Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Monday, January 19, 2009

Agamaku Semakin Dagang


AGAMAKU SEMAKIN DAGANG
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
http://ummuhani.com


Bagaimanakah dengan ketawa, kita boleh menyimpan simpati?

Pagi kami dimulai dengan rasa marah yang tragis. Marah yang sekadar boleh dihembuskan dengan air mata dan kutukan, bukan pukulan, jauh sekali membalas dendam. Siapakah yang mempunyai perasan tetapi jiwanya tidak tersentuh melihat kanak-kanak dibom dengan rakus? Siapakah yang keras hatinya untuk bersimpati dengan penduduk Palestin di Tebing Gaza? Siapakah yang sanggup memberi cinta kepada syaitan zionis Israel -AS? Kucing pun bahkan berkata; Tuhan selamatkan dunia akhir zaman. Datangkanlah segera penyelamat (Imam Mahdi). Ya Allah.

Tetapi simpati kita tidak serius. Pagi yang dimulai dengan air mata seterusnya terlelap dek panggilan duniawi. Apabila fikiran mula berjalan ke daerah kerjaya, ke daerah kelelahan, ke daerah hiburan, bertebangan simpati di gentayangan tersorok. Hanya sesekali, bila terbuka radio atau televisyen, atau terbaca mana-mana akhbar tentang kekejaman sayap kiri dajal (Israel laknatullah) baharulah hadir semula simpati.

Begitulah kita dalam negara Islam yang serba mewah ini. Malaysia bagi anak-anak kelahiran pasca moden, adalah sebuah bumi tempat mencari harta kekayaan dan ketenangan hidup. Di sini, kita serba-serbi aman. Walaupun birokrasi berkarenah, masih banyak jalan penyelesaian. Untuk belajar dan bekerja, selalu didahulukan dengan wang pendahuluan. Kalaupun susah, tidaklah sampai tidur di bawah jambatan atau tepi-tepi longkang. Itu adalah kebiasaan bagi mereka yang berakal fikiran sihat. Kalau orang gila atau penagih dadah, lain ceritanya kerana dunia mereka berbeza.

Kita patut bersyukur, nikmat kurniaan Tuhan ini berlangsungan lama. Tiada lagi dalam catatan arkib negara, sejak 50 tahun merdeka, Malaysia pernah mengalami Peristiwa Intifadhah atau Pembunuhan beramai-ramai seperti di Shabra dan Shatilla. Belum ada lagi musuh seganas Israel yang mahu merampas tanah air kita, lalu melakukan gerila pencerobohan yang dahsyat seperti yang berlaku kepada rakyat Palestin. Sejak enam puluh tahun yang lalu, rakyat Palestin terjajah di bumi mereka sendiri. Bergenerasi lama dan tidak berkesudahan.

Perlunya kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Palestin. Dari perspektif kiri, kemusnahan negara Palestin turut berpunca daripada sikap rakyatnya. Mereka sudah lama hilang kesepaduan, mereka menjadi rakyat yang saling berbalah, mereka berebutan tanah, sejarah memaparkan mereka adalah masyarakat yang tidak berusaha banyak dan sebahagian tidak mengikut syariat Allah SWT. Lalu Allah SWT menghilangkan rasa gerun musuh terhadap mereka. Strategi Israel -AS mudah, selagi Islam dipinggirkan daripada hidup para penganutnya, kemenangan musuh akan mudah dicapai.

Hedonisme dan modernisme tajaan Zionis sangat berkesan melalui peluru globalisasi. Selepas penduduk dunia ramai yang tunduk dan sujud di kiblat barat. Itulah pencapaian kemenangan terbesar. Selepas itu, apa dunia boleh lakukan selain bercakap sahaja untuk rejim Zionis bertindak sesuka hati menaikkan matlamatnya; Israel Raya.

Dan ketika ini, kala di pagi hari air mata mengalir melihatkan kekejaman Israel di muka depan akhbar. Malam hari, kita boleh berseronok dan bergelak-ketawa di depan televisyen; misalnya menonton drama cinta Korea . Simpati kita ditabur sedikit, ketawa dan rasa gembira lebih panjang. Kita sebenarnya hanya cukup dengan berkata; Kasihan orang Palestin. Sebentar kemudian, kita terbahak-bahak dek lakonan para pelakon tajaan Zionis. Simpati kita sekadar itu. Esoknya kita begitu juga walaupun jumlah kematian saudara Muslim di Tebing Gaza meningkat. Drama hedonisme tetap kita tunggu siarannya..aduh malang nasib umat Islam kini. Tidak membahagikan rasa ukhwah dan cinta Muslimnya sepenuh hati.

Jelas sabda Nabi SAW sedang bersiaran langsung bahawa Islam itu agama yang dagang dan asing. Datangnya seperti orang asing, dan perginya juga nanti bagai orang asing. Tetapi kata Nabi SAW, berbahagialah mereka yang tergolong dalam kalangan yang asing itu.

Marilah kita menjadi orang asing yang banyak menangis, bermuhasabah dan berjihad berbanding orang yang banyak ketawa, berhibur, mencari dunia dan selesa hidupnya. Bagi teman-teman yang mempunyai kefahaman agama yang banyak, andalah yang perlu menjadi orang asing itu.

www.ummuhani.com

1 comment:

~alhuda~ said...

salam alayk

doakan moga2 kita tergolong dalam golongan ghuraba' yg rasulullah saw sebutkan.

mari, islah nafsiy wad'u ghayr!

ps:thx 4 visiting my blog.moga Allah rahmati kamu


Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.