Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!
Showing posts with label Jaulah. Show all posts
Showing posts with label Jaulah. Show all posts

Thursday, May 3, 2012

Catatan Kembara Ilmu

 Masjid al-Azhar; Tempat 'minum' bagi yang dahagakan ilmu.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat semuanya dalam jagaan Allah.

Setelah hampir enam bulan aku tidak menulis apa-apa entri di blog ini, akhirnya datang juga semangat untuk menulis semula di sini. Ingatkan blog aku langsung tidak akan diupdate lagi. Alhamdulillah, dengan wajah baru seiringan dengan semangat yang baru juga, insya-Allah. Fuhh, letih juga mengupgrade dan merenovate beliau. Juga blog aku sudah punya trademark baru sekarang; Melakar Cinta di Bumi Kinanah.

Untuk entri pertama ini aku hanya akan copy paste status-status aku di Facebook. Sudilah kiranya kalian membacanya sebagai permulaan. Insya-Allah, selepas ini aku akan menulis entri berkenaan pengalaman dan kisah kehidupan baruku di bumi Mesir. Terima kasih atas kesudian membaca dan menjenguk blog aku ini.

SEBELUM BERANGKAT
Insya-Allah, malam ini saya akan terbang jauh ke bumi Mesir.

Terima kasih buat semua penyumbang budiman sama ada melalui wang ringgit, dorongan semangat dan doa. Mohon doa daripada kalian!

Mohon maaf atas segalanya!

Saya bakal merindui semua yang ada di sini. Dalam keterujaaan saya ke sana, masih ada bibit-bibit kesedihan itu. Selamat tinggal Malaysia! =(
 SELAMAT SAMPAI
Alhamdulillah, sudah selamat sampai di Kaherah, Perlembahan Nil. Kami tiba sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Terima kasih buat keluarga dan rakan yang menghantar kami. Juga buat abang senior yang menyambut dengan penuh kemesraan. Kami sangat hargai keikhlasan antum. Hanya Allah mampu membalasnya.

Insya-Allah, saya akan menulis beberapa catatan kembara ilmu saya sedikit masa lagi. Moga beri manfaat untuk 'ibrah kita bersama! (:
MENGENAI MESIR & AL-AZHAR
Dalam al-Quran Allah sebut Mesir sebanyak 5 kali. Juga digelar Ardhul Kinanah.

Al-Azhar adalah antara yang ditakuti Barat mengenai Islam, selain al-Quran, Makkah dan Solat Jumaat. Ditakuti kerana telah melahirkankan ramai ilmuan yang menyebarkan fahaman Islam di seluruh dunia.

Mana mungkin saya yang punya tangan berlumuran dosa sesuai dengan tempat semulia al-Azhar. Tapi itulah percaturan Allah. TakdirNya adalah yang terbaik dan Dia tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang beriman. 
CATATAN KEMBARA ILMU 1
Saya sebak saat memeluk tubuh suci milik mok, adik-beradik, tok dan pok/mok sedara di Mator Terengganu. Mahu saja saya menangis, namun ego mengatasi segalanya. Harap ianya bukan pelukan terakhir kami di dunia.

Saat melihat para guru dan sahabat yang menghantar saya di sana, saya bertambah sebak. Sebak kerana bimbang andai saya tak dapat memenuhi harapan mereka. Mereka pasti mengharapkan kepulangan saya sebagai seorang ulama' pendidik masyarakat. Namun, mampukah saya? =(
CATATAN KEMBARA ILMU 2
Saya terharu apabila ayah saya, Ustaz Zakaria Dagang sanggup menghantar saya sampai ke KLIA. Ayoh memang sudah sangat banyak berkorban untuk saya.

Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa Ayoh. Beliau insan paling penting dan istimewa dalam hidup saya. Saya sangat bertuah punya ayah sepertinya. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 3
Tadi saya temankan sepupu saya, Abdul Mu'iz ke Hayyu Sabe'. Fatah Fathuddin juga ikut serta. Kami ke Maktabah Darus Salam untuk membeli kutaib. Saya habiskan 120 genih untuk 23 kutaib dan al-Quran.

Nanti saya kongsikan tajuk kutaib itu di blog. Majoriti kutaib yang dibeli ialah karangan idola saya dan ummah, Dr Abdullah Naseh Ulwan. Seronok dapat naik bas (sardin), tremco (van sapu) dan teksi (bermeter) tadi. Rasa macam tak mau pulang ke Malaysia dah je! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 4
Sikap obses saya terhadap buku/kitab masih belum dapat dibendung. Sejak di Malaysia lagi saya sudah bersikap dengan yang demikian.

Mesir adalah bumi ilmu. Mana mungkin saya mahu melepaskan peluang mendapatkan kitab dengan harga yang murah itu.

Maafkan saya ibu! Ini untuk manfaat masa depan saya dan ummah juga. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 5
Salam rindu buat semua warga UIA. Alhamdulillah, ana telahpun sampai ke Bumi Kinanah, Mesir. Terima kasih kepada semua sahabat yang pernah menolong ana sepanjang pembelajaran ana di UIA Nilai.

Mohon maaf atas semua kesilapan ana selama berada di UIA Nilai. Doakan kejayaan, keselamatan dan kesihatan ana di sini. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 6
Sedang berprogram dalam Hari Pengetahuan dan Silaturrahim anjuran Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru KPT (USMB '11).

Seronok sangat program ni! Alhamdulillah.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 7
Dr Che Anas Che Kadir telahpun meninggalkan kami dan pulang ke Malaysia. Selamat jalan dan selamat pulang saya ucapkan. Moga pulangmu membawa seribu rahmat buat rakyat Malaysia. =)

Hari ketiga saya di sini, saya ada ziarah ke rumah beliau. Waktu tu, sahabat saya Ustaz Al-Amin Hj Salleh yang bawa saya. Sempat juga belajar ilmu fotografi dengan Abang Muaz Zakaria. Kami juga sembang ilmu dan bincang isu semasa. Seronok je..
CATATAN KEMBARA ILMU 8
Dalam doa saya bermonolog sendirian:
Maaf kerana memeningkanmu. Mungkin aku memang sudah ditakdirkan untuk menjadi beban dan ujian kepada mereka. Namun aku redha ya Allah. =(  
CATATAN KEMBARA ILMU 9
Salahkah andai kami mahu belajar melalui internet? Malah internet boleh dinisbahkan dengan berjuta-juta kitab. Fahamkanlah wahai yang berakal!

Jangan cepat su' zon bila lihat kami main laptop. Tak boleh ke kalau kami study guna laptop? Contoh ada soalan imtihan qobul secara soft copy. Tak kan nak gi fotostat kot?

Oh, sangat prihatin dan berkebajikan mereka itu! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 10
Apakah yang akan berlaku andai Maher Zain akan menyanyi bersama Bytiey? Sama-sama kita nantikan sebentar saja lagi. haha..
CATATAN KEMBARA ILMU 11
Bestnya bila ada orang rindukan kita lalu membawa kita dalam mimpi mereka. Ya, saya punya pengalaman itu. Walaupun beliau tak hadir menghantar saya di mator, namun beliau hadir dalam mimpi beliau. Allahu robbi! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 12
Entah. Rasa lain macam je. Adakah ini petanda buruk atau baik? Pastinya takdir Allah adalah yang terbaik untuk hambaNya. Dia tidak akan sesekali mengecewakan hambaNya yang beriman.
CATATAN KEMBARA ILMU 13
Bila Allah nak bagi kita hadiah yang mahal, pasti kita tak akan diuji dengan harga yang murah.
CATATAN KEMBARA ILMU 14
Alhamdulillah atas dua perkara:

1. Terubat kerinduan apabila mendengar suara mereka. Sungguh, kalian adalah jiwa saya. Saya boleh mati tanpa kalian.

2. Selesai sudah Hari Pengenalan dan Silaturrahim (HPS) anjuran USMB KPT '11. Terima kasih kepada semua fasilitator, urusetia dan peserta program. Antum banyak merubah paradigma ana sebagai seorang Naseh Ulwan. Syukron awi awi!
CATATAN KEMBARA ILMU 15
Sabar itu tandanya sayang. Bersabarlah wahai diri! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 16
Mahu berbuka puasa di bilik tetap saya, 403. Sekarang di bilik angkat, 101. hehe.. =)
CATATAN KEMBARA ILMU 17
Perlu membayar perjuangan dengan harga yang mahal. Sungguh, syurga itu mahal amat! =)
CATATAN KEMBARA ILMU 18
Sayu saya membaca catatan naqib saya, Ustaz Tengku Khairul Idham buat sahabatnya yang juga sahabat senior saya, Ustaz Syed Maarof Al-idrus.

Kepulangan beliau pasti dinantikan seluruh umat Malaysia. Kontranya, kami di sini pula bersedih dengan kehilangan beliau. Bagai nasi tanpa kuah. Begitulah kami tanpa kelibatnya. Pesanan terakhirnya sungguh mengesankan kami. =(
Link: Pulang Seorang Sahabat.
USRAH PERTAMA
Muzakarah Berkelompok KPT di Surau Kompleks Darul Iman tadi;

Fasi: Ustaz Syamsul (Waalid Aisya).
Ahli: Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Farid, Ustaz Naim, Dr Tarmizi, Ustaz Mujahid, Ustaz Saiful, Ustaz Asroy, Ustaz Shahril dan Naseh.
Perbincangan: Hadis pertama dalam kitab Arba'in Nawawiyyah berkenaan niat, ikhlas dan isu semasa.

Seronok sangat-sangat! =D 
BERSIH: 'THAURAH' VERSI MALAYSIA
Seorang Arab Mesir tanyakan hal baju kuning saya. "Apa maksud BERSIH?"

Saya terfikirkan apa jawapan yang sesuai. "Ini 'thaurah (revolusi)' negara kami." Jawab saya dengan yakinnya.

Dia tanya lagi, "Najib tu jahat ke?"

Susahnya soalan. Saya menjawab, "Lebih kurang Hosni Mubarak la." =D
SUBHANALLAH!
Subhanallah atas dua perkara;

1. Sangat seronok mendengar tazkirah sempena Ribat Pmram di Dataran Hayyu 'Asyir pagi tadi. Lontaran vokal yang jelas oleh Ustaz Asri Mat Daud menghilangkan rasa mengantuk saya. Isi yang cuba diutarakan juga sangat mantap. Ustaz berbicara soal Rijal. Antara kriteria yang perlu dimiliki oleh Rijal ialah mestilah mengambil makanan yang toyyibat.

2. Menerima kunjungan hormat daripada dua orang sahabat yang sangat dirindui, Ustaz أحمد فتحي الكلنتاني dan Dr Mohd Zameer Shazwan Zulkiffli. Terima kasih atas kunjungan! Ada masa datanglah lagi ke sini ya? =D
ALHAMDULILLAH!
Alhamdulillah untuk 2 perkara;

1. Dapat bertemu kekasih. Sangat seronok pertemuan kami tadi. Moga saya tidak akan pernah jemu untuk bertemu dengan kekasih. Moga kekasih cintakan saya sebagaimana saya cintakannya. Terima kasih buat sahabat yang sudi menenami; Ustaz Fatah, Ustaz Aliff, Ustaz Murshid dan Ustaz Asroy.

2. Semalam saya ke 'Low Yat' versi Mesir. Hari ini juga ke sana. Sepanjang perjalanan hari ini, saya banyak belajar mengenai hakikat diri daripada sepupu terbaik saya, Ustaz Muiz (Ama). Syukron ya sodiiq! =D
 OASIS
Alhamdulillah, sangat seronok berOASIS!

Sahabat, ketemu lagi dalam program PMRAM akan datang, insya-Allah! =D
IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, esok saya dan rakan-rakan akan menghadapi Imtihan Qobul (Peperiksaan Kelayakan) di Markaz Lughah Kuliyah Al-Ulum Al-Islamiyah Universiti Al-Azhar.

Mohon doa daripada kalian moga Allah berikan ketenangan dan kemudahan kepada kami untuk urusan esoknya. =)

ربنا نجحنا 
SELESAI IMTIHAN QOBUL
Alhamdulillah, selesai berperiksa. Mohon doakan juga buat sahabat saya yang mengambil jurusan selain Syariah (Usuluddin dan Lughah) yang bakal menduduki Imtihan Qobul pada esok hari.

والله مستعان 
NATIJAH IMTIHAN QOBUL
Insya-Allah, jika tiada aral melintang, natijah Imtihan Qobul kami akan keluar hari ini. Mohon doa kalian! Moga najah belaka hendaknya!

Hari ini mahu 'kunjungi' kuliyah di Jami'ah Azhar. Terujakah saya? =D
JAULAH KE ZAQAZIQ
Menjalin ukhuwah dan berkunjung hormat ke Muhafazah Zaqaziq. Sungguh, Zaqaziq menjanjikan kedamaian dan kebahagian. Sangat menarik! =)
BERMULA KUTUB SITTAH
Hari ini mereka sedang berIjtima' Tarbawi. Mungkin juga menyambut 60 tahun Pas Perak. Boleh jadi juga perlawanan akhir Piala Malaysia.

Saya di sini sedang berpesta thaqafah. Alhamdulillah, berpeluang mendampingi masyayikh Al-Azhar yang sangat mulia dalam program Majlis Bacaan Hadis Kutub Sittah di Stadium Nadi Riyadh, Hayyu Sadis. Tadi syeikh bacakan kitab Sahih Bukhari untuk kami. Kami akan berkampung selama tiga hari di sana.

Oh, hari ini jubah saya membalut t-shirt Ijtima' Tarbawi 2010 yang diadakan di Rusila. Walaupun rasa sangat sedih tak dapat sertainya tahun ini (hingga timbul kedengkian), harap sahabat sefikrah bisa bawa semangat saya di sana. Insya-Allah, esok mahu pakai badge Ijtima' Tarbawi 2011 yang dibeli saat ceramah Penerangan oleh Pimpinan Pas Kedah di Dataran Hayyu Asyir, anjuran S.U.A.R.A.

Famili saya pula khabarnya ke Perak menyambut dua perkara. Sambutan 60 Tahun Pas Perak dan baby baru Ayoh Yard di Kuala Kangsar. Kali ini tidak lagi kembar seperti sebelumnya. Apapun, pujian harus diekspresikan buat Pemilik Cinta atas segala nikmat pemberian-Nya! =)
BERAKHIR KUTUB SITTAH
Alhamdulillah, sedang berKutub Sittah. Allah, seronoknya setiap saat bersama kekasih-Mu! =) Hari ini merupakan hari terakhir program. Oh, belum puas rasanya! =(

Kepada sahabat Mesir yang tak berkesempatan menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah kali ke-3 atau rakan di Malaysia atau di seluruh pelusuk dunia, insya-Allah anda bakal berpeluang menontonya secara live;

1. Di http://albaeth.com/ (Laman rasmi Syeikh Ibrahim Al-Kittani, Al-'Allamah Al-Azhar Asy-Syarif).

2. Pada jam 6.30 petang waktu Mesir. Pukul 12.30 tengah malam waktu Malaysia.

Jangan lepaskan peluang mendampingi ulama' ini! Moga kita bisa rasai dan hayati anwaar dan anfus Kekasih Agung, Saidina Muhammad S.A.W. Subhanalloh!
RINDU FATAH
Oh, patutlah hari ini rasa sunyi semacam je. Rupanya bilal terbaik dan paling sedap yang pernah dilahirkan KPT tiada di Kompleks. Entah ke mana beliau menghilang. Ke Syoubra khabarnya. Rindunya pada roomate saya itu! =D
6 OKTOBER
Tanggal 6 Oktober merupakan tarikh penting buat rakyat Mesir. Pada tarikh inilah mereka mendapat kemenangan dalam perang melawan Israel.

Persoalan yang mungkin timbul, adakah detik itu akan berulang? Boleh jadi ya dan boleh jadi tidak.

Saya teringatkan ARMA. Tanah dibangunkan ARMA itu merupakan pemberian kerajaan Mesir buat pelajar Malaysia. Sebagai hadiah atas bantuan pelajar Malaysia menewaskan Israel.

Andai peristiwa peperangan Mesir-Israel berulang, bagaimana nasib kami? Adakah akan ada lagi evakuasi atau Ops Piramid? Kami mungkin punya dua pilihan waktu itu. Mahu syahid di sini atau pulang mengislah masyarakat.

Jika ditanya mana pilihan saya, saya memilih pilihan kedua. Bukan kerana saya takut mati atau tidak cintakan syahid. Namun saya memikirkan nasib orang yang menyumbang bantuan untuk kelangsungan pelajaran saya di sini. =)
   
PESAN USTAZ ENGKU HASAN
Pesan Ustaz Engku Hasan hafizohulloh, "Jangan anggap semua orang Arab itu jahat. Bimbang Nabi juga termasuk dalam anggapan kita itu. Bersangka baiklah pada mereka. Kita sendiri nak ambil ilmu daripada orang Arab. Cumanya untuk berhati-hati itu tidak mengapa."

Alhamdulillah, setakat ini saya belum bertemu dengan Arab yang betul-betul jahat. Hanya jumpa yang baik-baik saja. Benarlah kata Nabi dalam satu Hadith Qudsiy: "Aku bersama sangkaan hambaku terhadapku." Pesan saya, bersangka baiklah dengan Allah! =)
SANG KEKASIH
Mahu jumpa kekasih. Mahukah kekasih melihat wajah sang pendosa seperti saya ini? Allah.. Sangat mahu mencari ketenangan di sana. Moga Allah permudahkan!
والله مستعان
BELIAU ITU
Boleh saya ikut beliau ke Al-Azhar hari ini? Setakat ini saya belum lagi diajak membonceng motor baru beliau. Sedihkan? huhu..

Beliau tak ajak pun saya ke Masjid Al-Azhar hari ini. Sedih gila! =(
Ok. Setakat itu sajalah catatan yang sempat aku buat sepanjang awal kehadiranku ke Bumi Kinanah ini. Insya-Allah jumpa lagi untuk entri akan datang!

Kenangan menyambut 'Idul-Adha di perantauan.

Friday, October 7, 2011

Salam Syawal 1432H buat Semua Pembaca Blog Jiwa Terasing

Sila klik pada gambar untuk melihat dalam skala yang lebih besar.

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA
Selamat hari raya aku ucapkan khusus buat;

1. Ibubapa, adik-beradik, keluarga dan sanak saudara.
2. Jiran tetangga dan rakan sekampung.
3. Sahabat seusrah dan sejemaah.
4. Teman sepengajian dan para guru (Pasti al-Hijrah | Madrasah Darul Taqwa | Maahad Darul Quran | SMASZAL | SMAASZA | UIA Nilai).
5. Rakan maya di Facebook, Blog, Yahoo Messenger, Twitter dan Formspring.

Juga sesiapa sahaja yang mengenali diri yang faqir ini sama ada secara dekat atau jauh.

DIARI RAYA
1. Raya pertama;

1.1 Solat Sunat Hari Raya di Surau al-Mawaddah, Teluk Ketapang. Imam ialah Ablem, manakala Ayoh pula khatib.
1.2 Sesi bersalam-salaman di rumah.
1.3 Raya di rumah Tok Lah, Acik Ma dan sekitarnya.
1.4 Raya di rumah Tok Pat.
1.5 Raya di rumah Pok Mael dan Tok Su Din.

2. Raya kedua;

2.1 Rumah terbuka Ustaz Zakaria Dagang.
2.2 Bertolak ke Taiping (Walimah Aman, anak Ayoh Long Ghani).

3. Raya ketiga;

3.1 Raya di rumah sahabat baik Yah, Fahtin Farahana di Parit.
3.2 Walimah Aman di Taiping.

4. Raya keempat;

4.1 Jaulah Raya PEMAKNA di rumah YB Dr Haji Alias Razak, Ustazah Shamsiah Zakaria dan Ustaz Abu Bakar Chik.
4.2 Majlis Aidil Fitri Pas Cawangan Belukar Sukai.

5. Raya kelima;

5.1 Jaulah Raya SPM 2007 dan STAM 2008 SMAASZA di rumah Ustaz Hassan, Ustazah Wan Raihanah, Ustazah Rohaya dan Ustaz Amad Muzani. Sebelum pulang, menjamu selera di Ikan Celup Tepung (ICT), Pantai Teluk Ketapang.

6. Raya keenam;

6.1 Raya di rumah 'beliau'. hehe..

7. Raya ketujuh;

7.1 Majlis Hari Raya AJK Pas Kawasan Kuala Nerus di rumah Haji Zaini, Bendahari Pas Kawasan KN.

8. Raya kelapan;

8.1 Lupa dah raya kat mana. haha..

9. Raya kesembilan;

9.1 Basit belanja aku, Hakim, Hasrul dan Mu'az di Kedai Air Buah Gelas Besar Pior, Bukit Tok Beng.

10. Raya kesepuluh;

10.1 Bowling SPM 2007 dan STAM 2008 SMAASZA di TER, Kuala Ibai.

11. Raya kesebelas;

11.1 Majlis Hari Raya Pas Dun Seberang Takir di Bukit Tok Beng.
11.2 Raya di rumah Tengku Malik.
11.3 Jamuan Hari Raya Islah Pemuda di Surau al-Hidayah, Alor Kuda.

12. Raya kedua belas;

12.1 Ziarah Maqam Auliya' Islah Pemuda di Maqam Tok Pelam, Tok Syeikh Duyung, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Syeikh Ibrahim dan Tokku Paloh. Usainya kami membaham Colek Kaki di Kedai Makan JKK Kikiki, Merbau Patah. =D

13. Raya ketiga belas;

13.1 Hantar Hasrul yang akan ke Jordan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
13.2 Jumpa asatizah SMAASZA. Kebetulan diadakan Majlis Hari Raya peringkat sekolah ketika itu.

14. Raya keempat belas;

14.1 Majlis Sumbangan untuk Pelajar yang akan ke Luar Negara anjuran Pas Kawasan Kuala Nerus di Pejabat Pas Kawasan KN, Batu Enam.
14.2 Jamuan makan di rumah Pok Harun Panjang, Batu Enam.

15. Raya kelima belas;

15.1 Jalan-jalan bersama Razzi Azhar. Usainya kami makan di Restoran al-Edrus, Gong Badak.

16. Raya keenam belas;

16.1 Raya di rumah Ustazah Najwa. Makan Nasi Maqlubah. Sahabat yang ada sama ialah Mu'az, Hakim, Naqiu dan Hariz. Usainya kami minum di Kedai Makan Cairo, Durian Burung.

17. Raya ketujuh belas;

17.1 Berangkat ke bumi Mesir. =)

Sunday, November 1, 2009

Dari Nilai ke Alor Setar dan Permatang Pauh

Alor Setar

Aku tiba di rumah Anas sekitar jam 2 pagi. Aku disambut oleh Tok dan Mak Anas yang sungguh mesra. Soalan ditujukan bertalu2 oleh nenek Anas terhadap Anas sendiri. Nampak Anas seperti malas hendak menjawabnya. Mungkin sudah mengantuk. Letih juga mungkin. Sebelum masuk tidur, kami sempat dijamukan bihun goreng, buat mengisi kekosongan perut.

Malam itu aku tidur di bilik Anas. Paginya aku bersahur bersama keluarga Anas. Pagi itu aku menyambung lagi 'rehat' yang belum cukup aku kira. Aku bersolat Zohor di Masjid Sultanah Nor Bahiyah bersama Anas. Seusai solat, kami menuju ke asrama Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bagi bertemu dengan Abang Mie, rakan kampungku yang mengaji di sana. Bersembang selama setengah jam, aku meminta diri untuk ke Pulau Pinang. Abang Mie hanya merelakan kepergianku.

Anas menghantarku di Terminal Syahab Perdana. Dari situ aku mengambil bas ke Butterworth atau dalam Bahasa Melayunya Bagan. Tayar bas berpusing, lalu berjalanlah bas itu dengan megahnya. Sampai di Bagan, aku menunggu selama sejam di situ sebelum Ayah Wa mengambilku.

Permatang Pasir

Malam itu solat Tarawih di sebuah surau di Kg Permatang Tengah. Setelah solat kami makan2, sembang2 dan misi terakhir malam itu, tidur.

Paginya kami bangun sekitar jam 5 pagi. Bersahur di Markaz Induk Terengganu. Solat Subuh di Masjid Permatang Gajus. Imam membaca ayat yang sangat menekan kalbu. Apa yang aku fahami dari ayat itu ialah di mana akan ada satu puak akan ke syurga dan satu lagi akan ke neraka. Dan parti ALLAH ialah mereka yang menang. Kuliyah Subuh asalnya disampaikan oleh Tuan Guru Presiden, tapi digantikan oleh Saudara Wan Faizul Wan Abas, Setiausaha DPPNT. Tazkirah masih berkisar tentang puasa dan Lailatul Qadar.

Petang itu kami bersiar-siar sekitar Pulau Pinang. Kami singgah di salah satu kompleks membeli-belah. Ayah Wa dan Abang Fadhil teruja ingin membelikan baju buat anak2 di rumah. Usainya kami menaiki feri. Sungguh indah sekali pemandangan di sana.

Malam itu kami tidak ke mana2. Hanya berehat di markas penempatan jentera Terengganu.

Esoknya itu kami mengikut calon PAS PRK Permatang Pasir, Ustaz Salleh Man berkempen. Kami berjalan dari rumah ke rumah mengiringi calon. Calon dilihat begitu mesra dan dekat dengan penduduk sekitar.

Petang itu pula diadakan Majlis Berbuka Puasa (untuk orang Islam) dan Hi-Tea (untuk bukan Islam) bersama calon. Antara yang hadir ialah pengundi kaum tionghua di sana.

Malam itu barulah aku pulang semula ke Nilai. Mulanya aku ingin menaiki kereta api, namun perkhidmatan untuk hari itu telah ditamatkan. Maka pilihan terakhirku ketika itu ialah menaiki bas. Ayah Wa menghantarku ke Stesen Bas Bagan.

Abang Fadhil menemaniku yang sedang membeli tiket pulang. Waktu itu pukul 11.20 malam. Penjual tiket itu memberikan tiket yang tertera waktu padanya 11.15 malam. Aku tidak mengesyaki apa2 pada mulanya. Aku terus menunggu bas yang dikatakan akan tiba di terminal 5 sehinggalah pukul 11.30 malam. Aku meluru ke tempat penjualan tiket tadi bagi bertanyakan bila lagi bas yang akan ku naiki itu akan sampai. Tunggu dulu katanya.

Aku masih boleh bersabar sehinggalah jarum jam menunjukkan pukul 11.45 malam sudah. Datang seorang remaja, juga penjual tiket. Dia meminta untuk melihat tiket di tanganku. Selepas dilihat tiket itu beliau mengatakan yang bas itu telah lama pergi. Aku merasa geram. Sah aku ditipu.

Aku meluru sekali lagi kepada lelaki dan perempuan ulat tiket sebentar tadi. Aku bertanya dengan keras kali ini. Ingin saja aku libas penumbuk buat melepas geram, namun sabar masih menebal dalam diri. Lelaki itu meminta tiket tadi dariku. Akhirnya dia memintaku supaya menaiki bas Durian Burung. "Tapi kena tambah r skit, bas ni bas sky view", kata dia padaku. "Kena tambah berapa?", tanyaku semula dalam nada marah. Dia ketakukan agaknya sampai tidak sempat meminta duit tambahan itu dariku.

Akhirnya dia memintaku menaiki bas itu. Rupa2nya sudah ada orang di tempat aku, sebagaimana no. seat yang tertera pada tiket baruku itu. Aku merasa tertipu lagi. Akhirnya aku ditempatkan di ruangan bawah. Aku bertanya kepada orang di sebelahku, "Berapa harga tiket?". "44 ringgit!", jawabnya. Itulah sebenarnya hikmah yang sudah kelihatan. Sebenarnya aku hanya membayar rm40 pada mulanya. "4 ringgit untung kot.. huhu", fikirku di dalam hati sambil ketawa kecil.

Aku sampai di Nilai sekitar subuh dan Hadi mengambilku di Stesen KTM Nilai (terima kasih Hadi!). Dan itulah buat pertama kalinya aku bersahur di dalam KTM. Alhamdulillah, kenangan ini sangat indah jika diulang tayang dalam tasik pemikiran.

Gambar Kenangan

Bergambar kenangan di Terminal Syahab Perdana

Inilah dia Anas

Bergambar kenangan di penempatan kami di Permatang Tengah

Wan Faizul Wan Abas menyampaikan kuliah Subuh

Pemandangan indah Pulau Pinang

Bergambar kenangan di atas feri

Bergambar di tingkat atas feri

Kempen calon rumah ke rumah

Sempat bergambar kenangan bersama calon

Berkempen di markas BN

Calon menyampaikan ucapan ketika Majlis Berbuka Puasa/Hi-Tea


Wednesday, October 7, 2009

Kisah Hari Ini 2


Kisah hari ini bermula dengan pagiku iaitu menghantar Piyah ke sekolah beliau. Ingatkan hendak puasa hari ni, menghabiskan saki baki puasa enam yang tinggal beberapa hari saja lagi. Namun rasa senak pula di perut. Lantas aku membaham Nuget gorengan Mak dengan rakusnya.

Selesai sesi penghantaran, aku menghabiskan pula sisa2 hidupku dengan melihat2 di laptop kalau2 ada sesiapa yang ingin berbual maya denganku. Tiba2 Ustaz Mizan mengajakku ke pejabat. Aku pun bersetuju dan berjanji dalam pukul 12 tengah hari aku akan sampai ke sana.

Tengah hari itu pula aku perlu menghantar Yah ke sekolah. Makan2 dan solat Zohor, pukul 2 barulah aku boleh ke pejabat. Sampai di pejabat, terlihat Ustaz Mizan sibuk membuat kerja2 Ijtima' antaranya kerja2 urusetia iaitu berkaitan jemputan. Aku berbincang serba sedikit mengenai usrah di sekolah2 dan usrah Islah Pemuda sambil meminta pandangan beliau.

Sehinggalah jam menghampiri 3.45 petang, dekat pukul 4 petang, barulah aku ke sekolah. Tiba di sekolah aku cuba mencari kalau2 ada guru yang belum pulang. Sebenarnya aku ingin berjumpa sekali lagi dengan Teacher Wan Nabilah, tapi beliau sudah pulang. Guru2 yang ada ketika itu ialah Ustazah Zawiyah, Ustaz Amir, Ustaz Rosdi, Pengetua dan beberapa guru lain yang tidak ku kenali namanya termasuk guru2 baru. Kebetulan budak2 tingkatan 3 mula berPMR hari ini.

Sedang asyik bersembang dengan Ustaz Rosdi, azan pun berkumandang enak dari corong pembesar suara Surau al-Muttaqin. Aku segera menyahut panggilan itu dan meminta diri untuk ke surau. Alhamdulillah, masih ramai yang suka bersembahyang di surau. Suasana di surau pun tidak banyak berubah. Usai berwuduk, Syed dan Syafie menolakku ke hadapan untuk menjadi imam. Mulanya ingin saja aku tolak permintaan mereka. Tapi tidak sampai hati pula nak menolak. Kata mereka, "Bazzir je mari jauh2, dari Nilai tu.. Imam r sekali!".


Selesai solat, aku disapa Mat, rakan baikku di sekolah dulu. "Seh, kewajipan!", sapanya. Aku terpinga2 kepelikan. 'Kewajipan apa plak ni Mat?', fikirku. Oh, baru ku ingat tentang status YM yang ku tulis itu hari, 'Baitul Muslim: Keperluan atau Kewajipan'. Lalu aku berbincang dengan beliau mengenai masalah sekolah dan usrah. Namun masa sungguh berdengki sekali. Mak menelefonku mengingatkan tentang temu janjiku petang ini.

Pukul 5 petang pula aku ada appoinmnet dengan seorang ustaz di kampung. Ingin minta air penawar dari beliau. Usai urusanku dengan beliau, aku ke Alur Kuda bagi membotakkan rambutku. Namun hampa pula jadinya kerana pemilik kedai sudah ingin menutup premisnya itu. Beliau memintaku datang malam ini.

Tanpa berlengah lagi, aku pun pergi dengan hati yang penuh duka. Destinasiku kali ini ialah pasar minggu di Kg Baru Seberang Takir. Aku mengidam putu mayam. Tapi rupa2nya putu mayam tidak dijual di sini. Hampa lagi. Sebelum ke pasar, aku sempat menziarahi Acik Nah, sebagai pemberitahuan kepulanganku. Kata Acik, "Dakpe (takpe) ah, nanti Acik mari (datang) r rumoh". "Wat mari r makanan sedap2 skit!" kataku menambah.

Aku pulang melalui jalan pantai. Sungguh nyaman sekali terasa. Maklumlah di Nilai tiada pantai. Sebelum pulang ke rumah, aku sempat menjenguk sahabat2 kecilku iaitu Amirul, Afiq dan Zetty serta 2 orang lagi adik perempuan mereka. Sekadar bertanya khabar. Sempat juga aku bertanyakan adik Hafiz, sahabatku yang studi di UNIKL. Menurut adiknya, beliau akan pulang hari Ahad ini. Insya ALLAH, akan ku ajak beliau untuk turut serta dalam usrah Islah Pemuda itu nanti.

Malam ini Ayah mengajar di Surau Mawaddah. Ayah mengajar kitab Hayaatus Sohaabah (Kehidupan Para Sahabat). Di mana malam ini Ayah menceritakan tentang seorang sahabat Nabi dan merupakan perawi hadis iaitu Abu Darda'. Kalam Abu Darda' yang sangat masyhur, "Sesiapa yang tidak pernah merasa puas dengan dunia, maka tiada dunia baginya!". Teringat akan kenangan di sekolah. Kelasku di tingkatan 5 ialah Thanawi 2 Abu Darda'. Pukul 9 barulah aku ke kedai gunting rambut Bangkok Style. Lalu botaklah rambutku walaupun tidak licin, sehingga menampakkan 'stiker2' yang direka khas di atas kepala ini.

Sekian melaporkan dari meja Ghuraba'!

Tuesday, October 6, 2009

Kisah Hari Ini


Pagiku tidak ke mana2. Hanya di depan TV. Tetapi tidak bermakna aku menontonnya. Bahkan 'beliau' yang menontonku. Aku tidur dengan nyenyaknya di depan TV di rumahku itu. Oh, lupa nak bagitahu! Aku baru saja sampai ke rumah kesayanganku ini tepat jam 9.00 malam kelmarin.

Tengah hariku diisi dengan perbualan mayaku dengan beberapa kenalan di facebook dan YM. Ramailah pula yang ingin berchating denganku hari ni. Aku pun layan sajalah kehendak mereka. Mereka bertanya aku menjawab. Aku pula bertanya mereka pula menjawab. Kadang2 soalan berjawab soalan.

Sempat juga menghantar Yah ke sekolah beliau, SMKIF, Kuala Terengganu. Beliau bersekolah sesi petang. Solat Zohor di Surau Mawaddah, makan tengah hari dan mandi. Meneruskan lagi usahaku berbual dengan rakan2 di internet.

Solat Asar berimamkan Hj. Mohd Chik. Walaupun beliau yang mengazankan, tapi aku pula yang disuruh mengalunkan iqamah. Usai solat, aku bergegas ke Kedai D'Nur Optometris yang terletak di hadapan Pasarayaku, Batu Enam. Aku membaiki spekku yang longgar, sedikit berkarat dan lari 'allignment'nya.

Selesai kerja2 pembersihan yang dilakukan Yosu, beliau menghulurkan not berwarna merah padaku. Aku ke rumah Teacher Wan Nabilah yang mengajarku Matematik di sekolah dulu. Rumahnya terletak pula di belakang Pasarayaku, juga di Batu Enam. Sudah lama ku berniat ke sana, namun tak kesampaian. Raya 2007 yang lepas aku sempat bersama rakan2 ke rumahnya. Tahun ini, ketika raya ke-3, aku bersama Mu'iz, sepupuku ke sana. Tapi Teacher tiada pula di rumah. Kali ini nasibku baik kerana beliau menyambutku penuh ceria di rumah. Beliau menjamukanku Nasi Air. Sedap juga.

Selesai urusanku di rumah Teacher. Aku tunaikan pula janjiku pada Cikgu Faiz, sahabat baikku yang belajar di UPSI. Beliau memintaku berbincang dengan PIC Usrah Islah Pemuda, Rusydi Arif. Aku ke rumahnya yang juga rumah Kamal Hafizullah, abangnya yang kini menuntut di al-Azhar, Mesir.

Kami berbincang tentang pelaksanaan usrah termasuk hari dan waktu yang sesuai. Setelah diperbincangkan, kami menyetujui untuk mengadakan usrah minggu ini. Mungkin hari Sabtu. Aku menyuruhnya untuk memaklumkan pada semua ahli usrah termasuk naqib usrah sendiri, Khairul Aiman. Malam itu Aiman menghantar pesanan pada hensetku. Katanya usrah bakal diadakan hari Jumaat ini. Insya ALLAH, dengan kudrat yang ada, aku akan memenuhi permintaan Faiz untuk sama2 menghidupkan usrah Islah Pemuda itu. Islah Pemuda mengumpulkan para remaja dan pemuda yang ingin mengubah diri, keluarga dan masyarakat. Kebanyakan mereka terdiri daripada penduduk sekitar Seberang Takir.

Pulang dari rumah Arif, aku terus 'deccung' ke rumah. Melihatkan Bayyin yang sudah berada di luar rumah, aku bingkas mengajaknya ke Pantai Teluk Ketapang. Beliau bersetuju lalu terus membonceng motor LC milik Abang. Sampai di pantai, beliau mengatakan yang beliau malu bermain seorang diri. Kecil2 lagi sudah ada perasaan malu. Akhirnya aku menemani beliau bermain papan gelongsor, buaian dan jongkang-jongket. Beliau nampak seronok. Namun masa tidak mengizinkan. Walaupun beliau masih belum puas bermain, tapi aku tetap berkeras untuk pulang kerana Mak mengkhabarkanku malam ini Ayah akan mengajar di Surau Ustaz Yong. Aku bergegas pulang ke rumah. Sebelum itu, aku belikan Air Nyiur dan Nugget buat Bayyin.





Malam itu, solat Maghribku masih di Surau Mawaddah, Teluk Ketapang. Ayah tidak mengajar di Surau Ustaz Yong kerana tidak berkesempatan. Usai solat Isyak, Ayah mengajakku disertai Abang dan Ablem ke Taklimat Ijtima' Kepimpinan Pas Terengganu yang diadakan di Kubang Lembek. Program itu merupakan program 2 dalam 1. Di mana malam itu juga diisi dengan Majlis Sambutan Hari Raya peringkat Dun Manir. Kami dijamukan dengan Nasi Dagang yang enak sekali. Sungguh 'ummph' kata orang kampungku. Malam itu Ablem juga sempat menyanyikan lagu Beramal kerana Allah dan Sunnah Orang Berjuang secara spontan, atas permintaan Haji Yusof Embong, Ketua MTD Manir. Ayah yang merupakan Setiausaha Ijtima' yang bakal diadakan itu turut berucap sebagai pentaklimat selain taklimat dari Haji Muhyidin Rashid sendiri selaku Penolong Pengarah 1. Majlis diakhiri dengan sesi Q & A.









Nota Hujung: Insya ALLAH aku akan ke sekolah esok, sebagaimana yang dijanjikan.

Tuesday, June 16, 2009

Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-55

Usai saja kerja2 yang masih tertangguh, aku bisa terbang jauh dari bumi Nilai. Namun hati dan perasaan masih gundah dan rasa bersalah. Gundah kerana bimbangkan Annual Grand Meeting hari Ahad ini. Maklumlah Pengarah Program lesap sebegitu saja. Namun aku yakin dengan kehebatan sahabat2 yang lain, mereka mampu walau tanpa kelibatku. Rasa bersalah pula kutujukan pada sahabat2 di Terengganu. Rakan2 di sana bertanyakan aku sama ada balik ke sana atau tidak minggu ini, kerana aku diminta untuk menjadi fasi. Bukan seorang yang bertanya, malah berorang2. Mula2 Amir, seterusnya Muzani dan paling lewat iaitu semalam pula Muiz. Sekiranya aku punya sayap nescaya sekarang juga aku terbang berkhidmat untuk negeriku. Aku punya komitmen di sini. Malu pula bila aku hampakan harapan sahabat di sana. Namun, hanya ucapan maaf yang mampu aku lafazkan tatkala jawapanku pada mereka menyatakan tidak dapat pulang.

Kini aku bersama keluarga aku yang aku hanya punya satu di dunia ini. Mungkin dua selepas ini (hehe). Awal2 pagi lagi Ayah, Mak, Abang, Kekti, Payed, Yah, Piyah dan Bayyin mengambilku di Nilai ini. Sepanjang di dalam kereta aku asyik berceloteh dengan Mak dan bertanyakan Mak beberapa soalan sehingga letih beliau ingin menjawabnya. Pagi esok aku akan ke Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam. Ayah akan menjadi perwakilan bagi kawasan Kuala Nerus esok. Sekarang (4.40 pagi), aku di sebuah apartment yang disewa kawan ayah di Komuter Raya dekat dengan Stesen Komuter Shah Alam.



Kehampaan kerana tidak dapat hadir ke muktamar tahun lepas di Perak terubat jua. Hampir setiap tahun aku tidak ketinggalan untuk ke muktamar. Sebelum ini di Taman Melewar dan Putik yang sudah biasa bagiku. Ayah tidak pernah lekang mengajakku ke muktamar. Sejak kecil, akulah yang selalu mengikut Ayah ke program2 beliau dan turut menjadi wakil bagi ibuku (huhu..). Aku memang ‘kuat jallang’, bak kata orang kampungku. Hampir setiap program Ayah aku akan bersamanya termasuk program parti dan Pasti, di mana2 saja.

Pengalaman bermuktamar kali ini cukup menarik. Dapat ketemu dengan pimpinan yang hebat2. Mendengar ucapan daripada para perwakilan dan Presiden sendiri. Aku agak terkesan dengan ucapan daripada perwakilan Pahang, Ustaz Yusuf Embong. Ini kali kedua aku mendengar ucapannya. Aku mengganggap beliau seperti ayahku sendiri. Turut membangkitkan jiwa, ucapan yang aku kira cukup bertenaga daripada Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Azman Shafawi, juga bekas Ketua Pemuda Pas Terengganu. Aku sempat merakam beberapa ucapan daripada para perwakilan dan pimpinan pusat. Beberapa kali juga aku terlelap sehingga dirunguti Payed, “3 orang berucap takdi, straight Abesih tido”, rungutnya pada Ayah Yard.

Muktamar kali ini dikira terbaik kerana mutu perbahasan dan fasiliti yang disediakan. Dengan kecanggihan IT yang dimanfaatkan sepenuhnya melalui multimedia presentation dan sebagainya. Ayah Wa merupakan salah seorang petugas IT. Aku agak terkilan dengan Petugas Media, walaupun disediakan ruang yang baik termasuk kemudahan WIFI dan extention wire. Cukup mewah sekali. Tapi apa yang ditulis di akhbar2 hanya isu2 panas sahaja. Namun aku masih ingat kata2 Tuan Guru Presiden, “Wartawan memang menulis dan melaporkan dengan betul, tapi yang mengubahnya kembali ialah editor”. Aku masih berhusnu zon pada mereka.

Muktamar sememangnya menjanjikan pengalaman yang cukup cantik. Gerai jualan usah dikira, banyak sangat, sehingga tidak sempat diziarahi semuanya. Namun, bukan itu yang menjadi maqasidnya. Apa yang dibeli hanyalah berupa makanan, minuman dan CD album Azhan Atan, Ku Milikmu. Sungguh asyik mendengar lagunya terutama lagu Ku Milikmu dan Di Sebalik Bayangmu (Ali & Fatimah). Suaranya cukup lunak, ada yang mengatakan seakan2 suara Jamal Abdillah. Beliau kini menjadi aset Pas. Kagum sungguh melihat kegigihan beliau dan isteri yang menjaga sendiri gerai jualannya. Beliau sememangnya seorang yang zuhud dan merendah diri, langsung tiada gaya artis. Beliau sendiri yang mengangkat speaker untuk diletak di hadapan gerainya. Aku terkedu sekali.

Malam kesenian ataupun konsert alternatif cukup mendapat sambutan. Antara artis yang memenuhi malam itu ialah Azhan Atan, Muadz, Akhil Hayy, Renggo dan Kumpulan Nusantara. Turut hadir ialah YB. Dato’ Hassan Ali, YB. Dato’ Mahfuz Omar, Mohd Sabu, dan YB. Dr. Hatta Ramli. Mohd Sabu dan Dr. Hatta turut membacakan sajak, Mohd Sabu dengan sajaknya yang bertajuk Altantuya. Menurut beliau sajak itu direka beberapa jam sebelum majlis bermula. Akhil Hayy mencipta kontroversi pada malam itu sehingga beliau disorak oleh penonton yang hadir. Beliau ketika ditanya dalam wawancara di atas pentas tentang perkembangan album, beliau spontan menjawab, “Album saya kat mahkamah”. Selain secara sinisnya berpesan kepada audiens, “Jika ada masalah rumah tangga, bolehlah berjumpa dengan media”. Aku juga teruja mendengar suara Renggo yang cukup lunak dan serak basah. Beliau menceritakan pengalamannya masuk Pas sejurus selepas mendengar kata2 Tok Guru Nik Abdul Aziz. Beliau kini tampil dengan album baru, Pesan Tok Guru.

Rasanya cukuplah sekadar itu. Gambar bakal menyusul. Sekian, melaporkan dari… mana entah.

















Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.