Halaman Blog

Pengikut yang Baik Hati

Jiwa Terasing @ Pesbuk!

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Monday, January 19, 2009

Muhasabah: Ada Apa Dengan Hijrah

-5.30 ptg (3 Jan 2009)

-Bas Transnasional Ekspres, Chendor, Pahang (Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur) .

Ambillah 'ibrah dari Hijrah Nabi yang agung

Saban tahun kita melihat umat Islam menyambut Awal Muharram atau Maal Hijrah. Namun, keanehan timbul apabila aku cuba menulis tentang Hijrah sedangkan hari ini orang sudah bercakap tentang perkara lain. Lebih malang lagi ada yang langsung membungkus dan membuangnya jauh2 dari kotak fikiran, amat malang sekali! Sekadar tazkirah atau ulangan yang sudah biasa diulang, hari ini aku mengajak kalian untuk bermuhasabah. Sudahkah kita berhijrah? Memanglah Hijrah sudah tidak ada lagi hari ini, tapi hijrah yang ini ialah hijrah dari yang buruk kepada yang baik, yang baik kepada yang lebih baik dan begitulah seterusnya. Tahukah kita mengapa hijrah begitu penting sehingga diangkat sebagai tahun bermulanya Kalendar Islam? Apakah peri pentingnya itu?

Ketika zaman khalifah Umarlah tercetusnya idea untuk mengadakan kalendar Islam. Sebelum itu, masyarakat Arab mengira tahun berdasarkan peristiwa. Contohnya banjir besar, maka tahunnya disebut 1 tahun sebelum atau 1 tahun selepas banjir. Ataupun tahun berlakunya pencerobohan Baitullah di Mekah oleh tentera bergajah Abrahah dan sebagainya. Sebelum hijrah dipilih sebagai tahun bermulanya kalendar itu, timbul beberapa cadangan lain seperti tahun kelahiran Nabi, turun wahyu pertama dan perang badar. Namun Saidina Umar Al-Khattab tetap memilih Hijrah. Mengapa?

Sudahkah kita berazam untuk masa depan Islam?

Cuba kita buat perbandingan bagaimana kondisi Islam sebelum Hijrah dan selepas Hijrah. Sebelum Hijrah, umat Islam ditekan dan ditindas sedangkan selepas Hijrah umat Islam berkuasa. Sebelum Hijrah juga Islam sekadar sembunyi2, selepas hijrah pula umat Islam bebas ber’Islam’ dan menyebarkan fahaman mereka. Sekiranya ketika di Mekah Nabi hanya mampu menegur orang kafir yang minum arak dan menyembah berhala, tetapi selepas hijrah Islam lebih kepada pelaksanaan dan terdapatnya hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah. Dan apa yang lebih penting daripada Hijrah ialah tertegaknya Daulah Islamiah yang dirindui dan dinanti2 selama ini.

Orientalis Barat menyifatkan Hijrah Nabi sebagai satu pelarian ataupun kerana takutkan kuffar. Sedangkan kita tahu bahawa Hijrah itu adalah wahyu dan perintah Allah. Lagipun Hijrah Nabi disambut dengan meriah oleh penduduk Madinah. Malahan Nabi dijemput oleh penduduk Madinah ke sana. Ketika umat Islam sampai di sana, penduduk Madinah atau disebut sebagai Ansar sanggup menyediakan tempat tinggal dan memberikan isteri kepada Muhajirin bagi yang beristeri ramai. Betapa dakwaan ini sangat dangkal dan patut disangkal sama sekali!

Hijrah bukan hanya pada perkataan tapi lebih kepada pelaksanaan

Banyak kisah menarik yang boleh diambil dari Hijrah antaranya ialah kisah Suraqah bin Malik yang mengejar Nabi tetapi pulang dengan janji Nabi, Suhaib Ar-Rumi yang rela meninggalkan sehabis mungkin hartanya di Mekkah, Ummul Qais yang terkenal dengan Hijrah kerana wanita yang ingin dikahwininya, Jundik yang wafat ketika dalam perjalanan Hijrah, Abu Salamah yang ditentang dan dilarang oleh mertuanya dan bermacam2 lagi kisah menarik yang dirakamkan melalui Hijrah.

Mahu aku petik dua kisah yang aku sebutkan tadi. Kisah yang pertama mengenai Suraqah bin Malik. Beliau memang terkenal dengan kepandaian menunggang kuda dan seorang perisik atau spy bertaraf professional. Bila saja mendengar tawaran dari penguasa Quraish bahawa sesiapa yang dapat menangkap Muhammad akan dihadiahkan 100 ekor unta merah, maka Suraqah pun pergilah menjejak Nabi. Cakap pasal tawaran teringat pula pada BN yang tidak habis2 menawarkan pembangunan dan sebagainya, memang musuh Islam ni tak pernah lari konsepnya, sama saja. Unta merah ini kalau kira nilainya pada zaman sekarang ialah seperti kereta Mercedes. Siapa yang tak terliur dengan tawaran sebegitu, nak2 orang Arab yang terkenal dengan sikap rakusnya.

Pergaulan kita macam mana? Ikut syariat ke tak?

In short, maka bertemulah beliau dengan kelibat Nabi. Beliau mengejar dari belakang. Bila saja nak dekat dengan kenderaan nabi, tiba2 kaki kudanya terperosok atau terjerlus ke dalam pasir. Begitulah beberapa kali sehingga membuatkan Nabi kasihan melihatnya, lalu turun dari kenderaan baginda itu. Nabi seterusnya memberi surat jaminan keselamatan kepadanya dan menyuruhnya supaya pulang ke Mekkah dan memberitahu orang lain supaya pulang juga dan tidak terus memburu Nabi. Satu sikap yang ditunjukkan Nabi iaitu menggunakan musuh untuk melawan musuh.

Sebelum Suraqah pulang, Nabi sempat berjanji kepadanya bahawa mahkota dan gelang Qisro kebesaran kerajaan Parsi akan dipakaikan dan dikalungkan kepadanya. Begitulah jauhnya pemikiran Nabi dan tingginya keyakinan Baginda pada janji ALLAH. Sedangkan pada waktu itu Baginda belum mengetahui bagaimana nasibnya apabila sampai di Yathrib nanti dan Islam belum lagi memerintah Madinah apatah lagi dapat menguasai kerajaan besar seperti Parsi dan Rom. Ketika pulang, apabila Suraqah bertemu dengan mereka yang ingin menjejak Nabi, maka beliau akan berkata, “Pulanglah kamu. Sedangkan aku yang hebat inipun tidak dapat memburunya, apatah lagi kamu”.

Ketika pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab barulah janji Nabi pada Suraqah yang sekian lama itu tertunai. Janji itu tidak terjadi ketika Nabi memerintah Negara Islam Madinah. Kerana apa? Kerana perjuangan Islam itu suatu proses yang amat panjang dan sentiasa bersaki-baki. Selepas dapat menakluk Rom, Khalifah memanggil Suraqah lalu dipakaikannya dengan pakaian kebesaran Rom, mahkota dan gelang Qisro. Suraqah yang telah Islam ketika itu barulah teringat akan janji Nabi padanya berpuluh tahun dahulu. Oh! Rindunya pada Rasulullah hanya Tuhan yang tahu. Begitulah sifat kita sebagai seorang pejuang Islam, di mana kita tidak perlu berputus asa dan perlu sentiasa mengharapkan kemenangan dariNya kerana bukankah kemenangan itu datang daripada ALLAH?

Sudah tergolongkah kita dalam kalangan tentera Nabi Muhammad?

Kisah kedua pula ialah mengenai Jundik. Seorang muslim yang sangat sudah tua. Keuzurannya itu tidak menghalang perjuangannya bersama Nabi. Beliau terkenal sebagai seorang yang suka membaca al-Quran dan bukan setakat itu saja malah juga seorang yang kuat mengamalkan kandungannya. Suatu hari, turunlah wahyu tentang keizinan berhijrah dan pada ayat itu ada pengecualian kepada mustadh’afin (golongan yang lemah). Maka disangkanya beliau tidak perlu mengikut sama Nabi berhijrah. Namun, selepas pada itu, turun pula ayat yang menyuruh berhijrah bagi mereka yang mengenal jalan ke Madinah dan beliau memang mengenali jalan ke Madinah.

Tanpa mengambil masa yang lama, pagi2 lagi Jundik yang uzur itu mengerahkan anaknya untuk menggendong atau mengangkatnya untuk dibawa ke Madinah. Ketika dalam perjalanan, ternyata hidupnya tidak lama, sampai di Quba’ beliau terus nazak. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir beliau sempat berpesan dan bersumpah dengan ucapan yang sangat agung iaitu; “Tangan kiriku ini sebagai tanda cinta dan kasihku pada Rasulullah dan tangan kananku ini menjadi saksi ketaatanku pada ALLAH”. Beliau mengucapkan demikian sambil kedua2 tangannya diletakkan di atas perut seperti dalam keadaan bersolat. Sejurus kemudian, beliau menamatkan riwayat hidupnya dan rohnya dibawa ke langit sebelum sempat beliau sampai ke Madinah. Kisah agung yang sangat meruntun jiwa pejuang ini sangat menarik untuk dibicarakan namun tidak berapa ada platform yang menyediakan untuk ke arah itu. Yang ada ialah untuk konsert2 nyanyian dan hiburan hedonisme mainan Barat yang lebih mendapat tempat dan mengambil tempat yang tidak sepatutnya. Sedih!

Sudahkah kita berintima' dan berilzam dengan Jemaah Islam?

Izinkan aku berbicara sejenak tentang bagaimana cara Nabi berhijrah. Adakah secara semberono atau mengkhinzir buta sahaja? Pastinya tidak. Nabi mengajar kita hikmah, nasihat dan muzakarah. Nabi juga tidak pernah ketinggalan mengajar kita strategi dalam berdakwah. Ada yang bertanya, mengapa perlu strategi? Kita buat benda baik, kerja Islam, takkan Tuhan tak tolong. Baik, jadi mengapa Nabi berperang? Mengapa Nabi berhijrah? Tidak bolehkah Tuhan memberi Nabi kemenangan secara percuma atau langsung begitu saja? Tidak bolehkah ALLAH menjadikan Nabi berkuasa di Mekkah? Kalau kalian menjawab tidak boleh, maka jelas akidah kalian salah dan perlu diperbetulkan, sangat perlu. Maka, aku tegaskan dakwah perlu kepada strategi!

Kalaulah kita kata Nabi tidak berstrategi, mengapa Ali disuruh mengganti tempat tidur Nabi, Asma’ binti Abu Bakar menghantar makanan kepada Nabi, Abdullah bin Umar ditugaskan sebagai spy untuk memberi khabar tentang berita dan keadaan orang Quraish, Abdullah bin Uraiqit seorang Yahudi yang menjadi driver Nabi dan Amir bin Furaihah yang diperintahkan mengembala kambing bagi menghapus jejak Nabi dan Abu Bakar yang menjadi temannya.

Satu lagi persoalan, mengapa Nabi bersusah payah memilih Abu Bakar sebagai teman Hijrahnya? Bukankah lebih mudah berhijrah dengan Umar Al-Khattab yang berani mengisytiharkan hijrahnya? Beliaulah satu2nya muslim yang berani berkata begini ketika itu, “Siapa yang mahu anaknya menjadi yatim dan isterinya menjadi janda, maka datanglah halang aku dari berhijrah!”. Cukup tegas nadanya. Nabi mengajar kita bahawa susah payah lebih baik untuk mendapat kemenangan daripada kesenangan tapi bersekongkol dengan kezaliman (aku tak maksudkan Umar dengan kezaliman). Pada masa yang sama, Nabi juga mengajar bahawa susah itu memang adat berjuang, sunnah bagi mereka yang berjuang. Kalau mudah tidak pula dipanggil perjuangan. Pernahkah kita mendengar seorang sahabat yang dimarahi Nabi kerana mengisytiharkan keIslamannya di hadapan khalayak ramai di Kaabah ketika Islam belum lagi popular? Tidakkah ini dinamakan strategi?

Bacaan al-Quran kita bagaimana? Adakah masih di takah lama?

Ini sekadar perkongsian, maka aku ingin bertanya waktu bilakah Nabi keluar berhijrah? Pagikah atau tengah harikah atau malamkah? Aku berpegang selama ini bahawa Nabi berhijrah waktu tengah hari. Mungkin ada yang tidak bersetuju denganku. Biarlah, aku punya alasan tersendiri dan merasa selesa dengannya. Alasanku cukup kukuh, waktu tengah hari adalah waktu yang cukup panas di Mekkah maka orang Arab Mekkah tidak akan keluar rumah pada waktu ini. Bijakkan Nabi?

Nabi turut memilih seorang Yahudi sebagai penunjuk jalan. Di sini Nabi mengajar bagaimana tahaluf siyasi (kerjasama politik) dibenarkan dalam Islam dan kita boleh menggunakan musuh atau orang kafir bagi mencapai cita2 mengangkat Islam sebagai penguasa dan pemerintah. Ketika itu Nabi memilih jalan selatan di mana jalan ini agak jauh dan amat memenatkan. Malah, pada suatu tempat Nabi perlu berpatah balik. Psikologi Nabi cukup tinggi kerana pastinya kafir Quraish tidak akan menyangka Nabi mengambil jalan tersebut dan Nabi rela berpenat lelah untuk umatnya hari ini. Hari ini kita dapat kecap nikmat Iman dan Islam bukankah kerana jihad (perjuangan), mujahadah (kesungguhan) dan tadhiyah (pengorbanan) Nabi yang sangat ampuh?

Sudahkah kita bercinta dan bertunang dengan al-Quran?

Sebenarnya telah lama inginku post artikel ini, namun sengaja aku peram dulu dan mengetengahkannya di waktu ianya sudah tidak panas lagi untuk dibicarakan. Bukankah ini juga strategi? Jadi, aku berstrategi dan berstrategi itu sunnah (aku berani katakan), maka aku telah mengikut sunnah, mudah bukan?

Akhirnya, janganlah kita hanya beriya-beriya menyambut Hijrah dengan berarak ke hulur dan ke hilir sambil membawa sepanduk sedangkan sebaliknya kitalah yang melawan Nabi dan menghalang kepada usaha mendokong ajaran Islam di muka bumi Allah ini.

Bak kata Prof. Izi, fikir2kan dan selamat beramal...

No comments:


Daripada Tuan Punya Blog

1. Minat menulis adalah datang daripada kesedaran dan rasa tanggungjawab di atas saranan Assyahid Imam Hasan Albanna kerana katanya: "Jangan kamu melawan globalisasi, kerana kamu akan kalah. Hendaklah kamu melawan globalisasi dengan globalisasi juga."

2. Segala kandungan yang ada dalam blog ini adalah pandangan/idea penulis dan tidak semestinya ia betul belaka.

3. Penulis berhak menulis, menganalisis atau mengkritik apa saja (kecuali perkara sensitif) atas dasar 'kebebasan bersuara'.

4. Sesiapa saja berhak menyalin, mengambil atau mencetak mana-mana bahagian dalam blog ini kecuali untuk tujuan selain dakwah seperti untuk tujuan duit dan perniagaan, maka perlu mendapat keizinan daripada penulis.

5. Sesiapa jua boleh menyatakan pandangan atau komen terhadap blog ini atau terhadap penulis sendiri.

6. Penulis boleh dihubungi melalui emel berikut: nasehulwan@gmail.com.