-Bumi Allah s.w.t.
Pada Ahad (8 Februari) baru2 ini, aku sempat mengikuti Bengkel Penulisan anjuran Mahallah Representative Committee (MRC) yang telah berlansung dengan jayanya. Bengkel ini dikendalikan oleh seorang penulis yang tidak asing lagi, malah sangat berpengaruh, Ustaz Ridhuan Mohd Noor (gambar).
Kali ini aku ingin berkongsi serba sedikit apa yang aku dapat ceduk daripada ilmu yang Ustaz curahkan. Walaupun kurang sihat kerana baru pulang dari lawatan ke Ghazzah, namun kesungguhan dan tadhiyah beliau yang tinggi mengatasi segalanya. Ustaz tetap hadir ke bengkel tersebut bagi memenuhi jemputan. Ustaz memberi kami sedikit sebanyak tips dan panduan untuk menjadi penulis yang berjaya. Walaupun masa yang diambil hampir 2 jam, namun dirasakan terlalu pantas berlalu. Terlalu banyak input dan informasi yang disampaikan oleh Ustaz. Ustaz juga sempat menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh peserta.
Sebelum itu Ustaz bercerita tentang sejarah penulisan ketika zaman Nabi s.a.w. Antara tokoh sahabat yang disebut Ustaz sebagai penulis ialah Zaid bin Thabit dan Saidina Ali Karramallahu Wajhah. Nabi sendiri ummiy iaitu seorang yang tidak pandai menulis dan membaca. Hikmah daripada kejadian tersebut ialah kuffar tidak boleh mendakwa bahawa Al-Quran itu adalah tulisan Nabi sendiri.
Sejarah penulisan Al-Quran turut dihurai oleh Ustaz. Kata Ustaz, ianya bermula selepas perang Al-Yamamah di mana kaum muslimin menang ketika itu, namun 1000 orang telah syahid termasuk huffaz (para penghafaz Al-Quran). Ketika itulah idea untuk menulis Al-Quran bermula dan ianya ditulis di atas batu, daun, pelepah tamar dan sebagainya.
Turut diceritakan, para ulama' dan tabi'in yang gigih menulis untuk Islam. Rata2 di kalangan ulama' sememangnya mempunyai kemahiran menulis disamping mahir mengajar atau berceramah. Antaranya ialah Ibnu Taimiyah. Beliau telah dimasukkan ke dalam penjara sebanyak 5 kali kerana terlalu obses menulis dan kali terakhir dihumban ke dalam penjara ialah ketika umurnya 65 tahun.
Menurut Ustaz, untuk menjadi penulis yang hebat, kita mestilah;
- Mempunyai ilmu - mesti banyak membaca.
- Melibatkan diri dengan amal Islami.
- Punya matlamat yang jelas - obligasi akhirat.
- Banyak berjalan - sambil itu sentiasa mencatat apa yang berlaku.
Ustaz turut menekankan bahawa pentingnya gaya bahasa dalam penulisan sebagai daya penarik dan menambah keseronokan membaca. Bagi menghidupkan tulisan, penghayatan semasa menulis perlu ada atau diadakan. Bila tulisan dihayati, maka pembaca akan merasa 'zouq' apabila membaca tulisan tersebut. Pengetahuan melalui pembacaan juga sangat perlu sebagai nilai tambah (added value) kepada penulis itu sendiri.
Penulis mestilah bertanggungjawab di atas tulisannya. Setiap kesalahan dalam menulis mesti diperbetulkan. Pembaca akan meneliti setiap kesilapan dan tidak memandang enteng terhadapnya walaupun hanya silap kecil. Setiap penulisan yang berunsurkan dakwah dan kebaikan akan mendapat ganjaran dan balasannya yang akan diterima di akhirat.
Itulah saja perkongsian kali ini. Harap kalian dapat mengambil manfaat daripadanya. Insya ALLAH. Siiru 'ala barakaatillah.
No comments:
Post a Comment