan dan selamat pulang saya ucapkan. Moga pulangmu membawa seribu rahmat buat rakyat Malaysia. =)

Hari ketiga saya di sini, saya ada ziarah ke rumah beliau. Waktu tu, sahabat saya Ustaz Al-Amin Hj Salleh yang bawa saya. Sempat juga belajar ilmu fotografi dengan Abang Muaz Zakaria. Kami juga sembang ilmu dan bincang isu semasa. Seronok je..
CATATAN KEMBARA ILMU 8
Dalam doa saya bermonolog sendirian:
Maaf kerana memeningkanmu. Mungkin aku memang sudah ditakdirkan untuk menjadi beban dan ujian kepada mereka. Namun aku redha ya Allah. =(  
CATATAN KEMBARA ILMU 9
Salahkah andai kami mahu belajar melalui internet? Malah internet boleh dinisbahkan dengan berjuta-juta kitab. Fahamkanlah wahai yang berakal!

Jangan cepat su' zon bila lihat kami main laptop. Tak boleh ke kalau kami study guna laptop? Contoh ada soalan imtihan qobul secara soft copy. Tak kan nak gi fotostat kot?

Oh, sangat prihatin dan berkebajikan mereka itu! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 10
Apakah yang akan berlaku andai Maher Zain akan menyanyi bersama Bytiey? Sama-sama kita nantikan sebentar saja lagi. haha..
CATATAN KEMBARA ILMU 11
Bestnya bila ada orang rindukan kita lalu membawa kita dalam mimpi mereka. Ya, saya punya pengalaman itu. Walaupun beliau tak hadir menghantar saya di mator, namun beliau hadir dalam mimpi beliau. Allahu robbi! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 12
Entah. Rasa lain macam je. Adakah ini petanda buruk atau baik? Pastinya takdir Allah adalah yang terbaik untuk hambaNya. Dia tidak akan sesekali mengecewakan hambaNya yang beriman.
CATATAN KEMBARA ILMU 13
Bila Allah nak bagi kita hadiah yang mahal, pasti kita tak akan diuji dengan harga yang murah.
CATATAN KEMBARA ILMU 14
Alhamdulillah atas dua perkara:

1. Terubat kerinduan apabila mendengar suara mereka. Sungguh, kalian adalah jiwa saya. Saya boleh mati tanpa kalian.

2. Selesai sudah Hari Pengenalan dan Silaturrahim (HPS) anjuran USMB KPT '11. Terima kasih kepada semua fasilitator, urusetia dan peserta program. Antum banyak merubah paradigma ana sebagai seorang Naseh Ulwan. Syukron awi awi!
CATATAN KEMBARA ILMU 15
Sabar itu tandanya sayang. Bersabarlah wahai diri! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 16
Mahu berbuka puasa di bilik tetap saya, 403. Sekarang di bilik angkat, 101. hehe.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 17
Perlu membayar perjuangan dengan harga yang mahal. Sungguh, syurga itu mahal amat! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 18
Sayu saya membaca catatan naqib saya, Ustaz Tengku Khairul Idham buat sahabatnya yang juga sahabat senior saya, Ustaz Syed Maarof Al-idrus.

Kepulangan beliau pasti dinantikan seluruh umat Malaysia. Kontranya, kami di sini pula bersedih dengan kehilangan beliau. Bagai nasi tanpa kuah. Begitulah kami tanpa kelibatnya. Pesanan terakhirnya sungguh mengesankan kami. =(
Link: Pulang Seorang Sahabat.
USRAH PERTAMA
Muzakarah Berkelompok KPT di Surau Kompleks Darul Iman tadi;

Fasi: Ustaz Syamsul (Waalid Aisya).
Ahli: Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Farid, Ustaz Naim, Dr Tarmizi, Ustaz Mujahid, Ustaz Saiful, Ustaz Asroy, Ustaz Shahril dan Naseh.
Perbincangan: Hadis pertama dalam kitab Arba'in Nawawiyyah berkenaan niat, ikhlas dan isu semasa.

Seronok sangat-sangat! =D 
BERSIH: 'THAURAH' VERSI MALAYSIA
Seorang Arab Mesir tanyakan hal baju kuning saya. "Apa maksud BERSIH?"

Saya terfikirkan apa jawapan yang sesuai. "Ini 'thaurah (revolusi)' negara kami." Jawab saya dengan yakinnya.

Dia tanya lagi, "Najib tu jahat ke?"

Susahnya soalan. Saya menjawab, "Lebih kurang Hosni Mubarak la." =D
SUBHANALLAH!
Subhanallah atas dua perkara;

1. Sangat seronok mendengar tazkirah sempena Ribat Pmram di Dataran Hayyu 'Asyir pagi tadi. Lontaran vokal yang jelas oleh Ustaz Asri Mat Daud menghilangkan rasa mengantuk saya. Isi yang cuba diutarakan juga sangat mantap. Ustaz berbicara soal Rijal. Antara kriteria yang perlu dimiliki oleh Rijal ialah mestilah mengambil makanan yang toyyibat.

2. Menerima kunjungan hormat daripada dua orang sahabat yang sangat dirindui, Ustaz أحمد فتحي الكلنتاني dan Dr Mohd Zameer Shazwan Zulkiffli. Terima kasih atas kunjungan! Ada masa datanglah lagi ke sini ya? =D
ALHAMDULILLAH!
Alhamdulillah untuk 2 perkara;

1. Dapat bertemu kekasih. Sangat seronok pertemuan kami tadi. Moga saya tidak akan pernah jemu untuk bertemu dengan kekasih. Moga kekasih cintakan saya sebagaimana saya cintakannya. Terima kasih buat sahabat yang sudi menenami; Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Murshid dan Ustaz Asroy.

2. Semalam saya ke 'Low Yat' versi Mesir. Hari ini juga ke sana. Sepanjang perjalanan hari ini, saya banyak belajar mengenai hakikat diri daripada sepupu terbaik saya, Ustaz Muiz (Ama). Syukron ya sodiiq! =D
 OASIS
Alhamdulillah, sangat seronok berOASIS!

Sahabat, ketemu lagi dalam program PMRAM akan datang, insya-Allah! =D
IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, esok saya dan rakan-rakan akan menghadapi Imtihan Qobul (Peperiksaan Kelayakan) di Markaz Lughah Kuliyah Al-Ulum Al-Islamiyah Universiti Al-Azhar.

Mohon doa daripada kalian moga Allah berikan ketenangan dan kemudahan kepada kami untuk urusan esoknya. =)

ربنا نجحنا 
SELESAI IMTIHAN QOBUL
Alhamdulillah, selesai berperiksa. Mohon doakan juga buat sahabat saya yang mengambil jurusan selain Syariah (Usuluddin dan Lughah) yang bakal menduduki Imtihan Qobul pada esok hari.

والله مستعان 
NATIJAH IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, jika tiada aral melintang, natijah Imtihan Qobul kami akan keluar hari ini. Mohon doa kalian! Moga najah belaka hendaknya!

Hari ini mahu 'kunjungi' kuliyah di Jami'ah Azhar. Terujakah saya? =D
JAULAH KE ZAQAZIQ
Menjalin ukhuwah dan berkunjung hormat ke Muhafazah Zaqaziq. Sungguh, Zaqaziq menjanjikan kedamaian dan kebahagian. Sangat menarik! =)
BERMULA KUTUB SITTAH
Hari ini mereka sedang berIjtima' Tarbawi. Mungkin juga menyambut 60 tahun Pas Perak. Boleh jadi juga perlawanan akhir Piala Malaysia.

Saya di sini sedang berpesta thaqafah. Alhamdulillah, berpeluang mendampingi masyayikh Al-Azhar yang sangat mulia dalam program Majlis Bacaan Hadis Kutub Sittah di Stadium Nadi Riyadh, Hayyu Sadis. Tadi syeikh bacakan kitab Sahih Bukhari untuk kami. Kami akan berkampung selama tiga hari di sana.

Oh, hari ini jubah saya membalut t-shirt Ijtima' Tarbawi 2010 yang diadakan di Rusila. Walaupun rasa sangat sedih tak dapat sertainya tahun ini (hingga timbul kedengkian), harap sahabat sefikrah bisa bawa semangat saya di sana. Insya-Allah, esok mahu pakai badge Ijtima' Tarbawi 2011 yang dibeli saat ceramah Penerangan oleh Pimpinan Pas Kedah di Dataran Hayyu Asyir, anjuran S.U.A.R.A.

Famili saya pula khabarnya ke Perak menyambut dua perkara. Sambutan 60 Tahun Pas Perak dan baby baru Ayoh Yard di Kuala Kangsar. Kali ini tidak lagi kembar seperti sebelumnya. Apapun, pujian harus diekspresikan buat Pemilik Cinta atas segala nikmat pemberian-Nya! =)
BERAKHIR KUTUB SITTAH
Alhamdulillah, sedang berKutub Sittah. Allah, seronoknya setiap saat bersama kekasih-Mu! =) Hari ini merupakan hari terakhir program. Oh, belum puas rasanya! =(

Kepada sahabat Mesir yang tak berkesempatan menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah kali ke-3 atau rakan di Malaysia atau di seluruh pelusuk dunia, insya-Allah anda bakal berpeluang menontonya secara live;

1. Di http://albaeth.com/ (Laman rasmi Syeikh Ibrahim Al-Kittani, Al-'Allamah Al-Azhar Asy-Syarif).

2. Pada jam 6.30 petang waktu Mesir. Pukul 12.30 tengah malam waktu Malaysia.

Jangan lepaskan peluang mendampingi ulama' ini! Moga kita bisa rasai dan hayati anwaar dan anfus Kekasih Agung, Saidina Muhammad S.A.W. Subhanalloh!
RINDU FATAH
Oh, patutlah hari ini rasa sunyi semacam je. Rupanya bilal terbaik dan paling sedap yang pernah dilahirkan KPT tiada di Kompleks. Entah ke mana beliau menghilang. Ke Syoubra khabarnya. Rindunya pada roomate saya itu! =D
6 OKTOBER
Tanggal 6 Oktober merupakan tarikh penting buat rakyat Mesir. Pada tarikh inilah mereka mendapat kemenangan dalam perang melawan Israel.

Persoalan yang mungkin timbul, adakah detik itu akan berulang? Boleh jadi ya dan boleh jadi tidak.

Saya teringatkan ARMA. Tanah dibangunkan ARMA itu merupakan pemberian kerajaan Mesir buat pelajar Malaysia. Sebagai hadiah atas bantuan pelajar Malaysia menewaskan Israel.

Andai peristiwa peperangan Mesir-Israel berulang, bagaimana nasib kami? Adakah akan ada lagi evakuasi atau Ops Piramid? Kami mungkin punya dua pilihan waktu itu. Mahu syahid di sini atau pulang mengislah masyarakat.

Jika ditanya mana pilihan saya, saya memilih pilihan kedua. Bukan kerana saya takut mati atau tidak cintakan syahid. Namun saya memikirkan nasib orang yang menyumbang bantuan untuk kelangsungan pelajaran saya di sini. =)
   
PESAN USTAZ ENGKU HASAN
Pesan Ustaz Engku Hasan hafizohulloh, "Jangan anggap semua orang Arab itu jahat. Bimbang Nabi juga termasuk dalam anggapan kita itu. Bersangka baiklah pada mereka. Kita sendiri nak ambil ilmu daripada orang Arab. Cumanya untuk berhati-hati itu tidak mengapa."

Alhamdulillah, setakat ini saya belum bertemu dengan Arab yang betul-betul jahat. Hanya jumpa yang baik-baik saja. Benarlah kata Nabi dalam satu Hadith Qudsiy: "Aku bersama sangkaan hambaku terhadapku." Pesan saya, bersangka baiklah dengan Allah! =)
SANG KEKASIH
Mahu jumpa kekasih. Mahukah kekasih melihat wajah sang pendosa seperti saya ini? Allah.. Sangat mahu mencari ketenangan di sana. Moga Allah permudahkan!
والله مستعان
BELIAU ITU
Boleh saya ikut beliau ke Al-Azhar hari ini? Setakat ini saya belum lagi diajak membonceng motor baru beliau. Sedihkan? huhu..

Beliau tak ajak pun saya ke Masjid Al-Azhar hari ini. Sedih gila! =(
Ok. Setakat itu sajalah catatan yang sempat aku buat sepanjang awal kehadiranku ke Bumi Kinanah ini. Insya-Allah jumpa lagi untuk entri akan datang!

Kenangan menyambut 'Idul-Adha di perantauan.

Sunday, October 24, 2010

Selamat Hari 'Tua', Idolaku!


Bismillahir rahmanir rahim.

Aku mulakan cacatan kali ini dengan nama ALLAH, pencipta sekalian alam. Agar catatanku tidak tersasar dan cenderung kepada mensyirikkanNya. Kerana aku tahu bahawa syirik adalah sebesar2 kezaliman.

Semalam (23 Oktober 2010) merupakan hari lahir Ayoh, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ya di kalangan orang kampung dan rakan2nya. Semalam genaplah umurnya 50 tahun. Sudah setengah abad dia berada muka bumi ALLAH ini. Sudah boleh buat sambutan jubli emas! hehe.. Moga umurnya umur yang berkat. Walaupun umurnya 'nampak' tua, namun di mataku beliau tetap muda. Wajahnya dan fizikalnya langsung tidak menunjukkan 'ketuaannya'. Ayoh masih kuat untuk berjalan ke sana ke mari. Mungkin jiwa mudanya menjadikannya tampak muda sentiasa. Aku doakan moga Ayoh dipanjangkan umur dalam keberkatan dan dimurahkan rezeki yang halal. Moga hidup Ayoh bahagia bersama keluarga tersayang, diredai dan dirahmati oleh ALLAH. Moga Ayoh terus gagah untuk berlayar di medan dakwah dan siasah!

Sesiapa saja pasti mempunyai seorang ayah. Hanya seorang ayah, bukan berorang2. Jadi peliharalah ayah kita sebaik2nya. Berbuat baiklah selagi mereka masih hidup. Hargailah keberadaan dan jasa mereka. Jangan sekali2 menderhakai mereka. Jika mereka sudah tiada, berdoalah untuk mereka dengan doa yang diajar oleh al-Quran, "Rabbighfirli waliwalidayya warhamhuma kama rabbayani soghiro". Doakan kesejahteraan mereka. Aku tidak pernah lupa untuk berdoa dengan doa itu setiap kali sesudah solat. Apapun, ketaatan kepada makhluk tidak mutlak, sedang taat kepada ALLAH dan RasulNya adalah mutlak! "La to'ata li makhluqin fi ma'siatil kholiq", tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada pencipta yakni ALLAH. Sila baca surah Luqman untuk secara detailnya.

DIALAH SATU-SATUNYA AYAHKU

Aku juga punya ayah, seperti kamu yang membaca dan kamu yang di luar sana. Ayahku bernama Zakaria bin Dagang. Nama beliau cukup unik kerana bernamakan Nabi ALLAH Zakaria yang sangat mulia hayatnya. Moga2 hidup Ayoh semulia Nabi Zakaria. Namanya juga unik kerana berbinkan Dagang. Dagang bermaksud asing. Aku teringat masa kecilku dulu, seringkali aku diejek dengan Nasi Dagang. Rasa kelakar pula bila sesekali terkenangkannya.

Bercerita tentang Ayoh, Ayoh seorang yang sangat penyayang dan prihatin. Beliau sanggup menghantarku setiap hari ke sekolah sejak aku dibenarkan berulang dari rumah ke sekolah, bermakna tidak perlu duduk di asrama. Aku masih ingat ketika mana aku 'sakit' pada kira2 bulan November tahun lepas. Selepas saja mengetahui yang aku 'sakit' pada pagi itu, tengah harinya Ayoh terus mendapatkan tiket bas ke Seremban. Ayoh menaiki bas seorang diri on the spot semata2 kerana ingin menjemputku di Nilai yang sedang 'sakit'. Hari itu juga iaitu pada malamnya Ayoh membawaku pulang ke Terengganu. Dan itulah kali terakhir aku menjejakkan kaki di bumi Nilai. Ayoh juga seorang yang sangat-sangat pemurah. Hampir setiap hari di pejabat, pasti ada yang yang datang meminta sedekah, walaupun Ayoh ketiadaan duit dan dia memang bukan seorang yang kaya dan punya banyak duit, tapi tetap diberinya pada orang yang meminta itu paling kurang RM50. Ayoh selalu menceritakan kami perihal kemurahan hatinya supaya kami dapat mengikut jejaknya.

MENTARBIAH ANAK-ANAK

Dalam mendidik anak2 Ayoh cukup tegas. Kami adik-beradik sudah biasa dengan penampar, sepak terajang, rotan dan kena halau keluar rumah. Dulu memang aku tidak faham kenapa Ayoh begitu 'bekeng' (garang) sekali. Kadang2 aku pernah rasa macam Ayoh tak sayangkan aku. Dulu masa kena marah dengan Ayoh, mesti aku rasa macam nak bunuh diri (hehe..). Entah kenapa asyik aku saja yang kena pukul, kalau aku bergaduh dengan adik-beradik lain pasti aku yang dimarahi. Agaknya beliau sayang aku lebih kot! Benarlah kata orang, marah tanda sayang bukan benci. Kalaulah Ayoh bencikan aku, pasti telah lama dibuangnya aku ke laut. Memang aku agak nakal sewaktu kecil dulu, suka sangat melawan kata Ayoh. Hari ini barulah aku faham kenapa Ayoh cukup tegas terhadap kami.

Walaupun begitu Ayoh juga seorang yang mesra dan kelakar. Ada saja point lawaknya bila bercakap dengan kami. Antaranya selalu dia bagitahu kami, "Sekolah arab (agama) saja ja, tapi tak boleh harap". Arab dan harap bunyinya lebih kurang saja dalam slang Terengganu. Itu yang menjadikannya kelakar. Satu lagi Ayoh selalu bagitahu bila dia tanya pendapat orang lain, "Hoh, gwane (macam mana)? Berapa pendapatan sebulan?" Kelakarnya Ayoh membuatkan kami tidak kering gusi dan kadang2 pecah perut.

PEJUANG YANG TAK KENAL ERTI PENAH LELAH

Ayoh seorang pejuang yang aku paling kagumi. Kerana apa? Kerana dia paling dekat denganku. Dia yang aku nampak siang malam bekerja untuk jemaah dan parti. Ayoh bergelar murobitun sejak muda lagi. Ayoh bekerja di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu sejak sebelum Pas memerintah Terengganu lagi iaitu pada tahun 1999. Banyak kali juga kami diajak 'berkunjung' ke sana. Ayoh suka mengajak anak2nya ke program parti. Itulah cara dia mentarbiah kami. Program ceramah, majlis2 parti, kuliah2 di surau sudah menjadi kebiasaan kepada kami. Sejak kecil lagi kami 'dipaksa' menghadiri itu semua. Rasanya akulah yang paling kerap mengikutnya ke mana saja, hampir setiap muktamar tahunan pas aku hadiri. Program2 parti dan Pasti di luar Terengganu asyik muka aku saja yang mengikut. Selepas Pas menang di Terengganu, Ayoh bekerja pula di Wisma Darul Iman, sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu. Selepas Pas kalah pada tahun 2004, Ayoh kembali ke Pejabat Pas di Taman Seri Intan.

Hampir seluruh hidup Ayoh dihabiskan untuk perjuangan Islam. Malah duitnya juga banyak habis kerana semua itu. Ayoh juga bercita2 untuk mewakafkan seluruh anak2 dan isterinya untuk perjuangan Islam. Alhamdulillah, cita2nya itu sudahpun jadi realiti. Insya ALLAH, walaupun Ayoh sudah tiada nanti, kami akan tetap bersama perjuangan Islam dan menggantikan Ayoh suatu hari nanti!

PILIHANRAYA DAN KONTROVERSI

Beberapa hari yang lepas, seorang sahabatnya bertanyakannya berkenaan piliharaya umum yang katanya pasti akan dimenangi oleh Pas nanti. Tanyanya pada Ayoh, siapa calon wakil rakyat Seberang Takir (merujuk kepada anak2nya yang ketika itu ada Abang, Ablem dan aku). Ayoh menunjukkan isyarat tangannya menghalaku. Memang aku rasa tak layak. huhu.. Siapalah aku ini kan? Mungkin itu satu harapannya terhadap kami. Namun bagiku, menjadi wakil rakyat atau tidak itu tidak penting, yang pentingnya ialah Islam menang.

Bercakap tentang pilihanraya, masihku ingat bagaimana ketika 2 tahun lepas iaitu tahun 2008, berlaku kekecohan di kalangan penyokong dan pendokong Pas di Seberang Takir. Di mana mereka mahukan Ayoh menjadi calon Pas ketika itu dan tidak bersetuju dengan kehadiran calon dari PKR yang tidak kenal hujung pangkal. Ayoh begitu kuat bekerja ketika itu sampai 'demam ke diri'. Memang kecoh masa tu. Sehingga Tuan Guru Presiden Pas terpaksa turun ke Seberang Takir bagi menjernihkan kekeruhan. Sampai mereka berkabung 3 hari kerana tidak bersetuju dengan calon PKR yang tak tahu apa2 itu. Bagiku sendiri memang beliau tidak layak menjadi calon, tapi apakan daya, perlu wala' saja pada pimpinan.

Ayoh ceritakan padaku, sampai ada seorang sahabat Ayoh yang mahu sponsor Ayoh untuk jadi calon bebas. Alhamdulillah, selepas itu penyokong Pas dapat menerima kenyataan dan bekerja seperti biasa. Ketika hari penamaan calon, aku hantarkan mesej pada Ayoh sehingga mengalirkan air mata jernihnya, "Tuhan ingin menguji kita dengan ujian getir ini. Tuhan ingin lihat siapa yang terus thabat dan siapa yang akan futur. Terus thabatlah kerana perjuangan tidak memerlukan kita tetapi kita memerlukan perjuangan sebagai modal kita di akhirat kelak." Sahabatnya, Ustaz Ridzuan Hasyim yang membacanya juga turut sebak. Aku mengagumi Ayoh kerana sikap BERANI GAGALnya. Walaupun dia tahu yang Seberang Takir merupakan kubu kuat Umno namun dia tidak pernah putus asa untuk mencuba. 2 kali Ayoh bertanding di Dun Seberang Takir iaitu ketika PRU ke-10 (1999) dan PRU ke-11 (2004) namun kedua2 percubaannya gagal. Ayoh pernah 'menang' pada PRU ke-10 di peringkat rakyat namun selepas dicampur dengan undi pos, Ayoh kalah dengan majoriti 500 lebih.

MESEJ ISTIMEWA BUATNYA

Aku postkan di wall Facebook milikku, "Sanah helwah ya abuya (Zakaria Dagang)! Moga kualiti amal seiring kuantiti umur! Ingat, semakin bertambah umur bermakna semakin dekat kita untuk bertemu denganNya! Terima kerana menjadi insan paling istimewa dalam hidupku! Juga atas tarbiah Ayoh kepada Asih selama ke ni! Moga kita dipertemukan dalam jannah yang dijanjikan buat orang beriman! Ameen =)." Dia membalasnya dengan kata2 yang cukup indah! Begini katanya, "Terima kasih anakku. Ameen. Ayah juga bangga menjadi ayah kepada anak2 yang soleh."

Ketika Hari Bapa yang disambut di seluruh dunia yang lepas, aku hantarkan mesej kepadanya yang berbunyi: "Selamat hari ayah buat Ayoh tercinta, Ustaz Zakaria Dagang. Terima kasih atas kasih-sayang dan maaf atas khilaf anakmu! Asih tidak punya ramai ayah, andalah satu2nya yang Asih ada di dunia ini. Asih bangga jadi anak Ayoh, anak pejuang!"

Akhirnya, aku ucapkan jutaan terima kasih atas segalanya kepada idolaku sepanjang zaman, Ayoh. Maafkan segala khilafku selama ini. Aku tahu aku punya banyak dosa terhadap Ayoh. Jika Ayoh membaca tulisanku ini (dan aku yakin dia pasti membacanya!), saksikanlah bahawa aku sangat menyayanginya, jauh lebih aku sayang pada perjuangan Islam, kerana tanpa Ayoh mana mungkin aku kenal apa itu perjuangan Islam!

Sekian, Wassalam.

Ikhlas,
Anakmu.





Friday, October 22, 2010

Selamat Hari Raya 'Idul-Fitri!


Selamat hari raya ku ucapkan buat semua yang mengenali diri ini:

- Keluarga dan sanak-saudara

- Jiran tetangga dan rakan sekampung

- Sahabat sejemaah

- Para guru

- Rakan se-pasti alHijrah

- Rakan se-Darul Taqwa

- Rakan se-Darul Quran

- Rakan se-SMASZAL

- Rakan se-SMAASZA

- Rakan se-UIA

Dan semualah!

Monday, September 6, 2010

Dari Blog Hamidi Zamri

Coretan Buat Sahabatku...

JIWA TERASING

"Aku tahu aku memang keras kepala, susah ditegur", teringat satu post dr nya di Facebook..

22 Nov yg lalu, beliau menemaniku ke Low Yatt. Kami turut ditemani oleh Adham dan Fatah. Setibanya kami di sana, jam telah menunjukkan 4.00pm.. Kami bergegas untuk mencari benda yang diinginkan.

Setelah membeli benda yg diingini, kami bergegas untuk menunaikan solat Asar. Adham dan Fatah telah jauh ke hadapan. Saya dan beliau memutuskan untuk solat asar di Low Yatt sahaja. Perut mula berkeroncong.. X kan nak tunggu sampai Nilai baru nak makan, jauh 2.. huhu

Aku mencadangkan untuk makan di KL Sentral sahaja.. "Di, makan KFC je la, lame dah boikot, bila lg nk makan?".. beliau mengajakku.. tergelak kecil dihatiku.. KFC pun boleh la..

Sambil makan, banyak persoalan yg diajukan kepadaku..
-"Di, ana mmg susah nk hafal 1 benda ni, ambil masa lama nk hafal",
-"Ana sejak sekolah, sampai sekarang, rasa mmg x boleh duduk sekali ngn member2.. selalu je kena pulau.. xde org nk amik berat psl ana..",
-"Tensyen ana, ana mmg x boleh g English ni, BTQ mudah je, ana fhm, tp x leh nk jwb sebab dlm English",
-"Di, ada member ana tny, knape jwtn ana dlm GATE dilucutkan?, yg laen pn mcm gerak sgt je,x tau ana nk jwb"..
-"Di, ayah ana dah didik ana cm ni..kecik2 lagi, ayah ana ajak g kempen, ceramah, usrah..ana dh terbiasa"..

Persoalan-persoalan yg diajukan aku jwb dengan penuh hikmah.. Aku x mahu jawapanku menyinggung perasaannya..

Teringat suatu ketika, kami bersaing untuk menambah follower kepada blog masing-masing. Ketika itu, masing-masing mempunyai jumlah follower yg sama, iaitu 40 org. Kami berpakat utk meletakkan ruangan follower d tmpt ats blog, supaya mudah di follow oleh sesiapa.. Ketika saat post ini ditulis, follower blog aku telah mencapai 98..sedangkan blog nya mempunyai 68 follower.. Jawapan yg mudah diberikannya.. "Nta famous di, boleh la..." aku hny tersenyum..

Isnin lalu, 23hb 11, Adham menelefonku pagi tersebut.. "Di, tlong tgk shbt kita, mak dy nk dtg cni amik dy, dy tgh x sihat 2, x dok kt bilik pn"..

Malam tersebut, aku menemaninya hingga ke ktm nilai, kerana beliau akan ke seremban, utk berjumpa dgn ibubapanya yg menantinya di sana.. "Jangan lupa balik UIA ye".. pesanku kpd nya.. Adham ada menyebut sesuatu perkara yg benar-benar membuatku terkejut.. "Dy nak berhenti uia di, x larat blaja dh"..

Khamis, 26 Nov - "Mintak tlong shbt2 solat hajat utk mendoakan shbt kita yg sdg sakit di kampung, kerana terkena perbuatan org"..msj yg pnjg, tp kuringkaskan..

"Ya Allah, berilah kekuatan kepada sahabatku ini Ya Allah.. Kuatkanlah semangat nya utk menjadi pejuang agamaMu Ya Allah, teguhkan hatinya utk terus berada di jalanMu Ya Allah"..

Sahabatmu,
Hamidi...

Saturday, August 8, 2009

Jangan Tinggal Daku (Tribute to Luqman)


Rasanya telah lama ingin ku tulis sesuatu untuk seorang teman bernama Mohd Luqman Mat Rani. Malam ini, tanganku terasa gatal pula untuk memicit butang pada papan kekunci micro computer milikku yang tertampal padanya stiker huruf2 Bahasa Arab.

Luqman al-Hakim

Luqman, nama seorang wali soleh bermisi besar, sehingga dirinya diangkat semulia para nabi. Luqman adalah teladan ummah. Digelar al-Hakim kerana hikmah atau kebijaksaan yang ada padanya. Sehingga nama beliau tersenarai sebagai salah satu nama surah dalam al-Quran. Cerita tentang pesanan terhadap anaknya terakam indah dalam lembaran 'surat cinta' dari langit itu.



Teringat pula pada sebuah kisah yang acap kali diceritakan Ayah. Bagaimana suatu ketika Luqman melalui beberapa kampung. Bersamanya anak dan seekor keldai. Tatkala dinaikinya keldai dan anaknya berjalan kaki, dikatakan penduduk kampung sebagai bodoh kerana membiarkan anaknya berjalan, sedangkan beliau enak di atas pundak keldai. Atas alasan yang kecillah perlu diutamakan. Lalu turun Luqman dari keldai dan digantikan dengan anaknya. Penduduk kampung tetap mengatakan bodoh. Orang tua yang sudah tidak larat dan orang muda yang kuat pula digunakan sebagai peluru laras bagi membedil Luqman.

Begitulah pula ketika keduanya menaiki keldai yang seekor itu dan membawa keldai tanpa menaikinya. Juga dikatakan bodoh kerana kasihan pada keldai, seolah2 menzaliminya pula dan keldai yang ada tidak dinaiki. Begitulah gambaran sikap manusia. Cerita ini memberi makna yang cukup besar buat kami anak2 Ayah. Bahawa kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Asalkan kita buat baik pada semua dan sentiasa berhusnu zon.

Masih ku ingat, ketika Ayah mula bekerja di sektor kerajaan dan ber'gaji besar' (walaupun hanya cukup untuk membayar rumah dan kereta) pada awal 2000 selepas kejayaan Pas menawan Terengganu setelah lebih 50 tahun menunggu. Ketika itulah Ayah mampu membeli rumah dan kereta. Rumah yang sekadar boleh menjadi tempat teduh dan kereta yang sekadar boleh dibawa program dan ke mana2. Ramai cakap2 mengatakan Ayah sudah mula bermewah termasuk dari kalangan ahli Jemaah sendiri. Teringat pula hikam 'arabiy yang selalu disebut Abreh, "Ridhon naas ghaayatun la tudrok! - keredaan manusia adalah matlamat yang tidak akan tercapai". Benarlah...

Awal Perkenalan

Berbalik kepada cerita asal, mula2 mengenali Luqman ialah ketika sesi pendaftaran ke UIA Nilai. Aku dapat mengecam mukanya ketika diperkenalkan oleh Ayah. Kata Ayah, dia orang Terengganu. Aku tak layan sangat apa yang Ayah bagitahu ketika itu. Maklumlah, masih lagi 'mamai'. 'Menatang' dalam badan aku ni tak habis2 'mengacau'. Sehingga menyebabkan aku langsung pulang sebaik sesi pendaftaran itu, tanpa mengikuti Taaruf Programme. Sungguh, mengenali Luqman adalah satu kenangan 'emas' yang pasti tak akan ku lupakan sampai bila2.

Segalanya bagai dirancang, kami ditempatkan di bilik yang sama, B2-1-2. Katil Luqman pun setentang dengan katilku. Kami juga sekelas. Hampir 3 semester kami bersama. Ketika di semester pertama aku sekelas dengannya dalam subjek Religions in Malaysia. Di semester kedua pula subjek Bahasa Arab level 3/mustawa thalith. Semester pendek kami sekelas dalam semua subjek Maharaat.
Pada semester kali ini pula semua subjek kami sekelas kecuali English level 5. Namun untuk semester ini tidak lama. Luqman nekad menyambung pelajarannya ke Institut Perguruan di Jitra, Kedah.

Lebih mengesankan lagi, kami satu usrah. Di situlah ukhuwah kami dihangatkan! Ukhuwah kami tertaut pada tiang2 dakwah dan berputik mekar menjadi jambangan indah harum mewangi setanggi syurga. Di situ juga tadhiyah kami diuji. Kami ditakdirkan untuk berjuang bersama. Menegakkan 'daulah' berupa bi'ah solehah di kampus kami.

Kehilangan Dirasai

Walaupun perkenalan kami hanyalah singkat, kira2 baru setahun, namun ukhuwwah kami bagai adik-beradik. Di antara kami bagai tiada hijab/gap langsung. Melihatkan Luqman yang peramah dan mesra dengan semua orang, pasti merasakan bagai sudah bertahun2 mengenalinya. Seingat aku sudah dua kali Luqman ke rumahku, cuma aku saja yang belum sampai ke terataknya. Sebelum ini pernah berusaha, namun tak kesampaian. Tapi aku pernah menghantar Mak dan Ayah ke sana sebagai wakil sewaktu kenduri di rumahnya yang mana aku ketika itu berada di perantauan.

Luqman punya sikap yang baik dan cukup dikagumi. Solatnya sentiasa di masjid, puasa sunat Isnin dan Khamis sentiasa dikerjakannya, malah dia juga seorang yang cukup tenang. Pernah seorang sahabatku bertanyakanku, "Antara ramai2 sahabat enta kat UIA ni, sape yang enta paling thiqoh (percaya)?". "Luqman!", pintasku, ringkas.

Kehilangannya cukup dirasai. Kenapa tidak, dialah yang selalu menemanku ke mana2 termasuk ke masjid dan ke kelas. Malah hampir setiap kali kepulanganku ke Terengganu pasti Luqman di sebelahku. Kini, tiada lagi Luqman sebagai teman seat di sebelahku!

Sayu bila mengenangkan wajah tenang milik Luqman. Setakat ini (selepas Luqman ke IPG), sudah dua kali kami berhubung di telefon, tidak termasuk melalui maya. Sebetulnya ukhuwah itu tidak dinilai pada jarak. Walaupun jarak memisahkan, tapi hati kami dekat.

Pesanan

"Pesanan terakhir sebelum ana pergi malam ni, teruskan perjuangan. Selalulah solat berjemaah, mungkin itu sumber kekuatan kita. Jagalah hubungan kita dengan ALLAH", pesan Luqman malam itu.

Malam itu juga membongkar segalanya. Patutlah aku melihat Luqman sedikit pelik kebelakangan ini. Beliau semakin pendiam dan mukanya seperti orang yang menyimpan 'rahsia kerajaan'. Aku dapat mengagak daripada air mukanya, bahawa dia menyembunyikan sesuatu daripadaku. "Sebab tulah ana tak naik (pindah) bilik atas walaupun dah berkali2 enta ajak. Ana dah tau yang ana akan pindah", beritahu Luqman, jelas.

"Ana dah buat keputusan dan inilah keputusan yang ana ambil", kata2 Luqman itu menyentuh perasaanku ketika itu. Luluh jadinya hatiku. 'Man, kita baru je kenal, kenapa enta dah nak tinggalkan ana', monologku menahan perasaan. Malam itu menjadi saksi bahawa air mata yang tumpah ini membuktikan ukhuwwah yang kami bina adalah atas dasar akidah dan perjuangan!

Terima Mesej

Dadaku bagaikan ditekan2 saat mengenangkan kepergian Luqman. Aku seakan masih tak percaya, terlalu cepat Luqman meninggalkanku. Petang keesokannya aku menerima mesej dari Luqman, "Sayu dan sedihnya hati ni nak tinggalkan sahabat2. Semoga air mata ini menjadi saksi persahabatan kita di hadapan Allah kelak.. Kata2 ini lahir dari hati yang telah diikat dengan ikatan persahabatan kerana Allah.. Wahai sahabat, jika aku tahu setiap pertemuan itu ada perpisahan nescaya tidak aku mulainya dengan pertemuan".

Setelah lama menatap dan membaca berkali2 mesej itu, malam itu barulah aku balas mesejnya, "Mekasih man sebab jadi kawan ana selama ni. Entalah kawan terbaik yang ana pernah ada. Maaf kalau banyak menyusahkan enta selama ni. Kita kawan selama2nya deh?". "Insya Allah", balasnya kembali, ringkas.

Hari2 tanpa Luqman berlalu pilu. Ketika kedatangan Faris Zamri menziarahi kami di Nilai, dia memberitahu yang dia ada terjumpa Luqman bersama ayahnya di Hentian Pudu. Ketika itu Luqman dalam perjalanan ke tempat barunya. Menurut Faris, Luqman memberitahu bahawa baru kini dia tahu yang ramai orang sayangkannya. Selama ni dia rasa dia macam tak ada apa2 saja. Dan buat pertama kalinya ada orang beritahu dia, nak buat rombongan ziarah ke rumahnya hari raya nanti. "Analah orang tu!", sambutku.


Artikel Lepas Mengenai Luqman

Aku dan Hari Lahir

Sambutan Tahun Baru Cina di Mid Valley
Hari Ini Dalam Sejarah
Aku Pulang
Cuti Bersama Sahabat
Bila Terasa 'Buhsan'
Kisah di Sebalik Perjalanan
Kalian Semua Adalah Guruku!
Malang yang Tersumbat Hidungnya
Semalam
ALLAHlah yang Memberi Kemenangan
Sambungan Kisah di Sebalik Perjalanan

Nota Hujung: Man, ana rindu nak dengar enta sebut, "Malu saya dibuatnya!".


Saturday, July 11, 2009

PLKN oh PLKN!


Bulan lepas, aku dikhabarkan ayah tentang surat PLKN yang sampai ke rumah. Agak gusar bila mendengarnya. Entah kenapa, benci benar aku mendengar perkataan PLKN itu!

Selepas itu, ayah mengirimkannya pada seseorang untuk menyampaikan surat itu ke tanganku. Kaku aku melihat surat itu. Bila difikir2, kenapalah kerajaan pilih aku, pilihlah orang lain, ramai lagi yang nak, tapi tak dapat.



Mendengar pengalaman daripada sahabat2 yang pernah mengikuti program wajib itu, membuatkan kegusaranku bertambah. Gerun sungguh! Ramai juga yang menasihatkan supaya menangguhkannya. Cadangan itu baik. Sambil ada juga yang menggesaku supaya hadir saja ke program itu. 'Misi dakwah' katanya. Ada sahabat beritahu yang budak2 sekolah agama biasanya yang akan jadi imam solat dan kadang2 diberi peluang menyampaikan tazkirah.

Soalnya mampukah aku mempengaruhi mereka. Bimbang2 aku pula yang dipengaruhi. Sosialnya usah dikata. Melihatkan gambar2 mereka pun sudah tahu.


Menurut seorang sahabat, semuanya bergantung atas kem masing2. Tak semuanya sama. Menarik juga mendengarkannya. Ada pro dan kontra di situ. Maka apakah pilihanku?

Aku memilih untuk menangguhkannya saja. Mungkin ini pilihan terbaik saat aku sedang menghabiskan fatrah studiku di Pusat Asasi UIA ini. Tapi pilihan inilah yang banyak menyusahkanku kerana perlu mendepani beberapa prosedur dan kerenah birokrasi yang tidak sudah2.

Mula2 kena isi borang yang disekalikan dengan surat pemberitahuan. Lepas tu kena buat surat rasmi (melalui Deputy Dean Admission and Record) untuk dihantar ke Pengarah PLKN. Berulang-alik jugalah aku ke beberapa deparment dan ke pejabat pos di sini. Sudahlah cuaca di sini agak kurang enak dan kurang manis dipandang. El-Nino lah katakan. Semakin hari semakin panas terasa. Mungkin sebab banyaknya dosa kami. "Ya ALLAH! Ampunilah dosa2 kami dan turunkanlah hujan sebagai rahmat untuk kami!".

Bosan betul bila kena buat kerja2 lagu ni. Tapi aku sedar yang aku sedang belajar dan mempraktikkan skilku. Hehe. Aku perlu belajar berurusan dengan pejabat dan membuat surat rasmi untuk kerajaan. Haha.

Namun, surat itu agaknya belum berbalas. Harapnya permohonanku untuk menangguhkannya dimakbulkan. Sungguh rimas bila masih belum ketemu jawabannya.




Saturday, May 30, 2009

Cerita dari Petaling Jaya

Terasa terlalu janggal pula apabila jari-jemari mula menari-nari di atas butang keyboard lantaran sudah lama tidak ditekan2 butang keyboard ini bagi menghasilkan sesuatu di blogku ini. Canggung kata orang Qlate.

Kesibukan yang melanda diri memungkinkan aku untuk tidak langsung sempat untuk menulis apa2 bagi mengisi kekosongan di blog. Kesibukan itu janganlah pula disalah mengertikan. Aku sibuk dengan kerja yang berfaedah. Tapi kadang2 tidur juga, tidur pun berfaedahkan?

Aku kini melabuhkan diri di Petaling Jaya. Di situ adanya Taaruf Week atau kami memandai meringkaskannya dengan TAWE. Taaruf Week ialah minggu orientasi atau pengenalan untuk pelajar baru Pusat Asasi UIAM yang mendaftar pada 23 dan 24 Mei yang lepas. Kami perlu memberi first impression untuk pelajar2 baru. Insya ALLAH, kami cuba memberikan gambaran yang terbaik.



Ditugaskan sebagai subcommittee PC (Programme Coordination) menjadikan aku ditempelkan di sini sebagai penyusun segala program sepanjang TAWE ini dan memastikan kelancarannya. Kami turut ditugaskan untuk menguruskan Briefing dan Cultural Night. Nak katakan berat tugas itu, tak adalah berat sangat jika nak dibandingkan dengan sahabat2 dari biro lain. Tapi beratlah juga, amanahkan tu. Bermandi peluh jugalah ke sana ke mari.

Terlalu banyak bangunan di sini dan jarak satu bangunan ke satu bangunan itu sangat jauh berbanding Nilai yang hanya punya beberapa bangunan saja, itupun dekat2 saja. Jika nak dibanding2kan antara Nilai dan PJ, memanglah Nilai lagi best (hehe.. jangan marah ya sahabat PJ!) walaupun tempat kami hanya berbekalkan bangunan rumah kedai saja.

Tempat kami tidak punya pagar. Bila2 masa saja boleh keluar. Berbanding pelajar di sini yang menghadapi kerenah peraturan keluar-masuk. Tapi yang sedapnya di PJ ini ialah harga makanan di kafe tersangatlah murah. Dengan makanan2 yang lazat2nya, sangat masyuk!

Hari pendaftaran adalah hari yang paling hot. Dengan kerenah pelajar baru lagi, ibu bapa pelajar lagi, memang menguji kesabaran. Sudahlah panas terik, parking pula penuh dan padang sesak dengan manusia. Terpaksa ke sana ke mari untuk menujukkan tempat pendaftaran, mahallah dan sebagainya. Ada juga ibu bapa yang marah2 pada committee dan pak guard.

Ada yang sampai nak bergaduh dan menunjukkan isyarat yang berbaur kesat. Namun itu hanya dilakukan segelintir daripada mereka, 2-3 orang saja. Walaupun begitu kami sangat memuji sikap ibu bapa yang sanggup mengangkat beg2 yang banyak, besar dan sarat dengan muatan. Malah mereka sanggup turun naik tangga berkali2. Pelajar baru ditempatkan di tingkat yang paling atas, tingkat 3 dan 4. Kasihan juga melihat kegigihan mereka, namun biasalah, anak2 masuk ‘U’, bukannya setahun sekali. “Tada hai ah”, bak kata Ahmad Syahid, Presiden FSCC (Foundation Studies Coordination Council).

Kemasukan pelajar tahun ini adalah bukan dalam jangkaan sebenar. Biasanya jumlah kemasukan tidak akan melebihi jumlah penerimaan masuk. Tapi lain pula jadinya. Jumlah pelajar baru tahun ini saja adalah mencecah 3500 orang. Ini kerana ada pelajar yang membuat rayuan lalu diterima masuk pada saat akhir. Silap benar pihak pentadbiran apabila mencampurkan pelajar PJ dan Nilai dalam satu TAWE. Sepatutnya tidak disekalikan seperti tahun lepas.

Pengalaman berucap di hadapan lebih 900 orang pelajar cukup besar ertinya. Walaupun hanya 10 minit bertazkirah, namun ianya cukup bermakna. Bukan senang nak dapat peluang sebegini.

Terlalu banyak cerita suka-duka aku di sini bersama sahabat2 committee yang lain. Nak kata sedih sebab kena korbankan cuti bersama keluarga pun tak juga, sebab masih ada ruang2 gembira bersama sahabat di sini. Nak kata suka sangat tu, taklah juga. Terasa juga bahang tarbiyyahnya di sini.

Kami (committee) mengakhiri TAWE dengan doa wehdah dan doa rabitoh di CFS Field. Selepas itu kami bersalam2an sesama kami sambil berselawat. Sungguh meriah sekali!

Usaha untuk mengislamisasi dan membiah solehahkan UIA mesti diteruskan. Doakan kami supaya mampu untuk memikul beban ini. Insya ALLAH, adik2 inilah yang bakal menjadi sebahagian daripada watak-watak utama dan front liner dalam perjuangan Islam. Ameen.

GAMBAR2 SEPANJANG TAWE







































Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.